PERINGATAN: Kewajipan mandi wiladah

Terdapat beberapa perkara yang wajib kepada umat Islam berkaitan mandi hadas besar.

Bagi lelaki terdapat 2 perkara:
1. Keluar air mani
2. Berjimak (walaupun dilakukan secara zina) wajib mandi. Harus mandi juga walaupun tidak keluar air mani.

Bagi perempuan:
1. Haid
2. Wiladah (melahirkan anak)
3. Nifas
4. Berjimak (walaupun dilakukan secara zina) wajib mandi. Harus mandi juga walaupun tidak keluar air mani.

Namun, kebanyakan wanita keliru berkaitan dengan mandi selepas melahirkan anak.

Mandi wiladah adalah mandi hadas besar sebaik sahaja selepas melahirkan anak.

Setelah itu diwajibkan mandi hadas selepas habis nifas

Niat mandi: “Sahaja aku mandi hadas besar ke atas tubuhku yang diwajibkan ke atas ku kerana Allah Taala”.

Saya teringat orang tua-tua kita tak benarkan wanita dalam pantang mandi basahkan kepala. Sebabnya, takut masuk angin la, sejuk la.

Suruhan agama tak boleh diketepikan semata-mata nak ikut pantang larang. Lagipun mandi wajib selepas melahirkan, hanya dilakukan SEKALI sahaja selepas melahirkan anak.

Dalam masa berpantang 40/60 hari, cuma sekali je mandi basahkan rambut, bukannya tiap-tiap hari. Boleh mandi dengan air panas…cuma pastikan air itu suci.

Kepada bakal menjadi ibu dan bapa, harap tak ambil remeh perkara ini.

Kebanyakan orang tak tahu mengenai mandi selepas bersalin tak sama dengan mandi selepas darah nifas kering. Wanita diwajibkan mandi wiladah kerana sekiranya ajal menjemput sebelum darah nifas kering, wanita itu sudah berada dalam keadaan bersuci.

Diharap ilmu yang saya curahkan ini, dikongsi bersama dengan wanita, para ibu dan bapa yang bakal menimang cahaya mata. Insyaallah.

Hujan itu rahmat

Kadang-kala, terdengar bebelan orang di sekeliling kita, “Cuaca buruk je akhir-akhir ini ye..” Soalnya, kenapa hujan dikatakan cuaca buruk?

Berapa ramai di kalangan kita yang mengeluh bila hari hujan?

  • Iskk, tak kering la baju kalau asyik hujan je..
  • Alahai, hujan lagi
  • Tiap-tiap hari hujan… susah la macam ini
  • Payah nak buat keja kalau dah hujan
  • Tak boleh balik lagi, hujan!
  • Bukankah bebelan-bebelan itu lebih baik digantikan dengan DOA: “Allahumma syaiyiban nafi’a” (Ya Allah, Ya Tuhan kami! Jadikan hujan ini bermanfaat buat kami).

    Hakikatnya, hujan itu rahmat.

    “Dan Dialah (Allah) yang menghantarkan angin sebagai pembawa berita yang menggembirakan sebelum kedatangan rahmatnya (iaitu hujan), hingga apabila angin itu membawa awan mendung, Kami halakan dia ke negeri yang mati (ke daerah yang kering kontang), lalu Kami turunkan hujan dengan awan itu, kemudian Kami keluarkan dengan air hujan itu berbagai-bagai jenis buah-buahan. Demikianlah pula Kami mengeluarkan (menghidupkan semula) orang-orang yang telah mati, supaya kamu beringat (mengambil pelajaran daripadanya).” (Al-A’raf : 57)

    Sebenarnya hujan terlalu banyak manfaatnya.

  • Membersihkan udara
  • Menyubur tanaman
  • Membekal air ke empangan
  • Ini sikit sahaja senarai kebaikannya. Ada banyak lagi.

    Kenapa orang selalu “bad mood” bila hujan?

    “Hujan tidak, mendung pun tidak, tiba-tiba je muram ni?”
    Macam biasa dengar ayat tu kan? Seolah-olah sinonim sungguh hujan dengan suasana muram/mendung. Kesian hujan.

    Sedarkah kita? Bila hujan turun, rahmat dilimpahkan buat manusia. Sebab itu, Nabi pun pernah pesan, bila hujan turun, DOA mustajab.

