KUALA LUMPUR: Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad yang digugurkan dari barisan kabinet yang baru dibentuk mengambil keputusan meletak jawatan sebagai Setiausaha Agung Umno dan Barisan Nasional (BN) berkuatkuasa hari ini.
Bekas Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri itu berkata, beliau tidak dapat bekerja secara efektif sebagai Setiausaha Agung kerana tidak lagi berada dalam kabinet baru yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam.
“Saya rasa saya tidak boleh lagi bekerja. Pertamnya saya tidak lagi berada dalam kabinet jadi saya tidak boleh bekerja dengan berkesan sebagai Setiausaha Agung… saya tak boleh kerja,” katanya dalam sidang akhbar di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.
Radzi berkata keputusannya itu telah dimaklumkan kepada Abdullah yang juga Presiden Umno dan Pengerusi BN melalui telefon pagi ini dan menerusi sepucuk surat rasmi. Perdana Menteri telah menerima perletakan jawatan beliau, katanya.
Beliau yang berkhidmat sebagai Setiausaha Agung Umno selama empat tahun berkata, “Saya harap Umno terus maju di bawah kepimpinan presiden parti. Saya akan terus memberi bantuan dalam apa cara sekali pun,” katanya.
Beliau menolak anggapan bahawa keputusannya itu dibuat setelah kecewa kerana tidak dipilih menganggotai kabinet baru-baru ini.
“Dalam politik sentiasa ada orang mengambil alih. Tiada siapa yang kekal,” katanya.
Beliau juga menafikan bahawa peletakan jawatan itu mempunyai hubung kait dengan kemelut Umno di Perlis yang turut menyaksikan Datuk Seri Shahidan Kassim tidak dilantik semula sebagai Menteri Besar.
“I dont think so… I am happy with the leadership in Perlis,” katanya.
Beliau menyertai Umno sejak 1973 kemudian dilantik sebagai setiausaha agung Umno dan BN pada 1 Jun 2004. Menyifatkan 4 tahun pengalaman sebagai setiausaha agung parti sebagai ‘wonderful experience’, Radzi berkata beliau ada menerima tekanan, bagaimanapun itu merupakan perkara biasa dalam politik.
“Please do not think that there is split in Umno,” katanya dan mengulangi pendiriannya bahawa pilihan raya 8 Mac yang lepas merupakan penggal terakhir beliau menjadi wakil rakyat.
Mengenai rancangannya selepas ini, beliau akan menumpukan kepada tugasnya sebagai Anggota Parlimen Kangar selain membimbing wakil rakyat muda di kawasan itu. – Bernama





