Rafidah antara 8 yang digugurkan

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Rafidah Aziz, 64, merupakan Menteri paling lama berkhidmat sejak 1980, digugurkan daripada barisan Kabinet baru. Beliau yang juga Ketua Pergerakan Wanita Umno, mula menjadi Menteri Kabinet ketika dilantik Menteri Perusahaan Awam pada Sept 1980. Seterusnya, dilantik sebagai Menteri Perdagangan dan Industri pada Mei 1987. Beliau terus kekal dengan portfolio tersebut yang kemudiannya dikenali sebagai Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri pada Okt 1990.

Turut digugurkan adalah Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad, 66, bekas menteri dalam negeri yang juga Setiausaha Agung Umno dan BN, dilantik pertama kali ke Kabinet sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Pertanian pada Apr 1982 dan kemudian dilantik Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 1983. Radzi digugurkan daripada jawatan Timbalan Menteri Perusahaan Utama pada 7 Mei 1987, berikutan krisis dalaman Umno dan 17 tahun kemudian beliau dipertanggungjawabkan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Perundangan) pada 30 Mac 2004.

Datuk Seri Azmi Khalid, 67, merupakan bekas tokoh korporat juga sebagai bekas menteri sumber asli dan alam sekitar, dilantik pertama kali sebagai Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri pada 3 Mei 1995 selepas memenangi kerusi Parlimen Padang Besar pada pilihan raya umum 1995.

Walaupun memenangi kerusi Parlimen Kulai, Datuk Seri Ong Ka Ting, 52, yang juga Presiden MCA, enggan dilantik menjadi Menteri kerana mahu memantapkan parti itu berikutan prestasi buruk MCA pada pilihan raya umum 2008.

Datuk Seri Dr Fong Chan Onn, 64, yang merupakan bekas menteri sumber manusia sejak 1999 sehingga pilihan raya umum lepas, telah mencapai tempoh memegang jawatan Kabinet selama dua penggal yang ditetapkan perlembagaan MCA.

Nasib yang sama diterima Datuk Abdullah Md Zin, 61, bekas Timbalan Rektor (Akademik dan Penyelidikan) Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM), memenangi kerusi Parlimen Besut walaupun pertama kali bertanding pada pilihan raya 2004. Tahun yang sama, beliau dilantik Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab dalam Hal Ehwal Agama.

Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor, 58, yang merupakan anggota Parlimen Putrajaya, pertama kali dilantik Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada Jan 2001 dan dinaikkan pangkat di jabatan sama dua tahun kemudian. Beliau digugurkan daripada barisan Kabinet selepas pilihan raya 2004 tetapi dilantik semula sebagai Menteri Pelancongan dalam rombakan Kabinet pada Februari 2006.

Manakala, Datuk Seri Dr Jamaludin Mohd Jarjis, 56, Anggota Parlimen Rompin selama lima penggal pertama kali menyertai Kabinet pada 2002 sebagai Menteri Kewangan Kedua dan kemudian dilantik Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pada Januari 2004 dan dua bulan kemudian sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Innovasi.

cikwiduri: Nampaknya tak ade wakil dari Perlis yang masuk jemaah menteri baru.

Related Topics:

Politik Shahrir penuh warna warni
5 menteri baru Kabinet 2008
Senarai penuh Kabinet 2008
Senarai gugur Kabinet 2008