    Sekarang ini, di tempat kita hampir tiap-tiap hari hujan. Tiap-tiap hari ada masa untuk doa menjadi mustajab. Kenapa lepaskan peluang dengan keluhan sia-sia disaat pintu langit sedang terbuka?

    “Maka Kami bukakan pintu-pintu langit, dengan menurunkan hujan yang mencurah-curah.” (al-Qamar : 11)

    Maka, berdolah. Semoga hari ini lebih baik dari semalam. Dan semoga hari esok akan lebih baik.

    Dalam ilmu tasawwuf dan ilmu-ilmu fardhu ain lain pun turut mengingatkan kita tentang kebijaksanaan Allah.

    “Dan Kami turunkan hujan dari langit dengan sukatan yang tertentu, serta Kami tempatkan dia tersimpan di bumi; Dan sesungguhnya Kami sudah tentu berkuasa melenyapkannya.” ( Al-Mukminun : 18 )

    Rupa-rupanya Allah turunkan hujan ada sukatan. Baru hari ini kita tahu, bahawa Allah turunkan hujan lebat kepada kita sekarang ini ada sebabnya, ada sukatannya. Kemudian, air itu akan disimpan di bumi. Selama mana? Itu semua rahsia Allah.

    “Dan Kami hantarkan angin sebagai pembawa air dan pemindah benih; maka dengan itu Kami menurunkan air (hujan) dari langit, kemudian kami berikan kamu meminumnya; dan bukanlah kamu yang (berkuasa menurunkannya atau) menyimpannya.” (al-Hijr : 22)

    “Dan Allah jualah yang mengetahui rahsia langit dan bumi dan kepada-Nyalah dikembalikan segala urusan. Oleh itu, sembahlah akan Dia serta berserahlah kepada-Nya. Dan (ingatlah), Tuhanmu tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.” (Surah Hud : 123)

    Semoga ada iktibar untuk peringatan kita semua.

    Puisi suami isteri nak kahwin lagi

    Isteriku,
    Jika engkau bumi, akulah matahari.
    Aku akan menyinari mu kerana engkau mengharapkan sinaran dariku.
    Ingatlah bahtera yg kita kayuh, begitu penuh riak gelombang.

    Aku pasti akan tetap menyinari bumi, hingga kadang-kadang bumi terasa
    akan silauan ku.
    Lantas aku ingat satu hal bahawa Tuhan mencipta bukan hanya bumi malah ada planet lain yang juga mengharapkan sinaranku.

    Lalu…
    Relakanlah aku menyinari planet lain, menyampaikan faedah adanya aku
    kerana sudah takdir Illahi sinaranku diperlukan diplanet lain…

    Daripada,
    Suamimu.

    (Balasan daripada sang isteri pula)

    Suamiku,
    Andai kau memang mentari, sang suria yang memberi cahaya,
    aku merelakan engkau berikan sinaranmu kepada segala planet yang telah TUHAN ciptakan kerana mereka juga seperti aku perlukan cahayamu.

    Dan…
    Aku pun juga tidak akan merasa kekurangan dengan sinaran mu.

    Akan tetapi…

    Bila kau hanya sejengkal lilin yang berkekuatan 5 watt sahaja,
    jangan lah bermimpi untuk menyinari planet lain!
    Kerana bilik tidur kita yang kecil pun belum sanggup kau terangi.

    Lihatlah dirimu pada cermin kaca di sudut kamar kita,
    di tengah-tengah remang pancaran cahayamu yang telah aku mengerti.

    Cuba lihat siapa dirimu…

    Matahari kah atau lilin ?

    Jangan-jangan…

    Cuma mancis saja!

    Please lah… !

    Jangan la nak berangan !!!

    Posted in Article. Tags: , , . 1 Comment »

    Sayangnya Allah pada hambanya

    Rasulullah s.a.w. bersabda: “Setiap anak Adam akan dijaga oleh
    dua malaikat. Malaikat yang di sebelah kanan lebih berkuasa dari yang
    sebelah kiri. Sekiranya seseorang anak Adam melakukan dosa maka malaikat yang di sebelah kiri akan bertanya pada malaikat di sebelah kanan.

