Doa (2): Himpunan doa dalam Islam

Posted on 04/12/2010 by


>> Doa Akhir Tahun

Waktu membacanya:

    Dibaca tiga kali pada akhir waktu Asar atau sebelum masuk waktu Maghrib pada akhir bulan Zulhijah.

Sesiapa yang membaca doa ini, syaitan berkata: “Kesusahan bagiku dan sia-sialah pekerjaanku menggoda anak Adam pada setahun ini dan Allah binasakan aku satu saat jua. Dengan sebab membaca doa ini, Allah ampunkan dosanya setahun”.

Bacaan doa akhir tahun ialah:

“Segala puji hanya bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad s.a.w. serta ahli keluarga baginda dan sahabatnya.

“Ya Allah, sesungguhnya pada tahun ini aku telah melakukan larangan-Mu, tetapi aku masih belum bertaubat sedangkan Engkau tidak reda dan melupai perkara itu. Engkau telah menangguhkan azab-Mu yang ditetapkan kepadaku.

“Engkau telah memerintah supaya aku bertaubat dari kesalahan itu. Sesungguhnya pada hari ini aku memohon keampunan dari-Mu, ampunilah aku dan apa yang telah aku lakukan pada tahun ini yang Engkau redai dan Engkau janjikan pahala maka aku memohonnya daripada Engkau. Ya Allah, Ya Karim, Ya Zaljalali Wal Ikram.

“Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad s.a.w serta ahli keluarga baginda dan sahabatnya. Segala puji hanya bagi Allah, tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Amin”.

>> Doa Awal Tahun

Waktu membacanya:

    Dibaca tiga kali selepas Maghrib pada malam 1 Muharam.

Sesiapa yang membaca doa ini, syaitan berkata: “Telah amanlah anak Adam ini daripada godaan pada tahun ini kerana Allah mewakilkan dua malaikat memeliharanya daripada fitnah syaitan”.

Bacaan doa awal tahun ialah:

“Segala puji hanya bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad s.a.w serta ahli keluarga baginda dan  sahabatnya.

“Ya Allah, Engkaulah yang kekal abadi untuk selama-lamanya. Demi kelebihan-Mu yang Maha Agong dan kemurahan-Mu yang melimpah, sesungguhnya pada tahun ini aku memohon kepada-Mu perlindungan daripada syaitan yang direjam, dari sekalian konconya, tenteranya dan penolongnya. Aku juga memohon perlindungan daripada nafsu amarah yang sentiasa mendorong ke arah kejahatan dan melalaikan dengan perkara yang tidak berfaedah daripada mendekatkan diriku kepada-Mu.

“Selawat serta salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad s.a.w. serta ahli keluarga baginda dan sahabat. Segala puji hanya bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam. Amin”.

About these ads
Posted in: Religion