Dr Md Isa Sabu (BN) MB Perlis (update)

Dr Md Isa Sabu 

KANGAR: Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Perlis kecuali Adun Tambun Tulang, Datuk Seri Shahidan Kassim hadir pada majlis angkat sumpah Dato’ Dr Md Isa Sabu sebagai Menteri Besar di Istana Diraja Arau.

Md Isa mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis ke-8 di hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, kira-kira jam 5.40 petang tadi, diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ismail Osman dan Penasihat Undang-Undang Negeri, Abdul Rasid Sudin.

Turut hadir, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Syed Sirajuddin.

Istana Diraja Arau mengesahkan perlantikan itu adalah menurut Perlembagaan Negeri, Artikel 39 (2) Undang-Undang Tubuh Negeri Perlis.

Sumber berkata, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kelmarin bersetuju melantik Md Isa sebagai Menteri Besar, menggantikan Datuk Seri Shahidan Kassim.

8 Adun yang menyokong perlantikan Md Isa sebagai Menteri Besar ialah Ahmad Bakri Ali (Kayang), Jamil Saad (Sena), Mat Hassan (Kuala Perlis), Dr Por Choo Chor (Indera Kayangan), Yin Sun Onn (Titi Tinggi), Mat Rawi Kassim (Beseri), Sabry Ahmad (Santan) dan Syed Radzlan Syed Putra Jamalullail (Pauh) dan seorang Adun PAS dari Simpang Empat, Ros’sele Eizan, hadir di majlis berkenaan.

Manakala 4 Adun yang memihak kepada Shahidan ketika kontroversi perlantikan Menteri Besar ialah Khairi Hassan (Mata Ayer), Mansor Jusoh (Chuping), Abdullah Hassan (Sanglang) dan Jafperi Othman (Guar Sanji), hadir sama di majlis itu.

Biodata
* Nama penuh: Dato’ Dr Md Isa bin Sabu (DPMP)
* Umur: 61 tahun
* Tempat Lahir: Kampung Kechur, Kangar, Perlis
* Isteri: Datin Asiah binti Asmuni
* Anak: 6 orang
* Alamat: No. 22 Jalan Ilmu, Taman Guru Jaya, 01000 Kangar, Perlis
* Pendidikan:
- Graduate Universiti Sains Malaysia (USM)
- Malayan Teachers College, Penang
* Kerjaya:
- Bekas Guru
- Okt 1990 : Exco Kerajaan Negeri Perlis, Pengerusi Pertanian
- Dis 1999 : Exco Kerajaan Negeri Perlis, Pengerusi Pelancongan dan Alam Sekitar
- 17/03/2008 : Menteri Besar Perlis
* Politik:
- 1969 : Memasuki Umno
- 1986 : Adun di N6 kerusi Bintong, PRU ke-7 (vs Mohd Abidin bin Halifah – PAS)
- 1990 : Adun di N6 kerusi Bintong, PRU ke-8 (vs Murshid bin Haji Mohamad – PAS)
- Sept 1993 : Timbalan Ketua Umno bahagian Kangar
- 1995 : Ahli Parlimen di P2 kerusi Kangar, PRU ke-9 (vs Aziz bin Shariff – PAS)
- 1999 : Adun di N6 kerusi Bintong, PRU ke-10 (vs Abdul bin Zakaria – PAS)
- 2004: Tidak bertanding, PRU ke-11
- 08/03/2008 : Adun di N6 kerusi Bintong, PRU ke-12 (vs Mohd Anuar Mohd Tahir – PAS)
* Anugerah:
- 17/05/2002 : Darjah Dato’ Paduka Mahkota Perlis (DPMP) membawa gelaran Dato’ daripada Kerajaan Perlis.

cikwiduri: La ni rakyat Perlis dah boleh tarik nafas lega na…

Ir. Mohammad Nizar (PAS) MB Perak (update)

Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin

KUALA KANGSAR: Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin hari ini mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak yang baru, selepas persetujuan mengadakan pakatan kerajaan campuran antara DAP, PKR dan PAS untuk mengetuai pentadbiran kerajaan negeri dicapai. Majlis itu terpaksa ditangguhkan pada Khamis lepas kerana Barisan Alternatif (BA) tidak mencapai kata sepakat dalam penubuhan kerajaan campuran.

