PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan PAS bersetuju menggunakan perkataan “Pakatan Rakyat” bagi menggambarkan kerjasama antara ketiga parti itu, kata penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya penasihat DAP Lim Kit Siang, Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang dan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan membawa perkara itu kepada parti masing-masing untuk mendapatkan persetujuan.
“Nama Pakatan Rakyat ini akan disahkan setelah ketiga-tiga parti mendapat persetujuan pimpinan masing-masing dalam masa terdekat ini,” katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat antara ketiga-tiga pihak itu di ibu pejabat PKR di sini hari ini .
Anwar berkata bagi memantapkan kerjasama Pakatan Rakyat, satu Majlis Pimpinan yang terdiri daripada tiga ketua parti itu akan diwujudkan selain satu Sekretariat Bersama yang mempunyai wakil setiap parti. Katanya beliau hanya akan mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan itu dan bukannya menjadi ketuanya.
Katanya, ketiga-tiga parti itu bakal mengadakan satu konvensyen pada 27 April ini bagi memantapkan pemahaman anggota Parlimen dan Dewan Undangan Negeri mengenai semua dasar. Mengenai kemungkinan berlaku krisis dalam kerajaan negeri antara tiga parti itu di Perak, menurut Anwar kerjasama tiga parti itu tidak mudah goyah kerana berpegang pada idealogi yang sama iaitu memperjuangkan hak rakyat dan ketelusan pentadbiran.
“Saya percaya pakatan ini tidak terjejas hanya kerana isu-isu kecil dan remeh. Bagi saya apa yang terjadi di Perak hanyalah salah faham kecil dan telahpun diselesaikan dengan baik,” katanya merujuk kepada tindakan Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Buntong, A. Sivasubramaniam untuk meletakkan jawatan daripada DAP semalam tetapi kemudian menarik balik keputusan itu lapan jam kemudian.
Abdul Hadi pula berkata persoalan mengenai agama Islam tidak menjadi isu utama dalam pentadbiran di negeri-negeri yang dikuasai pakatan tiga parti itu.
“Jangan jadikan Islam sebagai isu, Islam adalah agama dan dalam Islam kita diajak bermuafakat bagi apa jua perkara…gunakan panduan itu dalam politik juga,” katanya.
Lim pula berkata pakatan itu banyak belajar daripada kesilapan ketika Barisan Alternatif diwujudkan pada tahun 1999 menyebabkan ia tidak kukuh kerana mesej perjuangan yang kurang jelas.
cikwiduri: Jangan pula bila dah bersatu, kecoh nak rebut jawatan sampai berperang. Rosak binasa negara jadinya.






