MURTAD: Permohonan Siti Fatimah diterima

GEORGETOWN: Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang, di sini, semalam, membenarkan permohonan seorang mualaf, Siti Fatimah Tan Abdullah atau Tan Ean Huang untuk mengisytihar dirinya keluar agama Islam.

Ketua Hakim Syarie Perlis, Othman Ibrahim yang membuat keputusan turut mengarahkan Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Maipp) supaya membatalkan sijil pemelukan Islam milik Siti Fatimah, 39.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat atas kapasitinya sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang kerana mendengar kes berkenaan sejak awal perbicaraan kira-kira dua tahun lalu.

Bagaimanapun, katanya, mahkamah terpaksa menolak permohonan plaintif supaya mengarahkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menukarkan status agama pada kad pengenalannya.

“Permohonan yang dibuat itu di luar bidang kuasa mahkamah dan plaintif perlu mengemukakan sendiri permohonan kepada JPN bagi menukar status agama dari Islam kepada Buddha mengikut prosedur biasa.

“Keputusan dibuat berdasar peruntukan kuasa lanjutan kepada Seksyen 6 1 (3)b(x) Enakmen Aturcara Maal Negeri Pulau Pinang 2006 yang menekankan kepentingan pihak yang membawa saudara baru supaya lebih bertanggungjawab,” katanya.

Othman berkata, kegagalan suami yang membawa plaintif memeluk agama Islam untuk membimbing dan Maipp sebagai pihak bertanggungjawab gagal menjaga kebajikan mualaf hingga membawa kepada keadaannya sekarang.

Beliau berkata, pihaknya kesal kerana Maipp tiada minat terhadap kes berkenaan kerana ketidakhadiran pada prosiding awal walaupun saman sudah diberi dan hanya mengemuka hujah pembelaan di hujung perbicaraan.

Dalam penghakimannya, beliau berkata, murtad boleh berlaku disebabkan pertuturan, perbuatan serta iktikad dan menyifatkan Siti Fatimah tidak mengamalkan Islam termasuk bersembahyang di tokong dan makan babi.

“Berdasarkan kepada gambar Siti Fatimah di tokong dan pernyataannya sendiri dan rakan-rakannya menunjukkan plaintif mengamalkan ajaran Buddha, bukannya agama Islam,” katanya.

Peguam mewakili Siti Fatimah, Ahmad Jailani Abdul Ghani, berkata keputusan itu penting kerana orang bukan Islam tidak sewajarnya memegang dokumen pengenalan diri sebagai orang Islam.

Sementara itu, Ahmad Munawir Abdul Aziz yang mewakili Maipp dijangka akan mengemuka rayuan dalam masa terdekat.

Pada 10 Julai 2006, Siti Fatimah memfailkan permohonan terhadap Maipp selaku defendan untuk mengisytiharkan dirinya keluar dari Islam.

Dalam pernyataannya, plaintif tidak pernah yakin dengan ajaran Islam dan hanya memeluk agama itu bagi membolehkannya berkahwin dengan lelaki warga Iran, Ferdoun Ashanian.

Siti Fatimah yang pernah bekerja sebagai tukang masak sentiasa mengamalkan ajaran Buddha dan kerap bersembahyang di tokong Tua Pek Kong, Kuan Yin dan Thi Kong.

Dia memeluk agama Islam pada 25 Julai 1998 untuk berkahwin dengan Ferdoun pada 16 September 2004 dan memfail permohonan itu selepas suaminya menghilangkan diri tanpa sebab.

Related:
MURTAD: Azlina Jailani @ Lina Joy
MURTAD: Siti Fatimah @ Tan Ean Huang
MURTAD: Islam dihina di Malaysia
MURTAD: Selimah Mat buried according to Buddhist rites

5 thoughts on “MURTAD: Permohonan Siti Fatimah diterima

  1. walaupun tukar parti sama juga,hudud sebagai helah tutup muka orang melayu sahaja,parti sekarang pun dah islamik dah.

  2. apa kata kita cuba ubah pemerintah.cari parti yang lebih islamic sikit. kita tengok macan mana hukum hudud laksanakan masaalah ini. setuju

  3. tula pasal. kesian gak kt diorg. kita x sempat nk gtau kt diorg supaya jgn kluar islam. yg dh terlepas tu xleh nk tarik dah. yg islam ni yg kn jaga. kalau dlm ic je islam tp jati diri x islam x guna gak.

Comments are closed.