Mohammad Nizar, 51, menerima watikah pelantikan pada jam 11.40 pagi di hadapan Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah di Istana Iskandariah sebelum diteruskan dengan majlis mengangkat sumpah jawatan dan taat setia serta sumpah menyimpan rahsia sebagai Menteri Besar.

Beliau yang ditemani isterinya, Fatimah Taat, menandatangani surat pelantikan dengan disaksikan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh, Datuk V. T. Singam.

Turut hadir pada istiadat itu ialah Raja Dihilir Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa, Raja Puan Muda Perak Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Dr Abdul Rahman Hashim, Mufti Perak Datuk Seri Harussani Zakaria, bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali serta wakil anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada kerajaan campuran itu.

Hari ini cukup bermakna dalam hidup Mohammad Nizar Jamaluddin, selain menyambut ulang tahun kelahiran ke-51, beliau juga disahkan sebagai Menteri Besar Perak ke-10.

Biodata
* Nama penuh: Ir. Haji Mohammad Nizar bin Jamaluddin
* Umur: 51 tahun
* Tarikh Lahir: 17/03/1957
* Isteri: Fatimah binti Taat
* Anak: (8 orang) 5 lelaki, 3 perempuan
* Pendidikan:
- Sek. Rendah Anglo Chinese School (ACS), Kampar, Perak
- Sek. Menengah Kebangsaan Anglo Chinese School (ACS), Kampar, Perak
- Sek. Menengah Teknik Ipoh, Perak
- 1976 : A-Level, Norwich City College Of Science Technology, Norfolk, UK
- BSc. Mechanical Engineering, Aston University, Birmingham, UK
* Kerjaya:
- Pengurus Projek KPPD (UDA)
- Pengurus Kanan Daya Urus Sdn Bhd (UDA)
- Pengarah Urusan, Urus Harta S/R (PDC Penang)
- Jurutera Perunding Mekanikal (Pengangkutan Vertikal, Elevator & Eskalator)
- 17/03/2008 : Menteri Besar Perak
* Politik:
- 1995: Menyertai PAS
- Sehingga 2008 : Setiausaha Badan Perhubungan PAS Perak
- Terdahulu : Bendahari Badan Perhubungan PAS Perak, YDP PAS Kampar
- 2004 : Tewas di P67 kerusi Kuala Kangsar, PRU ke-11 (vs Datuk Seri Rafidah Aziz – BN)
- 08/03/2008 : Adun di N51 kerusi Pasir Panjang, PRU ke-12 (vs Datuk Dr S Vasan – BN)
* Kegiatan Masyarakat:
- Pengerusi Gabungan Membantah Kenaikan Air Perak
- Timbalan Setiausaha PPK.

cikwiduri: He look low profile.. Tunaikan amanat yang telah diberi dengan sebaiknya.

Yazid Sobrani meninggal dunia

Arwah Yazid menderita pelbagai penyakit

MELAKA: Dramatis terkenal, Yazid Sobrani yang makin tenat sejak tiga tahun lalu, meninggal dunia di wad Hospital Melaka, awal pagi ini di pangkuan isterinya kerana menderita pelbagai penyakit kronik selama 14 tahun.

Yazid atau nama sebenarnya Abd Yaziz Sobrani, 44, disahkan meninggal dunia, kira-kira jam 5.30 pagi selepas mengalami komplikasi dalaman penyakit hati, jantung dan buah pinggang.

Allahyarham, mendirikan rumahtangga tujuh tahun lalu meninggalkan seorang balu, Norashah Mohd Rashid, 43, dan lima anak Nurul Hazwani, 23, Mohd Shafik, 22, Nurul Intan Shafinaz, 16, Mohd Amirul Shafuan, 14 dan Muhamad Salehan, 13.

