Saya dipecat kerana desakan PM – Sanusi

KUALA LUMPUR: Bekas Naib Presiden Umno, Tan Sri Sanusi Junid memberitahu bahawa pemecatan beliau selaku Presiden Universiti Islam Antarabangsa (UIA) adalah atas desakan dan nasihat Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi.

ImageBeliau menjelaskan tidak mungkin Sultan Pahang selaku Ketua Perlembagaan UIA memecat beliau kerana berdasarkan perlembagaan UIA, baginda hanya akan bertindak atas nasihat ‘host member’ yang bermaksud negara tuan rumah iaitu Perdana Menteri.

“Hubungan saya dengan Sultan Pahang cukup akrab dan amat baik. Tak mungkin tindakan ini dibuat atas kehendak Tuanku sendiri…Jangan cuba nak melaga-lagakan antara saya dengan Raja,” katanya dalam satu sidang media di Bangsar petang semalam.

Sehubungan itu, beliau percaya, keputusan menamatkan perkhidmatannya selaku Presiden UIA dibuat oleh Sultan Pahang atas nasihat Perdana Menteri seperti yang dinyatakan dalam Perkara 20 (iii) perlembagaan univerisiti antarabangsa itu.

Sanusi memaklumkan, beliau menerima surat pemberhentian serta-merta yang bertarikh 2 Jun sekembalinya daripada luar Negara pada 9 Jun lalu.

“Tempoh perkhidmatan saya masih ada dua tahun lagi. Tiada kesalahan dinyatakan sebagai alasan dan penamatan serta-merta ini bermakna ianya suatu pemecatan disebabkan desakan beberapa pihak-pihak yang berkepentingan,” katanya yang membaca keseluruhan 18 muka kenyataan media berhubung pemecatannya itu

Sanusi dalam kenyataannya itu menyatakan bahawa beliau dipecat melalui saluran Setiausaha Politik Menteri Kewangan yang secara kebetulan adalah ahli majlis UIA.

“Nama dia (Setiuasaha itu) telah saya cadangkan untuk menjadi wakil alumni di dalam Majlis UIA sebaliknya ahli majlis ini bukan sahaja tidak rajin menghadiri mesyuarat majlis kerana terlalu sibuk malah telah menggunakan kedudukannya untuk mengutamakan kepentingan orang-orang tertentu,” katanya lagi.

Beliau turut menambah bahawa keputusannya untuk keluar daripada Umno tidak perlu dipolitikkan di dalam kampus UIA dan menanggap bahawa tugasannya sebagai Presiden UIA merupakan satu ibadah telah dihalang oleh pihak-pihak tertenu.

“Tugas saya sebagai Presiden UIA adalah ibadah. Bila orang nak buat ibadah orang halang, maka terpulanglah,” katanya.

Sanusi juga menyatakan bahawa beliau tidak merasa sedih malah tidak merasakan nama baiknya tercemar berikutan pemecatannya itu.

“Saya sedih jika dipecat oleh seorang tokoh yang disanjungi, disokong dan dipandang mulia oleh masyarakat. Dalam hal ini kesedihan itu tidak ada,” katanya.

Dalam kenyataan akhbarnya setebal 18 muka itu beliau turut menjelaskan bagaimana Tun Dr Mahathir pernah mengampunkan Abdullah atas perilakunya sewaktu berada di luar kabinet sehingga menatangnya sebagai Perdana Menteri.

Sementara itu beliau menjelaskan bahawa sidang media ini adalah peluang terbaik beliau untuk menjelaskan kedudukannya dan senario di sebalik pemecatannya di samping mengambil kesempatan meminta maaf kepada semua pihak khususnya warga UIA sekiranya pernah melakukan kesilapan.

“Pemecatan saya ini menjejaskan peluang saya untuk berhubung terus secara formal dengan pihak UIA. Hanya melalui sidang media sahajalah peluang saya untuk memohon maaf dan menjelaskan kedudukan,” jelasnya.

Ditanya sama ada akan ada tindakan susualan berikutan pemecatan ini, Sanusi menjawab bahawa beliau tidak akan membela diri atau berbincang mana-mana pihak untuk menarik balik keputusan itu.

“Saya tidak akan bela diri. Surat pemecatan sudah keluar, takkan saya nak suruh tarik balik,” tegasnya. – HD

cikwiduri: Ada hikmah disebalik kejadian yang berlaku.