Tanggungan Mencarum Dilanjutkan Ke Umur 75 Tahun

KUALA LUMPUR, 25 Jan — Mulai 1 Februari 2008, tempoh tanggungan mencarum dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk pekerja dan majikan akan dilanjutkan daripada umur 55 tahun hingga 75 tahun.

Ketua Bahagian Pembangunan Operasi KWSP Hizwani Hassan berkata arahan itu melibatkan semua ahli KWSP yang berusia sehingga 75 tahun sama ada yang belum pernah atau pernah mengeluarkan wang caruman semasa berumur 55 tahun.

“Di bawah inisiatif ‘Bukan Hanya Simpanan’ yang diperkenalkan, ia memberi peluang kepada ahli berumur 55 dan ke atas untuk terus bekerja serta meningkatkan simpanan semasa persaraan,” katanya pada taklimat media berhubung simpanan asas dan perubahan kadar KWSP di sini, hari ini.

Beliau berkata bagi ahli yang berumur 55 hingga 75 tahun, caruman mereka ialah 50 peratus daripada kadar caruman wajib 11 peratus yang dicarum ahli biasa KWSP, manakala caruman majikan untuk mereka ialah enam peratus iaitu separuh daripada caruman majikan untuk pekerja biasa. “dividen akan dibayar sehingga ahli berusia 75 tahun bagi menggalakkan ahli mengeluarkan kesemua simpanan untuk membiayai persaraan selaras dengan tanggungan mencarum sehingga umur 75 tahun,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, simpanan yang tidak dikeluarkan selepas umur 75 tahun akan dipindahkan kepada Pendaftar Wang Tidak Dituntut apabila ahli berumur 80 tahun.

Selain peningkatan tempoh mencarum, Hizwani berkata KWSP turut melaksanakan Simpanan Asas untuk meningkatkan simpanan persaraan ahli yang membolehkan mereka menerima sekurang-kurangnya RM500 sebulan untuk tempoh 20 tahun selepas bersara atau RM120,000 ketika berumur 55 tahun.

“Dengan pembaharuan ini ahli dibenarkan melabur tidak lebih 20 peratus daripada simpanan dalam akaun satu yang melebihi simpanan asas menerusi institusi pelaburan yang diluluskan. Pelaburan boleh dibuat setiap tiga bulan sekali dengan jumlah minimum RM1,000,” katanya.

Sementara itu Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) KWSP Ibrahim Taib berkata pembaharuan itu akan memberikan peluang kepada ahli untuk melabur pada umur lebih muda untuk mengurangkan risiko kerugian modal berikutan tempoh pelaburan yang lebih panjang.

“Walaupun lebih ramai orang boleh membuat pelaburan, ahli kena membuat keputusan sendiri untuk melabur dan jangan ada desakan daripada mana-mana pihak,” katanya.

Ibrahim berkata KWSP membenarkan ahlinya melabur melalui beberapa dana antaranya Amanah Saham Didik, Unit Trust dan Tabung Haji. – BERNAMA

Selepas ini, ramai la orang-orang Melayu kita yang bakal jadi OKB “orang kaya baru”.

cikwiduri: beringat-ingat la sebelum habis. Banyak lagi hutang nak bayar tue… hehehe