Tan Sri Murad Meninggal Dunia

Tan Sri Murad Mohamed Noor

KEPALA BATAS, 23 Jan — Jenazah bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Murad Mohamed Noor, 78, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Penaga, di sini petang ini.

Jenazahnya disemadikan di sebelah kubur ibunya, Che Kah Hashim pada kira-kira pukul 5.15 petang iaitu selepas solat Asar.

Majlis pengkebumiannya itu dihadiri kedua-dua balunya, Puan Sri Azizah Aiyub Ghazali dan Maimunah Abdul Hamid serta kaum keluarga dan sahabat handai.

Terdahulu, jenazah yang dibawa dengan kereta mayat, tiba di rumah pusaka keluarganya di Penaga dari Kediamannya di Kuala Lumpur pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari.

Antara yang menziarahi jenazah Allahyarham di situ ialah Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan penaga, Datuk Azhar Ibrahim, bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Osman Aroff dan Mufti Pulau Pinang Datuk Hassan Ahmad.

Terdahulu, ketika dihubungi Bernama, Abdul Rahman berkata, kematian Murad merupakan satu kehilangan besar kepada negara kerana Allahyarham banyak terlibat dalam dasar pendidikan negara.

Beliau pernah bertugas sebagai seorang pendidik semasa Murad menjadi Ketua Pengarah Pelajaran dan menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang tegas dan mempunyai pandangan yang jauh dalam bidang itu. – BERNAMA