Hasrat Megat Junid Minta Polis Uruskan Jenazah Tertunai

Isteri Allahyarham Tan Sri Megat Junid Megat Ayub, Puan Sri Faizah Shuaib bersyukur kerana dapat menunaikan permintaan terakhir Allahyarham agar pengurusan jenazahnya dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), pasukan paling disayangi Megat Junid.

Sambil berterima kasih kepada pasukan itu yang melakukan semua urusan pengebumian Allahyarham termasuk menyembahyangkan jenazah serta mengetuai bacaan talkin, Faizah berkata pesanan itu disampaikan kepadanya semasa Allahyarham sedang sakit.

“Semasa dia sakit dulu dia ada beri amanat meminta jabatan yang paling disayanginya iaitu jabatan polis uruskan segala-galanya apabila dia meninggal dunia, dan saya bersyukur dapat menunaikan amanat itu,” katanya kepada pemberita selepas pengebumian Allahyarham di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara di sini hari ini.

Faizah berkata allahyarham suaminya juga meminta beliau menjaga anak-anak dengan baik termasuk dua anak dengan isteri kedua iaitu Norzilah Jalil (Ziela Jalil).

“Anak-anak saya semua dah lepas, cuma Ziela ada dua lagi anak yang masih bersekolah. Saya telah berpesan pada Ziela supaya menganggap kami seperti keluarga. Janganlah lepas ini hubungan putus sebab anak-anaknya masih anak suami saya,” katanya.

Faizah berkata pada saat-saat akhir allahyarham, pertuturannya sukar difahami sekalipun tangannya masih boleh bergerak.

“Malam tadi saya lega sebab Tan Sri dapat tidur selepas tiga hari tak dapat lelapkan mata. Tapi pada pukul empat pagi dia terjaga dan tertidur semula kira-kira pukul lima pagi. Saya tak pasti saat Tan Sri hembuskan nafas terakhir sebab tak lama lepas dia lelapkan mata saya panggil dia dan ajar mengucap tapi tak ada tindak balas. Saya panggil jururawat, lepas tu panggil doktor dan doktor kemudian sahkan dia telah meninggal dunia pada pukul 5.25 pagi,” katanya.

Sementara itu bekas ketua polis negara Tun Hanif Omar yang turut menziarahi jenazah Megat Junid berkata beliau tidak hairan dengan permintaan Allahyarham kerana bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu mempunyai hubungan yang rapat dengan anggota polis daripada semua peringkat pangkat.

“Beliau banyak membuat kebajikan kepada anggota polis. Sikapnya yang tidak banyak kerenah atau protokol serta menyokong usaha bernas PDRM menyebabkan dia disukai anggota,” katanya yang menjawat jawatan ketua polis negara ketika Megat Junid menjadi Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri dari tahun 1986 hingga 1997. Hanif menganggap Allahyarham sebagai sahabat yang sangat baik, mesra serta setia kepada kawan dan kerajaan. – BERNAMA