Tempat menarik tumpuan pelancong

Posted on 19/01/2012 by


Pelbagai kemudahan disediakan untuk keselesaan pengunjung

Oleh Siti Salmiah A Hamid
salmiah@hmetro.com.my

BAGAI sirih pulang ke gagang apabila perjalanan penulis kembali ke negeri beradat, Negeri Sembilan Darul Khusus.

Berada di negeri sentuhan Minangkabau ini, penulis mengimbau kenangan dibesarkan di negeri ini selain pengalaman baru bersama 60 wakil media.

SELESA...90 peratus penginapan di Rantau Agro Park menggunakan bahan semula jadi.

RANTAU AGRO PARK

WALAUPUN baru memulakan operasinya pada Disember 2010, resort ini mendapat banyak tempahan kerana lokasinya yang sesuai untuk sebarang aktiviti luaran seperti meredah hutan, CPR dan pertolongan cemas, meredah sungai, ‘nig htwalk’, kursus kepemimpinan dan hari keluarga.

Demo masakan menggunakan bahan alam sekitar seperti telur yang direbus dalam batang pisang dan nasi dimasak dalam buluh amat bermanfaat.

Untuk singgah di sini, ia mengambil masa 20 minit dari Seremban, 30 minit dari Port Dickson dan 45 minit dari Kuala Lumpur.

Alamat: Lot 3212, Kg Seri Lalang, 71200 Rantau.

AS EQUESTRIAN CENTRE

KRAFTANGAN... kraftangan yang dipamerkan menarik perhatian peserta untuk memiliknya.

HILANG segala penat lelah apabila berkunjung ke AS Equestrian Centre, satu-satunya pusat latihan kuda di Negeri Sembilan.

Pelbagai aktiviti menunggang kuda disediakan bagi memberi kepuasan kepada pelancong, antaranya berkuda sambil merentas desa, ‘trail-ride’ serta berkuda di padang rumput yang dikendalikan jurulatih bertauliah dan berpengalaman.

Perkhidmatan lain yang disediakan meliputi kelas menunggang kuda, pertunjukan dan pameran kuda, kursus pengurusan kuda serta sewa kuda.

Operasi menunggang kuda di AS Equestrian Centre bermula jam 8 pagi hingga 6 petang, setiap hari Selasa hingga Ahad.

Alamat: Lot 23 Lorong Kru 10, Kg Rawa Hilir, 71750 Lenggeng.

EXTREME PD BUGGY TREK

BUGGY...pelancong asing juga ingin merasai pengalaman memandu buggy walaupun pakaian diselaputi lumpur.

JIKA ingin bersantai dengan pelbagai hiburan yang mencabar, trek sepanjang 800 meter mengalu-alukan kedatangan seisi keluarga.

Dibuka setiap hari dari jam 9.30 pagi hingga 7.30 malam, Extreme PD Buggy Trek menyediakan pelbagai permainan untuk dewasa dan kanak-kanak meliputi ATV, Buggy, Scr ambler, Dirt Scooter, Mini Jeep, Sky Runner, Zorb Ball serta Go kart.

Harga ditawarkan bergantung kepada jenis permainan, bermula dari RM10 dan ke atas malah pakej yang disediakan amat berpatutan.

Aktiviti rekreasi ini turut menitikberatkan aspek keselamatan pengguna menerusi penyediaan topi keledar, pemeriksaan kenderaan dari semasa ke semasa serta kehadiran marshall yang bertanggungjawab memantau keselamatan pengguna.

Alamat: Lot 8205, Batu 2, Jalan Pantai, PD Utama, 71000 Port Dickson.

RESTORAN WADI AR-RAUDHAH

TRADISIONAL...rendang Rembau antara masakan tradisi Negeri Sembilan.

BERMULA di sekitar Jalan Tuanku Antah pada 1998, Restoran Wadi Ar-raudhah menarik perhatian ramai menerusi konsep masakan kampung seperti tenggiri percik, ayam gulai cili api, sembilang goreng cili api dan gulai lompap.

Ia menyajikan lebih 50 jenis lauk dengan ruang makan atau dewan mini yang boleh menampung sehingga 100 orang malah sesuai untuk pelbagai majlis keraian.

Pada bulan Ramadan, ia menghidangkan bufet lebih 100 jenis lauk dan 50 kuih-muih.

Alamat: Nombor 1, Jalan Seri Rahang 1, Taman Seri Rahang, 70100 Seremban.

HUTAN SIMPAN SUNGAI MENYALA

  KAWASAN simpanan hutan ini berkeluasan 1,300 hektar dan terletak pada ketinggian 20 – 40 meter dari aras laut. Dari segi geografi, ia jenis hutan Dipterokarp Tanah Pamah terbesar di rantau Tropika.

Sesi pembelajaran kepada pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi membuka ruang mengenali flora yang masih terjaga di hutan dara ini.

Aktiviti disediakan seperti mengenali pokok Jelutong yang berusia 200 tahun, kenali tanaman herba, merentas denai, ‘mountain bike’, lawatan ke perkampungan Orang Asli, lawatan ke petak kajian, lawatan ke kawasan pokok bakau serta pameran perhutanan.

Menariknya, Hutan Simpan Sungai Menyala bukan saja menerima pelawat dari pelbagai kategori selain mengadakan aktiviti penanaman pokok bagi memulihara alam sekitar.

Alamat: Pejabat Hutan Daerah Negeri Sembilan Barat, Tingkat 2 Persiaran S2 A2, Kompleks Pentadbiran Daerah Seremban.

REMBAU CRYSTAL

KERIS...bukan mudah membentuk sebuah keris bersama sarungnya.

REMBAU Crystal adalah kompleks perkampungan kristal terbesar di Malaysia dan dibangunkan di Rembau. Dibuka pada 2007, ia berfungsi sebagai kompleks latihan, pengi langan, jualan dan tapak pameran kristal.

Struktur seni bina Melayu Minangkabau yang diterapkan berjaya memaparkan keunikan galeri pelancongan ini.

Produk yang dihasilkan adalah 100 peratus kristal dalam pelbagai bentuk seperti lampu meja, keris dan tulisan jawi.

Pembukaan Rembau Crystal bukan saja untuk memacu ekonomi Negeri Sembilan, malah menjadi pusat pendidikan dan latihan kepada belia mendalami seni dan ukiran kristal.

Alamat: Lot 1432 Kompleks Perkampungan Kristal, Jalan Kg Mulia, 70300 Rembau.

TITI ECO FARM

SIHAT...produk kesihatan jenama Malaysia dihasilkan 100 peratus organik di Titi Eco Farm.

UDARA yang segar di ladang seluas 30 hektar ini meng hilangkan penat yang ditempuh peserta kembara. Tanaman sayuran organik, dusun buahan, taman herba, kolam ikan dan pusat rekreasinya menyejukkan mata memandang.

Diusahakan They Chan dan Lim Mok Lai, ladang berciri alam sekitar ini mempunyai rumah panjang dan ‘chalet’ berkembar yang boleh menampung hingga 100 orang serta dewan serba guna untuk pelbagai aktiviti.

Pelbagai makanan organik disediakan, malah pelancong boleh mengikuti aktiviti yang menyihatkan seperti mandian herba, memasak makanan gaya sihat dan bersantai dalam suasana nyaman jauh dari hiruk-pikuk di bandar.

Alamat: Lot 1706, 1708, 1203, 1349, 1916 Sungai Rotan, Glami Lemi, 71650 Jelebu.

About these ads
Posted in: Santai