Al-Fatihah: Yazid Sobrani

Arwah Yazid menderita pelbagai penyakit

MELAKA: Dramatis terkenal, Yazid Sobrani yang makin tenat sejak tiga tahun lalu, meninggal dunia di wad Hospital Melaka, awal pagi ini di pangkuan isterinya kerana menderita pelbagai penyakit kronik selama 14 tahun.

Yazid atau nama sebenarnya Abd Yaziz Sobrani, 44, disahkan meninggal dunia, kira-kira jam 5.30 pagi selepas mengalami komplikasi dalaman penyakit hati, jantung dan buah pinggang.

Allahyarham, mendirikan rumahtangga tujuh tahun lalu meninggalkan seorang balu, Norashah Mohd Rashid, 43, dan lima anak Nurul Hazwani, 23, Mohd Shafik, 22, Nurul Intan Shafinaz, 16, Mohd Amirul Shafuan, 14 dan Muhamad Salehan, 13.

Norashah berkata, suaminya sakit sejak 1994 dan sejak itu dia terus berikhtiar untuk mengubati penyakitnya termasuk mencuba perubatan tradisional di Telok Mas, Melaka. Mereka ke Melaka pada 10 Mac lalu dan dalam masa dua hari mendapatkan rawatan, arwah sudah menunjukkan perubahan.

“Namun, dia jadi tidak bermaya kerana tidak mahu makan dan tiada tenaga sebelum pengsan. Saya bawa dia ke Hospital Melaka.

“Arwah tiba-tiba nazak jam 2 pagi tadi. Saya sedar mulut dia berbuih dan berdarah sehingga jam 5 pagi. Saya panggil doktor dan mereka arah saya keluar dan berjanji akan berusaha sedaya mungkin memulihkannya.

“Dalam masa setengah jam, doktor beritahu suami saya sudah meninggal dunia. Doktor kata, suami saya tidak dapat diselamatkan kerana penyakitnya dah merebak dengan teruk. Hati, organ penting dalam badan dah rosak,” katanya lagi.

Menurutnya, dia reda dengan apa yang ditakdirkan Tuhan dan tidak pernah menyalahkan takdir.

“Saya tidak pernah tinggalkan dia yang sakit tenat selama tiga tahun. Tidak pernah sekalipun. Ketika dia nazak hanya saya seorang menunggu dia. Saya sempat ajar dia mengucap dan ingat Allah. Dia hanya mengangguk saya dan cuba mengucap bersama dalam keadaan mulutnya berbuih dan berdarah.

“Memang sudah lama dia menderita dan kakak reda dengan pemergiannya kerana jika hayatnya masih ada pasti dia akan lebih terseksa,” katanya sambil menjelaskan arwah hanya bergerak menggunakan kerusi roda sejak keluar dari Hospital Serdang pada 1 Februari 2002.

Pelakon kelahiran Kuala Perlis pada 17 Januari 1964 itu pernah membintangi filem Jaket Biru (1991), SH3 The Movie (2004) dan Tak Ori Tapi OK (2005). Allahyarham yang berlakon dalam siri drama Opah, turut berlakon drama Apai dan Metro Squad arahan Datuk Yusof Haslam. Beliau sering memegang watak pendekar dan jahat dalam beberapa drama bersiri RTM.

Allahyarham Yazid disemadikan di kampung asalnya di Tanah Perkuburan Kampung Utan Idus, Kuala Perlis, selepas solat Isyak malam ini, seperti wasiatnya kepada keluarga.

Sementara itu, beberapa rakan artis daripada Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) seperti Roy Azman dan Kamal Bakar juga melawat dan mengucapkan takziah kepada keluarga arwah.

Pelakon, Roy Azman menyifatkan arwah sebagai orang bertanggungjawab membuka peluang dia menceburi bidang lakonan selain memberi tips berguna untuk menjadi artis.

“Arwah banyak membantu rakan dari segi kewangan. Apa yang jelas arwah terlalu baik orangnya. Saya hanya mendapat tahu dia meninggal ini selepas rakan artis, Baggio menghantar SMS kepada saya. Saya terus ke Hospital Melaka,” katanya.

Pelakon, Kamal Bakar pula berkata sudah mengenali arwah lebih 10 tahun dan menjelaskan arwah sememangnya seorang yang suka membantu dan amat baik kepada setiap orang. Sikapnya yang mudah mesra dengan sesiapa amat disenangi oleh rakan taulan.

“Dari segi lakonan, yang paling meninggalkan kesan kepada saya ialah kami berlakon dalam drama bersiri Tun Perak yang disiarkan di TV1,” katanya.

Menurut Kamal, dia mengetahui pada Jumaat lalu, arwah menetap di Rumah Anak Yatim di Bukit Pegoh, Teluk Mas, sementara mendapatkan rawatan tradisional penyakit dideritainya.

“Itulah, kali terakhir saya bertemu dengan arwah yang nampak begitu tenat dan terseksa. Saya perhatikan arwah kurang bercakap dan saya berada di situ selama empat jam sebelum balik.

“Kehilangan arwah satu kerugian kepada industri lakonan di Malaysia, kerana tiada orang boleh menandingi lakonannya yang mantap dan tersendiri,” katanya lagi.