Al-Fatihah: Fendi (A to Z)

KUALA KEDAH: “Dia (arwah) sudah meninjau kawasan untuk mendirikan sekolah pondok itu, tetapi saya tidak pasti bila dia akan membina sekolah berkenaan kerana dia hanya memaklumkan perkara itu kepada ibu.

“Bagaimanapun, hasratnya itu tidak kesampaian apabila dia meninggal dunia pagi tadi (semalam) dan kami sekeluarga reda kerana dia pergi dengan tenang,” kata Zailiawati Zainon, 32, adik perempuan kepada bekas anggota kumpulan A to Z, Affendey Zainon, 39, atau lebih dikenali sebagai Fendi yang meninggal dunia akibat diserang strok selepas menjalani rawatan tiga hari di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, semalam.

Beliau ketika ditemui di rumah mereka di Taman Harapan, dekat sini, semalam berkata, abangnya menghembuskan nafas terakhir di sisi ibunya, Siti Norma Md Akhir, 58, dan bapanya, Zainon Cha, 58, kira-kira jam 9.30 pagi, semalam di hospital berkenaan.

Kira-kira 200 orang hadir termasuk saudara-mara, kenalan dan peminat untuk memberi penghormatan terakhir kepadanya di rumah keluarga Allahyarham di Taman Harapan.

Zailiawati berkata, abang sulungnya itu diserang strok sejak Disember tahun lalu dan sejak itu arwah tidak berselera makan sehingga menyebabkan berat badannya semakin susut.

Katanya, pada Ahad lalu, abangnya mengadu sesak nafas dan dia kemudian membawa abangnya ke HSB untuk mendapatkan rawatan kerana bimbang dengan keadaannya yang tidak bermaya.

Beliau berkata, abangnya hanya sempat menyertai kumpulan A to Z dua tahun dan berhenti dari dunia hiburan untuk menyertai kumpulan tabligh.

Katanya, abangnya pernah menyatakan hasrat membina sekolah pondok di Langkawi untuk mengajar tabligh kepada pelajar baru.

Zailiawati berkata, abangnya yang masih bujang itu masih menyimpan Anugerah Emas platinum yang pernah diperolehnya ketika menjadi artis serta majalah lama yang masih disimpan.

Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kuala Kedah, selepas solat Asar, petang semalam selepas dituntut keluarganya dari hospital, semalam.

Fendi menganggotai kumpulan A to Z pada 1995 bersama Lan dan Jeff, tetapi hanya sempat merakam dua album bersama kumpulan itu yang popular dengan lagu Berdendang dan Itik Gembo-Gembo serta mengambil keputusan bersara dari dunia artis dua tahun selepas itu.

Seorang peminat kumpulan itu, Jasni Ariffin, 38, berkata dia terkejut apabila dimaklumkan berita mengenai artis kesayangannya kerana tidak pernah menyangka dia sakit.

“Saya terkejut dengan berita kematiannya walaupun dia sudah lama menyepikan diri dari dunia hiburan dan saya langsung tidak menyangka dia diserang strok sejak Disember lalu.

“Bagaimanapun, saya berharap rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di sisi orang mukmin,” katanya. – HM 24/04/2008

Fendi

Berita kematian Affendey Zainon (Fendi), 39, akibat serangan penyakit angin ahmar turut mengejutkan seorang lagi anggota kumpulan A To Z, Ahmad Shah Al-Jefri, 31 atau Jeff.

Fendi meninggal dunia selepas menerima rawatan selama tiga hari di Hospital Sultanah Bahiyah, di Kuala Kedah, Kedah.

Selain Fendi dan Jeff kumpulan yang cukup popular dengan lagu Itik Gembo-Gembo dan Iyo Ko? itu turut dianggotai Nor Azlan Abdul Aziz, 33 atau Lan.

Menurut Jeff ketika dihubungi, dia hanya mengetahui anggota kumpulan pernah disertainya itu meninggal dunia semalam, selepas ia disiarkan di akhbar.

“Selepas Fendi meninggalkan kumpulan A To Z, kami terus putus hubungan. Seingat saya, hanya sekali dua kami bertemu itupun sewaktu mengadakan persembahan di negeri kelahirannya.

“Fendi datang dan duduk menyaksikan kami menyanyi bersama kelompok peminat. Mujur saya mahupun Lan perasan kehadirannya dan terus mengajaknya ke belakang pentas,” katanya.

Bercerita lanjut kata Jeff, ketika mengambil keputusan untuk meninggalkan kumpulan A To Z, Fendi memberi alasan faktor kesihatan dan keinginannya meneruskan pengajian di sekolah pondok di kampungnya.

“Peristiwa berlaku sekitar 1996 dan kumpulan A To Z sedang berada di puncak kejayaan. Hendak diikutkan saya mahupun Lan memang berat hati mahu melepaskan Fendi keluar kerana kami sama-sama menubuhkan kumpulan ini.

“Menghormati kehendaknya kami mahupun syarikat rakaman Sony Music waktu itu akur dengan keputusan diambil,” katanya.

Menyentuh mengenai alasan kesihatan diberikan, kata Jeff pada waktu itu Fendi nampak sihat. Malah, dia tidak menunjukkan tanda-tanda menghidap sebarang penyakit kronik dan mampu bekerja dalam studio hingga pagi.

“Cuma satu perkara yang saya perasan dia sering mengadu mengalami sakit kaki dan memang benar kakinya selalu saja bengkak secara tiba-tiba,” katanya lagi.

Walaupun pembabitan Fendi hanya seketika bersama A To Z, banyak pengalaman dilalui bersama arwah tidak dapat dilupakan.

“Antara kami bertiga Fendi paling tua jadi pada kami dia sudah dianggap seperti abang kandung. Malah, apa saja masalah yang saya hadapi akan saya ceritakan kepadanya. Selalunya dia akan memberikan nasihat yang bagus.

“Sebagai anggota paling tua, dia turut mengambil berat mengenai kebajikan kami berdua,” katanya lagi. – HM 25/04/2008

3 thoughts on “Al-Fatihah: Fendi (A to Z)

  1. SY PEMINAT A TO Z DARI SEKOLAH RENDAH LG.SEMUA ALBUM SY BELI.TLG KEMBALIKAN A TO Z KE PERSADA SENI.SY T’INGIN SGT TGK MEREKA WAT SHOW.INI PERMINTAAN SY…………..PLEASE!!

  2. Aku minat juga kat group ni…Yang paling aku ingat waktu show di Singapura(tak bila) aku boleh bayang sampai sekarang betapa cerianya Fendi sewaktu menyampaikan lagu itik gambo2. Takziah utk keluarga Fendi semuga Allah mencucuri rahmat ke atas aruah…

Comments are closed.