Ishak Baharom tokoh yang berilmu, berani dan tawaduk

KUALA LUMPUR, 31 Jan – Pemergian bekas Mufti Negeri Selangor, Dato’ Ishak Baharom ke rahmatullah semalam amat dirasai oleh masyarakat Islam, lebih-lebih lagi bagi mereka yang memperjuangkan syiar Islam negara ini.

Balu Dato’ Ishak Baharom

Timbalan Presiden Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Muhammad Burok berkata, semasa memegang jawatan Mufti dahulu Allahyarham banyak bekerjasama dengan para peguam syarie demi memantapkan undang-undang Islam terutama berkenaan undang-undang jenayah Islam di Selangor.

“Sebagai peguam syarie saya rasa beliau banyak mencurah jasa kepada kami,” katanya sambil mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham.

Beliau yang dihubungi Harakahdaily hari ini berkata, Dato’ Ishak adalah seorang yang amat arif dalam hal-hal hukum syarak.

Malah katanya, sebagai pengamal undang-undag syarie beliau sentiasa menjadi rujukan.

Allahyarham juga katanya, sentiasa bersikap terbuka kepada peguam syarie dan tidak pernah menolak untuk bertemu dengan mereka.

“Apa saja cadangan kami sentiasa diteliti dan didengarinya sebelum beliau memberi pendapat.

“Bagi peguam-penguam syarie Selangor, beliau adalah guru, bapa dan pakar rujuk segala-galanya.

“Jadi apabila mendapat berita beliau telah meninggalkan kita, ia adalah kehilangan paling besar kepada kami biarpun beliau bukan lagi mufti bahkan dalam keadaan tidak sihat pun beliau masih membantu kami,” katanya.

Menurutnya, secara peribadi apabila berpeluang bertemu dengannya beliau sentiasa banyak bertanyakan hal-hal hukum syarak dan sebagainya.

kuburan-draja5.jpg

“Peguam syarie termasuk saya banyak terhutang budi kepada beliau yang penuh berwibawa serta berilmuan dan kehilangannya sukar untuk diganti khasnya kepada peguam-peguam yang beramal di mahkamah Syariah yang menegakkan syiar Islam,” katanya.

Bekas Mufti Selangor Dato’ Ishak Baharom, 80 meninggal dunia di Hospital Sungai Buluh, semalam pada jam 2.50 petang.

Jenazahnya disembahyangkan di Masjid Lipat Kajang, Klang, Selangor pagi tadi sebelum dikebumikan di Makam DiRaja, Shah Alam.

Beliau yang menjawat jawatan mufti Selangor dari tahun 1985 hingga 1997 dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) hospital tersebut petang kelmarin akibat masalah tekanan darah.

Pendakwah dan Perunding Motivasi, Ustaz Shukri Mohd Yusuf menyifatkan kematian Allahyarham sebagai kehilangan besar kepada masyarakat Islam di Malaysia khususnya.

Katanya, umum mengenalinya sebagai seorang yang lembut dalam kata-katanya tetapi tetap mempunyai ketegasan.

“Semua orang melihat Allahyarham sebagai contoh ulama yang berani memperkatakan kebenaran dalam pelbagai situasi. Masyarakat akan mengingati Allahyarham sebagai contoh ulama yang disegani dan golongan pendakwah dan ulama pula harus menjadikan Ishak Baharum seorang pejuang yang tegas dan sebagai model,” katanya semasa dihubungi Harakahdaily hari ini.

Beliau berkata, sebagaimana kisah-kisah keberanian ulama dahulu, masyarakat Islam cukup bertuah sebab dalam dunia hari ini sifat keberanian itu ada kepada orang Melayu iaitu Dato’ Ishak Baharom.

Ketegasan Allahyarham katanya, memberi gambaran bahawa kepentingan Islam mengatasi kepentingan diri dan kedudukannya dalam menyammpaikan Islam yang tepat dan jelas kepada masyarakat.

Pada masa sama katanya, Allahyarham memiliki sifat tawaduk dan rendah diri sama ada ketika berjawatan mufti atau selepas tidak lagi memegang jawatan tersebut.

“Yang paling penting bagi beliau ialah dakwah menegakkan Islam dan dilakukan tanpa mengira kedudukan, pangkat,” katanya .

Sementara itu, Presiden Jemaah Islah Malaysia (Jim), Zaid Kamaruddin berkata, setakat ini Allahyarham adalah seorang personaliti agama yang berani dalam mengambil sesuatu pendirian.

Justeru katanya kepada Harakahdaily, hari ini, kembalinya beliau kepada Yang Esa sangat dirasai dan juga satu kehilangan yang besar kepada umat Islam negara ini.

“Allahyarham seorang tokoh agama yang berani menyatakan pendirian contohnya semasa menyatakan pandangan dalam kes ratu cantik dan isu rokok dan di sini menampakkan beliau seorang yang tegas demi kesucian Islam,” katanya yang turut mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham. – Harakah

One thought on “Ishak Baharom tokoh yang berilmu, berani dan tawaduk

Comments are closed.