Norashah berkata, suaminya sakit sejak 1994 dan sejak itu dia terus berikhtiar untuk mengubati penyakitnya termasuk mencuba perubatan tradisional di Telok Mas, Melaka. Mereka ke Melaka pada 10 Mac lalu dan dalam masa dua hari mendapatkan rawatan, arwah sudah menunjukkan perubahan.

“Namun, dia jadi tidak bermaya kerana tidak mahu makan dan tiada tenaga sebelum pengsan. Saya bawa dia ke Hospital Melaka.

“Arwah tiba-tiba nazak jam 2 pagi tadi. Saya sedar mulut dia berbuih dan berdarah sehingga jam 5 pagi. Saya panggil doktor dan mereka arah saya keluar dan berjanji akan berusaha sedaya mungkin memulihkannya.

“Dalam masa setengah jam, doktor beritahu suami saya sudah meninggal dunia. Doktor kata, suami saya tidak dapat diselamatkan kerana penyakitnya dah merebak dengan teruk. Hati, organ penting dalam badan dah rosak,” katanya lagi.

Menurutnya, dia reda dengan apa yang ditakdirkan Tuhan dan tidak pernah menyalahkan takdir.

“Saya tidak pernah tinggalkan dia yang sakit tenat selama tiga tahun. Tidak pernah sekalipun. Ketika dia nazak hanya saya seorang menunggu dia. Saya sempat ajar dia mengucap dan ingat Allah. Dia hanya mengangguk saya dan cuba mengucap bersama dalam keadaan mulutnya berbuih dan berdarah.

“Memang sudah lama dia menderita dan kakak reda dengan pemergiannya kerana jika hayatnya masih ada pasti dia akan lebih terseksa,” katanya sambil menjelaskan arwah hanya bergerak menggunakan kerusi roda sejak keluar dari Hospital Serdang pada 1 Februari 2002.

Pelakon kelahiran Kuala Perlis pada 17 Januari 1964 itu pernah membintangi filem Jaket Biru (1991), SH3 The Movie (2004) dan Tak Ori Tapi OK (2005). Allahyarham yang berlakon dalam siri drama Opah, turut berlakon drama Apai dan Metro Squad arahan Datuk Yusof Haslam. Beliau sering memegang watak pendekar dan jahat dalam beberapa drama bersiri RTM.

Allahyarham Yazid disemadikan di kampung asalnya di Tanah Perkuburan Kampung Utan Idus, Kuala Perlis, selepas solat Isyak malam ini, seperti wasiatnya kepada keluarga.

Sementara itu, beberapa rakan artis daripada Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) seperti Roy Azman dan Kamal Bakar juga melawat dan mengucapkan takziah kepada keluarga arwah.

Pelakon, Roy Azman menyifatkan arwah sebagai orang bertanggungjawab membuka peluang dia menceburi bidang lakonan selain memberi tips berguna untuk menjadi artis.

“Arwah banyak membantu rakan dari segi kewangan. Apa yang jelas arwah terlalu baik orangnya. Saya hanya mendapat tahu dia meninggal ini selepas rakan artis, Baggio menghantar SMS kepada saya. Saya terus ke Hospital Melaka,” katanya.

Pelakon, Kamal Bakar pula berkata sudah mengenali arwah lebih 10 tahun dan menjelaskan arwah sememangnya seorang yang suka membantu dan amat baik kepada setiap orang. Sikapnya yang mudah mesra dengan sesiapa amat disenangi oleh rakan taulan.

“Dari segi lakonan, yang paling meninggalkan kesan kepada saya ialah kami berlakon dalam drama bersiri Tun Perak yang disiarkan di TV1,” katanya.

Menurut Kamal, dia mengetahui pada Jumaat lalu, arwah menetap di Rumah Anak Yatim di Bukit Pegoh, Teluk Mas, sementara mendapatkan rawatan tradisional penyakit dideritainya.

“Itulah, kali terakhir saya bertemu dengan arwah yang nampak begitu tenat dan terseksa. Saya perhatikan arwah kurang bercakap dan saya berada di situ selama empat jam sebelum balik.

“Kehilangan arwah satu kerugian kepada industri lakonan di Malaysia, kerana tiada orang boleh menandingi lakonannya yang mantap dan tersendiri,” katanya lagi.