    Malaikat di sebelah kiri: “Apakah yang harus aku catit?”
    Malaikat di sebelah kanan: “Jangan kamu catit dahulu dosanya sehingga ia melakukan 5 kesalahan.”
    Malaikat di sebelah kiri: “Kalau ia telah melakukan 5 kesalahan, apa yang harus aku catitkan?”
    Malaikat di sebelah kanan: “Biarkannya, sehingga ia membuat kebaikan kerana kami telah diberitahu oleh Allah s.w.t bahawa satu kebaikan akan mendapat 10 pahala. Oleh itu hapuskanlah 5 kesalahannya yang lalu sebagai tebusan dan kami masih simpankan untuknya 5 pahala lagi.”

    Tercenganglah syaitan mendengarkannya lalu berkata, “Kalau macam ini sampai bilakah aku dapat merosakkan anak Adam.”

    Demikianlah rahmat Allah pada hambanya, kasih sayang-Nya melimpah ruah tiada terbatas hanya hambanya saja yang lalai dan leka dengan keseronokkan serta kemewahan dunia.

    Sultan Perak titah MB letak jawatan

    IPOH: Sultan Perak Sultan Azlan Shah memutuskan untuk tidak memperkenankan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dan menitahkan supaya Menteri Besar Mohammad Nizar Jamaluddin dan barisan exconya meletak jawatan berkuatkuasa serta merta.

    “Sekiranya YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar bin Jamaluddin tidak meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak bersama ahli-ahli MMK (Majlis Mesyuarat Kerajaan), maka jawatan Menteri Besar serta ahli-ahli MMK tersebut dianggap telah dikosongkan,” kata kenyataan itu.

    Kenyataan empat muka surat yang ditandatangani oleh Kol Datuk Abdul Rahim Mohamad Nor, Setiausaha Sulit kepada Sultan Azlan Shah, dikeluarkan pada 2.15 petang.

    Ia menjelaskan bahawa Mohammad Nizar telah menghadap Sultan semalam dan memohon perkenan baginda untuk membubarkan DUN Perak.

    Najib, selaku Pengerusi Barisan Nasional Perak, juga telah memohon menghadap baginda dan telah diberi perkenan berbuat demikian pada hari ini.

    Pada majlis menghadap itu pagi tadi, Timbalan Perdana Menteri telah memaklumkan kepada baginda bahawa BN dan penyokong-penyokongnya kini terdiri daripada 31 orang ADUN dan telah menguasai majoriti ahli Dewan Negeri.

    Menurut kenyataan itu, untuk meyakinkan baginda bahawa maklumat yang dipersembahkan itu adalah tepat, Sultan Azlan shah menitahkan kesemua 31 orang ahli Dewan Negeri tersebut menghadap baginda.

    “Setelah menemui sendiri kesemua 31 ahli Dewan tersebut, DYMM Paduka Seri Sultan Perak telah yakin bahawa YAB Datuk Seri Ir Haji Mohammad Nizar Jamaluddin telah terhenti daripada mendapat kepercayaan sebahagian besar dari kalangan ahli-ahli Dewan Negeri,” kata kenyataan itu.

    Ia juga menyebut bahawa Sultan Perak telah menimbangkan dengan sedalam-dalamnya permohonan Mohammad Nizar semalam mendapatkan perkenan baginda untuk membubarkan DUN Perak.

    “Baginda menggunakan budi bicara baginda di bawah Perkara XVIII (2)(b) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan dan tidak berkenan membubarkan Dewan Negeri Perak,” kata kenyataan itu.

    Mohammad Nizar telah dititah menghadap baginda untuk dimaklumkan mengenai keputusan baginda tidak membubarkan Dewan, dan selaras dengan peruntukan XVI (6) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak, Sultan Azlan Shah menitahkan Mohammad Nizar meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak bersama ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (exco) berkuat kuasa serta merta.

    ‘Keputusan hak mutlak Tuanku’ – Najib

    IPOH: “Ada peraturan dan kaedah tertentu dalam undang-undang tubuh kerajaan negeri Perak yang perlu kita ikuti.”

    “Sama ada Tuanku akan membubarkan Dun atau meminta Menteri Besar yang ada meletakkan jawatan.”

