Kerjasama dua negara

Posted on 12/09/2011 by


UUM manfaat program High Impact di Jakarta

Oleh Siti Salmiah A Hamid
salmiah@hmetro.com.my

KERJASAMA...ikatan MoU antara UUM dengan universiti di Indonesia bakal meningkatkan peluang pengajian antara dua negara.

BAGI meningkatkan kerjasama akademik dan bukan akademik dengan institusi luar negara, Universiti Utara Malaysia (UUM) bekerjasama dengan 14 universiti di Indonesia.

Program High Impact di Jakarta itu bekerjasama dengan universiti terkemuka Indonesia dalam pelbagai aspek akademik, pelajar dan aktiviti sosial.

Naib Canselor UUM, Profesor Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata, High Impact terbabit memenuhi tiga pengisian iaitu Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman dan Persetujuan (MoU/MoA) dengan universiti di Indonesia, Perbincangan Meja Bulat ketiga dan Malam Gala Alumni UUM.

“Program ini memberi impak besar dalam bidang pendidikan tinggi kerana belum pernah mana-mana universiti menandatangani MoU secara serentak dengan 14 universiti pada masa sama.

“Hubungan terbuka antara dua negara ini mengeratkan perhubungan pengajian tinggi di samping menarik lebih ramai pelajar asing ke Malaysia khususnya UUM.

“Pelbagai cara dilakukan seperti membuka pusat pengajian UUM di Indonesia, program pertukaran pelajar, pembangunan sumber manusia dan interaksi antara ahli akademik,” katanya.

Sebanyak 14 universiti terbabit iaitu Universiti Indonesia (UI), Universiti Diponegoro (UNDIP), Universiti Padjajaran (UNPAD), Universiti Negeri Jakarta (UNJ), Universiti 11 Maret (UNS), Universiti Hasanuddin Makasar (UNHAS), Universiti Muhammadiyah Yogyakarta (UMY), Universiti Paramadina (UP), Universiti Sanggabuana (USB), Universiti Ibn Kaldun (UIKA), Universiti 17 Agustus (UNTAG), Universiti Udayana, Universiti Ahmad Dahlan dan Universiti Islam Riau.

Perbincangan Meja Bulat dihadiri 100 panel dari Malaysia dan Indonesia, antaranya Dr Mochtar Mas’oed dan Drs Da’i Bachtiar bagi membincangkan peningkatan akademik antara dua negara.

Malam Gala Alumni UUM dihadiri 400 orang termasuk Ketua Dewan Perwakilan Rakyat Republik Indonesia (DPR RI), Marzuki Alie dan ia pertama kali diadakan di Jakarta bagi usaha mengeratkan hubungan antara dua negara.

Ketika ini, UUM mempunyai 400 alumi di Indonesia dan bakal menambah bilangan itu menerusi program pasca siswazah dengan mewujudkan pusat pendidikan di Makassar, Jawa Tengah dan Aceh. – HM

About these ads
Posted in: Bestari