Sejarah Hari Valentine

Oleh Idris Musa
Harian Metro

BAGI masyarakat Eropah, Hari Valentine adalah antara hari paling istimewa, malah menjadi tradisi disambut sejak berkurun terutama pasangan kekasih untuk meluahkan perasaan cinta, lazimnya dengan menghadiahkan kuntuman mawar merah.

Ia dikaitkan pertukaran nota cinta atas nama ‘valentine’ dan simbol moden sempena hari itu seperti garisan bentuk hati dan Cupid (Latin, cupido – tuhan cinta dan seks memberahikan) yang berkepak. Sejak kurun ke-19, nota bertulis tangan menjadi medium untuk tulisan kad ucapan.

Mengikut sejarah, hari berkenaan dinamakan sempena nama dua pahlawan zaman awal Kristian, Valentine, tetapi kemudian dikaitkan percintaan romantik.

Sebenarnya ramai pejuang awal Kristian bernama Valentine, malah sehingga 1969, Gereja Katolik secara rasmi mengiktiraf 11 Hari Valentine dan mereka bernama Valentine diberi pengiktirafan pada 14 Februari setiap tahun.

Antara yang menonjol ialah Valentine Rom, iaitu seorang paderi Rome yang mati kira-kira 269 Selepas Masihi dan dikebumikan di Via Flaminia. Peninggalannya ialah Gereja Saint Praxed di Rom dan Gereja Whitefriar Street Carmelite di Dublin, Ireland.

Seorang lagi Valentine Terni yang menjadi paderi di Interamna pada 197 Selepas Masihi dan dikatakan dibunuh pada masa penindasan Penguasa Aurelian. Dia juga dikebumikan di kawasan Via Flaminia, tetapi di tempat berbeza dengan Valentine Rom. Pusakanya ialah Gereja Basilica of Saint Valentine di Terni.

Sesetengah sumber mengatakan ‘Valentine’ yang dikaitkan dengan percintaan ialah Valentine Rom, manakala yang lain mendakwa Valentine Terni. Tetapi ada sarjana merumuskan dua nama terbabit adalah orang yang sama. Begitupun, tiada elemen percintaan pada biografi pejuang terbabit pada awal abad pertengahan.

Hari ini sambutan itu diterima masyarakat dunia.

Di Barat seperti di United Kingdom sambutannya menjadi satu tradisi, misalnya di Norfolk, satu karektor dipanggil ‘Jack’ Valentine mengetuk pintu rumah, meninggalkan gula-gula dan hadiah untuk kanak-kanak.

Sementara di negara Katolik tradisional seperti Perancis, Hari Valentine dikenali sebagai Saint Valentin.

Di Denmark dan Norway, Hari Valentine dipanggil Valentinsdag, iaitu hari menikmati makan malam dalam suasana romantik bersama pasangan.

Dari perspektif Islam, Profesor Perundangan Islam (Fiqh) di Universiti al-Azhar, Dr Su’ad Ibrahim Salih, menyatakan:
“Festival cinta adalah festival orang Roman, apabila mereka yang berfahaman paganisme (jahiliah) tersebar luas di kalangan orang Roman lebih 17 kurun lalu. Dalam konsep orang terbabit, ia menjadikan hari itu melahirkan perasaan cinta.”

Beliau berkata, Islam ialah agama altruisme, menekankan cinta sebenar, bekerjasama terhadap perkara baik dan sesuatu yang betul dari segi moral.

Allah berfirman (maksudnya dalam surah al-Hujurat, ayat 10): Sebenarnya orang yang beriman itu bersaudara maka damaikanlah di antara dua saudara kamu itu; dan bertakwalah kepada Allah agar kamu beroleh rahmat.

“Saya boleh katakan ada asas untuk menzahirkan cinta yang diterima dalam agama dan ada juga yang tidak diterima. Antara asas cinta yang diterima agama termasuk cinta kepada Nabi dan Rasul. Cinta kepada Allah dan Rasul-Nya, Nabi Muhammad s.a.w sepatutnya paling atas berbanding cinta pada yang lain.

“Islam mengiktiraf majlis sambutan untuk mendekatkan antara satu sama lain dan menambahkan perisa dalam kehidupan. Bagaimanapun, Islam melarang peniruan secara membabi buta dari Barat seperti sambutan khusus Hari Valentine.

“Justeru, sambutan hari istimewa yang dipanggil sebagai Hari Valentine adalah satu pembaharuan atau bidaah yang tiada asas dalam agama,” katanya.

Menurutnya, setiap pembaharuan seperti perkara sedemikian adalah tertolak. Berdepan persoalan ini, pihak berkuasa Arab Saudi menunjukkan ketegasannya dengan mengharamkan penjualan semua barang berkaitan Hari Valentine, malah mereka memaklumkan petugas kedai memindahkan barang berwarna merah, kerana hari terbabit bukan anjuran Islam.

cikwiduri: Alhamdulillah…dah lama tinggalkan sambutan valentine nie. Cinta dan kasih sayang disemai sepanjang masa dan bukannya menunggu masa tertentu untuk menyambutnya. Bila-bila masa sahaja kita boleh menyambut hari kasih sayang kita tetapi biarlah menurut cara yang dianjurkan Islam. Semoga umat Islam di Malaysia khususnya SEDAR akan makna Hari Valentine yang sebenar.

3 thoughts on “Sejarah Hari Valentine

  1. Time study dulu aku ada sorg kwn namanya Valentine tapi xda pula aku nmpak dia sambut valentine,,,,

Comments are closed.