    “Itu adalah hak mutlak Tuanku.”

    Itulah antara petikan kenyataan Dato Seri Najib Tun Razak sebentar tadi setelah membuat pertemuan dengan Sultan Perak hari ini sebanyak dua kali pagi tadi.

    Ditanya tentang calon MB yang dikemukakan kepada Sultan, Najib menjawab bahawa itu tidak perlu diberitahu dahulu kepada umum.

    “Kita buat satu-satu dulu. Kita tunggu dulu keputusan Tuanku,” katanya dalam sidang media tengah hari tadi.

    Wajah yang tidak ceria dan kelihatan sedikit cemas, menenggelamkan reaksi ceria beliau semalam ketika mengumumkan kemasukan empat Adun dan mendakwa BN kuasai Perak, di Putrajaya semalam.

    Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Razak berada di Istana Kinta, Ipoh dua kali hari ini – antara 9.50 dan 10.55 pagi untuk mengadap Sultan Perak Sultan Azlan Shah dipercayai bagi memaklumkan secara rasmi Barisan Nasional (BN) mempunyai sokongan menubuhkan kerajaan baru.

    Najib, Pengerusi BN Perak tiba di Istana Kinta pukul 9.50 pagi tadi dan keluar 30 minit kemudian.

    Beliau meninggalkan istana pada 10.35 pagi dan kembali semula ke Istana Kinta dengan empat wakil rakyat yang keluar Pakatan Rakyat semalam – ADUN kawasan Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi; Mohd Osman Jailu (Changkat Jering), Hee Yit Foong (Jelapang) dan Datuk Nasaruddin Hashim (Bota) untuk mengadap Sultan Perak Sultan Azlan Shah pukul 10.55 pagi ini. – Harakah

    ‘Kerajaan PR masih sah di Perak’ – Nizar

    IPOH: “Kerajaan Pakatan Rakyat masih berkuasa. Tidak berlaku apa-apa. Semua seperti biasa.”

    Demikian ungkapan pertama Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Muhammad Nizar Jamaluddin 7.40 malam tadi bagi menjelaskan isu yang sedang melanda negeri itu ketika ini.

    “Kerajaan masih sah dan keputusan masih di tangan tuanku.

    “Tuanku bertitah Allah bersama orang-orang yang sabar,keputusan tuanku masih belum buat,” jelasnya.

    Menurutnya lagi, ketika ini urusan kerajaan akan berjalan seperti biasa.

    “Segala aktiviti kerajaan negeri berjalan seperti biasa. Saya akan terus hadiri pelbagai aktiviti majlis Jubli Perak Tuanku seperti biasa,” katanya di hadapan puluhan wartawan yang menunggu beliau di Pejabat Perhubungan PAS Perak dan beliau baru selesai menghadiri mesyuarat PAS Perak di sini.

    Tambahnya, beliau sebelum ini telah menghadap ke bawah duli tuanku untuk menjelaskan situasi politik semasa dan terkini kerajaan negeri dan suasan perbincanga cukup baik

    “Kini terpulang kepada tuanku untuk membubarkan dewan atau lain-lain keputusan. Pembubaran jika berlaku adalah perlu untuk memastikan satu pilihan raya seluruh negeri Perak dapat diadakan agar rakyat dapat memilih pemimpin yang benar-benar bersih,” jelasnya lagi.

    Katanya, ketika ini keputusan adalah di tangan tuanku sultan dan baginda sedang memperhalusi isu yang berlaku dari sudut undang-undang.

    “Rakyat jangan bimbang dan diminta bertenang,tiada apa-apa huru-hara yang berlaku. Semua seperti biasa.

    “Apa-apa pun tunggu keputusan Sultan dan keputusan tuanku adalah merupakan keputusan yang adil,” tambahnya.

    Ketika ditanya mengenai kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak, Nizar berkata, “Najib seolah-olah cuba merampas kerajaan secara tidak beretika.”

    Beliau juga berkata, isu Adun Bota, Dato Nasarudin Hashim masuk Umno tidak timbul. Ini disebabkan, dakwaan Najib bahawa Nasharuddin menyokong BN boleh dipertikaikan kerana wujudnya unsur paksaan.

