Sikap Mudah Terperdaya Membawa Padah

Jangan sekali-kali mudah terperdaya kerana sikap ini akan memakan diri sendiri dan inilah yang menjadi pengajaran kepada tiga wanita Malaysia yang diberkas tahun lepas kerana mengedar dadah di luar negara.

Raja Munirah Raja Iskandar Shah, 22, kini menghadapi hukuman penjara tujuh tahun di Jepun kerana mengedar syabu seberat 690 gram. Mahasiswa komunikasi massa Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing di Cyberjaya ini diberkas di Lapangan Terbang Tokyo pada 2006 dan mengaku bersalah. Ibu bapa Raja Munirah yang dalam kebingungan turut menghadapi masalah kewangan kerana memerlukan RM20,000 untuk membayar yuran guaman bagi rayuan terhadap hukuman penjara yang dihadapi anak mereka.

Manakala Umi Azlim Mohamad Lazim, 24, dari Kelantan menghadapi hukuman mati kerana menyeludup 3 kg heroin. Mahasiswa dari Universiti Malaysia Sabah ini diberkas di Lapangan Terbang Antarabangsa Shantou, China pada 19 Januari. Umi Azlim mendakwa bahawa beliau terpengaruh dengan iklan di Internet yang menawarkan jawatan dengan bayaran lumayan hanya untuk penghantaran barangan.

Dalam kes Irene Manggi, 22, dari Sarawak, beliau didakwa kerana memiliki kokaina di Brazil dan kini meringkuk di penjara Sao Paolo. Ketika di Sepanyol, beliau yang juga ialah pemandu pelancong telah diberi sebuah beg oleh seorang lelaki Nigeria dan sekeping nota memintanya pergi ke Sao Paolo, yang akhirnya beliau berhadapan kesukaran dengan pihak berkuasa.

Pada 2005, Ruzana Zubir dari Perlis ditangkap kerana menyeludup candu ke Australia. Beliau dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dan ditahan selama 13 bulan sebelum bukti di dalam perbicaraan menunjukkan bahawa beliau adalah mangsa penipuan oleh seorang lelaki Iran yang hanya dikenali sebagai Haj. Haj memberi Ruzana satu peket yang didakwa mengandungi herba Iran dan meminta beliau menyerahkannya kepada rakannya yang sakit di Sydney. Oleh kerana mempercayai Haj, yang juga rakan kongsi perniagaan dan seorang rakan, menyebabkan Ruzana berpendapat tidak perlu peket itu diperiksa. Hasil kerjasama Ruzana, kerajaan Malaysia dapat memberkas Haj yang kini menunggu untuk dibicarakan kerana pengedaran dadah.

Tahun ini sahaja, 19 wanita Malaysia diberkas di Argentina, Brazil, Peru dan China kerana mengedar dadah. Wanita-wanita berkenaan dipercayai menjadi mangsa lelaki Kasanova berumur antara 30 dan 35 tahun yang menaburkan pelbagai hadiah mahal, makan malam mewah dan membeli-belah yang mahal sebelum mengikuti percutian luar negara yang dibayar sepenuhnya. Menurut laporan akhbar-akhbar tempatan, dua rakyat Iran dan seorang Nigeria telah diupah sebagai Kasanova oleh satu sindiket dadah antarabangsa untuk mempengaruhi wanita Malaysia terjerumus dalam kancah pengedaran dadah di luar negara.

Anggota-anggota sindiket berkenaan memasuki negara ini selepas memperolehi visa sebagai pelajar untuk melanjutkan pelajaran di kolej dan universiti tempatan.

Statistik Jabatan Narkotik Bukit Aman menunjukkan bahawa antara destinasi sindiket dadah ialah Australia, China, Brazil, Peru, Argentina, Jepun, Trinidad dan Tobago. – BERNAMA

Faktor ingin menjadi cepat kaya yang disertai dengan sogokan kemewahan dan kata-kata manis oleh jejaka tampan, wanita-wanita berkenaan tanpa ragu-ragu sanggup menyeludup dadah ke luar negara. Isu wanita menjadi penghantar dadah akan berterusan sekiranya diri wanita itu sendiri tidak mahu menilai padah yang akan diterimanya.

Jika dilihat di KL sendiri, berapa ramai wanita yang sanggup jadi pusher? Sanggup pula menjadi tokan untuk kekasih mereka? Ramai! Tidak dinafikan aspek MATERIAL merupakan penyebab utama wanita-wanita tersebut sanggup menggadaikan masa depannya sendiri.

cikwiduri: Insaflah wahai wanita. Masih banyak lagi kerja halal di negara kita mahupun jika di oversea. Walaupun melanggar undang-undang sebagai student oversea yang tidak membenarkan anda berkerja sambil belajar tetapi lebih baik anda berkerja sebagai cashier di Burger King daripada makan hasil haram sebagai penghantar DADAH !