Al-Fatihah: Jalil Ngah

Abdul Jalil Ngah

KUALA LUMPUR: Pengarah Kreatif AVXS Sdn Bhd, Abdul Jalil Ngah, 51, yang terkenal dikalangan krew penerbitan termasuk artis rock era 80-an menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 7.30 pagi, semalam di Institut Jantung Negara (IJN) akibat sakit jantung.

Arwah yang dilahirkan di Kuala Terengganu meninggalkan seorang balu, Jalina Mustafa, 34, dan dua orang anak Adham, 11 dan Afrina, 8. Jenazah, selamat dikebumikan semalam di Tanah Perkuburan Islam, Masjid Siti Khadijah, Pantai Dalam, Kuala Lumpur.

Deraian air mata sahabat handai, membuktikan betapa dekatnya Allahyarham di hati mereka. Ia jelas kelihatan apabila M Nasir dan Man Bai berpelukan dalam keadaan sebak.

Persada seni tanah air terus diselubungi suasana suram dengan kehilangan seorang lagi insan seni yang begitu berharga. Sememangnya keadaan seperti ini sukar diterima apatah lagi sebelum ini mereka terpaksa menerima kenyataan kehilangan penulis lirik terkemuka, Rosli Khamis (Loloq).

“Hari ini hari kelapan arwah berada di IJN. Dia sepatutnya menjalani pembedahan pintasan jantung jam 7 pagi tadi disebabkan tiga saluran jantungnya tidak berfungsi. Sebelum itu, beberapa kali arwah diserang sakit kepala yang teruk sehingga terpaksa diberikan ubat. Tidak beberapa lama kemudian dia pulih kembali dan dapat berbual seperti biasa sampailah saat dibawa ke ICU. Saya memintanya mengucap dua kalimah syahadah dan dia mampu melafazkan dengan lancar. Keadaannya itu sedikitpun tidak membayangkan dia akan meninggalkan kami semua tetapi itulah yang berlaku selepas 25 Minit dalam ICU, doktor memberitahu arwah sudah tiada,” kata sahabat baiknya, Ahmad Fitri Emir, 44, atau lebih dikenali sebagai Arab.

Arab menambah, arwah sudah lama dikesan mengidap sakit jantung bagaimana kebelakangan ini kadar kesihatannya makin terjejas. Atas alasan itu juga pembedahan pintasan jantung yang sepatutnya diadakan Mei ini terpaksa dipercepatkan kepada 18 Mac.

Putera sulung hasil perkahwinan Jalil dengan isterinya, Jalina iaitu Adham berkata, “Saya terkejut apabila dimaklumkan ayah sudah meninggal. Dua hari lalu saya melawatnya di hospital dan sepanjang lapan hari ayah di sana saya, adik dan emak sempat menjenguknya tiga kali. Saya menulis satu surat kepada ayah supaya dia kuat dan cepat sembuh malah memberitahu kepadanya yang saya dan adik sangat sayangkannya. Ayah juga beritahu saya yang dia sayangkan kami berdua. Tadi saya tidak dapat menahan sebak tetapi sekarang saya tak mahu menangis kerana tak mahu arwah ayah sedih. Sampai bila-bila pun saya akan ingat kenangan memasak dengan ayah, waktu ayah bercerita kisah hidup dia sampai bila-bila”.

Jalil yang aktif di bidang seni sejak 1957 sehingga 2008, merupakan abang kepada komposer terkenal, Manan Ngah dan adik kepada kartunis Fatah Ngah yang popular dengan siri kartun Lagak A Mamud dalam komik Gila-Gila.

Manan Ngah mengakui langsung tidak menyangka abangnya pergi dalam usia yang muda serta meninggalkan dua orang anak yang masih bersekolah.

“Walaupun sedih, sebagai adik saya harus reda dengan pemergiannya. Apatah lagi, sudah lama dia derita sakit jantung namun enam bulan kebelakangan ini kondisi kesihatan tidak begitu stabil. Arwah, anak yang keempat dari tujuh beradik. Selain saya, arwah dan seorang lagi abang kami iaitu Fatah, antara yang terbabit dalam bidang kreatif. Kalau ikutkan hubungan saya dan arwah tidak begitu rapat namun satu-satunya yang saya perasan kami akan melakukan satu-satu perkara itu dengan penuh minat. Abang saya ini memang pakar dalam rekaan pentas dan penataan cahaya. Minatnya terhadap seni dan rekaan sudah menyerlah sejak kecil lagi dan arwah gemar mereka cipta sesuatu menggunakan barangan terpakai,” katanya.