    “Kaum keluarga sendiri buat laporan bahawa dia telah hilang. Dia dibawa dua orang yang dakwa Raja Muda ingin berjumpa tetapi pertemuan itu tidak berlaku.

    “Saya cuba hubungi begitu juga dengan kaum keluarganya dan semua tidak berjaya,” jelasnya.

    Beliau mengakhiri kenyataannya itu dengan memohon maaf kepada para wartawan yang basah kuyup akibat hujan lebat yang menunggu beliau di hadapan Istana Kinta dari jam 4.00 sehingga 5.00 petang. “Saya minta maaf kepada anda semua kerana terpaksa basah kuyup menunggu saya. Saya kira anda semua pun kepenatan,” katanya sambil terseyum meminta diri untuk solat maghrib. – Harakah

    Ku Li kutuk pemimpin Umno-BN Perak

    KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah mengutuk tindakan pemimpin Umno-BN yang merayakan pembentukan kerajaan BN di Perak sebagai tidak bermoral dan tidak menghormati pelantikan yang telah dibuat oleh Sultan Perak.

    “Hormati peranan Sultan dan bentuk kerajaan melalui pilihan raya,” tegas ahli parlimen Gua Musang yang lebih dikenali dengan KuLi dalam blognya ketika mengulas kemelut politik di Perak.

    Dato’ Seri Muhammad Nizar Jamaluddin tegas beliau telah diperkenankan oleh Sultan Perak sebagai Menteri Besar dan selagi Dewan Undangan Negeri (Dun) tidak dibubarkan jawatan tersebut kekal.

    Beliau berkata jawatan tersebut akan terlucut jika Nizar meletak jawatan secara sukarela atau undi tidak percaya dibuat ketika sidang Dun.

    “BN sekarang membentuk kerajaan hanya kerana dua individu yang tidak berkaliber melompat parti,” tegas beliau.

    Tindakan Adun Bota yang kembali menyertai Umno selepas menyertai KeADILan selama 11 hari dianggap sebagai menghina intelektual rakyat.

    KuLi seterusnya menegaskan, jika BN memilih untuk menubuhkan kerajaan tanpa melalui pilihan raya, ia akan membangkitkan kemarahan rakyat.

    “Apa yang akan berlaku nanti dalam pilihan raya umum ke-13 nanti, rakyat bukan hanya menolak BN di peringkat negeri tetapi juga di peringkat persekutuan,” tegas KuLi.

    Sehubungan dengan itu, beliau mendesak agar pilihan raya peringkat negeri Perak diadakan supaya rakyat Perak menentukan kerajaan yang mereka mahukan.

    BN bawa masuk pemimpin kualiti rendah – Mahathir

    KUALA LUMPUR: Adalah kurang bijak bagi Barisan Nasional (BN) untuk mendapatkan majoriti dengan membawa masuk pemimpin berkualiti rendah demikian kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

    Beliau berkata demikian semasa diminta mengulas langkah empat wakil rakyat daripada Pakatan Rakyat yang meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

    Jamaluddin Mohd Radzi (PKR-Behrang), Mohd Osman Jailu (PKR-Changkat Jering) dan timbalan speaker Dewan Undangan Negeri Hee Yit Foong (DAP-Jelapang) mengisytiharkan hasrat untuk menjadi wakil rakyat Bebas manakala Dato’ Nasaruddin Hashim (Bota) yang baru-baru ini menyertai PKR telah kembali semula kepada Umno.

    Berikutan perkembangan itu, majoriti kerusi pakatan PAS-PKR-DAP dalam 59 kerusi Dewan Undangan Negeri merosot daripada 32 kepada 28 manakala kerusi BN meningkat kepada 28 daripada 27.

    Pada sidang akhbar petang semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Najib Tun Razak berkata, BN telah memperoleh wakil rakyat mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri Perak yang baru berikutan tiga wakil rakyat Bebas itu telah berikrar akan menyokong BN.

    Dr. Mahathir berkata: “Dua wakil rakyat dituduh rasuah. Jika anda bawa masuk orang yang rasuah sebelum mereka didapati bersalah, ia tidak akan meningkatkan kualiti parti.”

    “Jika mahu menerima orang yang berhasrat menyertai parti kita, perlu ketahui kualiti orang itu,” katanya menurut agensi berita.