Rocker terkenal, Amy Search pula berkata, pemergian Jalil Ngah amat dirasai kerana arwah antara orang kuat yang banyak membantu memacu kerjaya seni Search.

“Arwah, antara individu di belakang tabir yang sering bekerjasama dengan Search. Sejak dari zaman Isabella sampailah sekarang. Pembabitan arwah bukan setakat Pengarah Kreatif untuk konsert Search tetapi juga terbabit dalam penghasilan kulit album dan video klip. Antara kulit album kami yang mendapat hasil sentuhan Jalil adalah Gema Timur Jauh, Magic, Saat Ku Idamkan manakala Bencana adalah salah satu video klip yang dihasilkannya. Sepatutnya tahun ini kami akan mengadakan konsert Revolusi sempena ulang tahun ke-25 Search tapi nampaknya hajat tak kesampaian. Jalil terus menjadi pilihan Search kerana dia faham kehendak kami nilai seorang yang mementingkan nilai artistik. Malah dia juga individu yang bertanggung jawab membuat rekaan dalaman restoran saya, Cheng Ho yang akan beroperasi di Wangsa Maju tidak lama lagi,” katanya.

Video klip Isabella dari Search antara hasil sentuhan Jalil Ngah ketika mula berjinak dalam bidang pengarahan.

Menyingkap latar belakang Jalil Ngah, selepas menamatkan pengajian dalam bidang Seni Lukis dan Seni Reka dari Institut Teknologi Mara (kini Uiniversiti Teknologi Mara) pada 1980, beliau terlebih dahulu mencari pengalaman dengan bekerja sebagai Pelukis Ilustrasi dan Pengarah Seni di beberapa agensi pengiklanan selama lima tahun.

Kerjaya sebenarnya dalam bidang rekaan set dan pentas bermula apabila beliau bekerja di TV3 sebagai pereka set pada penghujung 80-an. Set terawal program terkenal TV3 iaitu Muzik Muzik adalah hasil rekaan Jalil. Ini diikuti Golden Kite World Song Festival anjuran TV3 dan Penerbangan Malaysia (MAS) pada 1990.

Selepas berkhidmat selama lima tahun, dia menubuhkan syarikat AVXS Sdn Bhd cukup sinonim dengan bidang produksi konsert, sistem pencahayaan dan rekaan pentas.

Antara konsert dan acara yang membabitkan AVXS secara langsung ialah Konsert Legenda Sheila Majid, Raihan (Singapura), sebahagian besar konsert solo M Nasir, Ella Tour, Anugerah Industri Muzik (AIM), Anugerah Sukan Negara (1997 hingga 2000), Penang World Film Festival, Konsert Mohram di Istana Budaya, Search (Pulau Pinang), Konsert Ambang Merdeka (Putrajaya) dan persembahan delegasi filem Puteri Gunung Ledang di Festival Filem Venice, Itali tidak lama dulu.

Berikutan tugasnya lebih banyak di balik tabir, mungkin tidak ramai yang mengenalinya. Tetapi bagi yang terbabit secara langsung dalam produksi dan pengurusan konsert, Jalil adalah antara yang terbaik.

Jalil yang cukup sinonim dengan bidang produksi konsert, sistem pencahayaan dan rekaan pentas dikenali ramai yang terbabit secara langsung dalam produksi dan pengurusan konsert sejak 20 tahun lalu. Hampir semua konsert-konsert mega membabitkan Search dan Wings pada era 80-an dan 90-an dulu menggunakan kepakaran dan daya kreativitinya.

7 thoughts on “Al-Fatihah: Jalil Ngah

  1. takziah utk bekas balu dan anak – anak arwah. bekas balu arwah yg byk menjaga arwah.

  2. he’s a very nice man.i’m glad i got the opportunity to meet n work with him although for a month only.al fatihah..

Comments are closed.