    Jamaluddin dan Mohd Osman menghadapi pertuduhan rasuah dan kes mereka sedang menunggu perbicaraan di mahkamah.

    Beliau juga mengingatkan bahawa jika kedua-dua mereka didapati tidak bersalah oleh mahkamah selepas menyertai BN, rakyat akan berkata sistem kehakiman telah dimanipulasi. – Harakah

    MB Perak bubarkan DUN

    Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang menghadapi krisis politik hari ini dalam satu langkah drastik dan luar biasa mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan serta merta sebelum mendapat perkenan Sultan Perak Sultan Azlan Shah.

    Bercakap pada sidang akhbar di pejabatnya pada 3 petang tadi, Mohammad Nizar berkata beliau akan menghadap Sultan Azlan Shah petang ini bagi mendapat perkenan baginda.

    Beliau Jamaluddin Mohd Radzi, dan ADUN Changkat Jering, Mohd Osman Jailu, mengumumkan keluar daripada PKR dan menjadi wakil rakyat Bebas manakala ADUN Jelapang, Hee Yit Foong, yang juga Timbalan Speaker dipercayai telah menyerahkan surat keluar daripada DAP hari ini.

    Muka-muka mementingkan kuasa masing-masing.

    Muka-muka mementingkan kuasa masing-masing.

    Kerajaan negeri Pakatan Rakyat Perak yang dianggotai 18 wakil DAP, 8 PKR dan 6 PAS. Jika tiga ADUN berkenaan keluar, maka kerajaan negeri hanya tinggal 29 kerusi berbanding BN 27 dan Bebas tiga.

    Tindakan beliau mengumumkan pembubaran dewan undangan negeri (DUN) sebelum mengadap Sultan bagi mendapatkan perkenaan itu menurut pakar undang-undang adalah bercanggah dengan undang-undang tubuh negeri.

    Seorang pegawai kanan negeri yang enggan namanya disebut mengesahkan bahawa pengumuman pembubaran DUN hanya berkuatkuasa apabila mendapat perkenaan Sultan.

    Mohammad Nizar mendakwa ketidaktentuan yang berlaku sekarang kononnya disebabkan gangguan oleh Barisan Nasional (BN) dan Umno yang tidak dapat menerima kekalahan mereka pada pilihan raya umum lepas.

    Menteri Besar ke-10 yang juga Timbalan Pesuruhajaya PAS Perak itu berkata kesemua 29 Adun Pakatan Rakyat jitu dan bersepakat untuk bersetuju supaya DUN dibubarkan dan satu pilihan raya mengejut dilaksanakan.

    Beliau berkata Sultan Perak mempunyai kuasa mutlak untuk menolak permohonan membubarkan DUN dan menjawab pertanyaan pemberita, Mohammad Nizar berkata beliau tidak terkejut jika BN akan memohon perkenan Sultan Perak bagi membentuk kerajaan negeri yang baru.

    Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin yang mengadap Sultan Perak Sultan Azlan Shah untuk meminta perkenan baginda membubarkan Dewan Undangan Negeri meninggalkan Istana Kinta di Ipoh tanpa memaklumkan kepada media keputusan baginda.

    “Saya sudah menerangkan keadaan politik terkini, terserah kepada Tuanku,” katanya kepada wartawan sejurus sebelum meninggalkan perkarangan istana tersebut.

    Pada sidang akhbar yang turut dihadiri keempat-empat wakil rakyat berkenaan, Najib berkata ketiga-tiga ADUN Bebas itu akan menjadi “anggota Bebas sahabat BN”.

    Mengenai tindakan Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mengumumkan pembubaran DUN hari ini tanpa terlebih dahulu mendapat perkenan Sultan Azlan Shah, Najib berkata hanya Sultan Perak yang boleh memperkenankan pembubaran DUN.

    Najib menyifatkan perkembangan terkini sebagai bermulanya era baru di Perak.

    Menjawab soalan, Najib berkata keempat-empat wakil rakyat itu membuat keputusan berdasarkan kerelaan masing-masing tanpa habuan atau sogokan.

    Mengenai kes rasuah membabitkan ADUN Behrang dan Changkat Jering, Najib berkata ia merupakan isu yang berbeza.