BIZZ: MAS tarik keistimewaan Tony Fernandes

Malaysia Airlines menarik semula kemudahan diskaun tiket lumayan yang diberikan kepada Ketua Eksekutif Kumpulan AirAsia, Datuk Tony Fernandes sejak dua tahun lepas, ekoran kritikannya terhadap syarikat penerbangan berkenaan.

Penarikan hak istimewa itu berkuatkuasa 1 Jun 2008.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Datuk Seri Idris Jala berkata syarikat penerbangan tersebut menerima banyak surat bantahan daripada pekerja mengenai pemberian kemudahan itu ketika Fernandes mengeluarkan kenyataan negatif terhadap syarikat penerbangan nasional itu.

“Kami menyediakan keistimewaan itu atas semangat persahabatan sejak 2006 selepas respon Fernandes bagi kemudahan antara syarikat penerbangan bagi penerbangan beliau di laluan antarabangsa kami walaupun AirAsia tidak mempunyai perjanjian antara syarikat penerbangan dengan Malaysia Airlines,” katanya.

Menurut amalan industri, hanya syarikat penerbangan dengan perjanjian itu akan mempertimbangkan pemberian keistimewaan kepada pekerja syarikat penerbangan.

“Sejak itu, kami menerima banyak aduan pekerja kenapa keistimewaan diberikan. Kami cuba mengetepikan kesemua kritikan itu.

“Bagaimanapun, baru-baru ini, kami sekali lagi menerima banyak surat bantahan daripada ramai kakitangan mengenai kemudahan itu ketika pelbagai kenyataan negatif dibuat terhadap Malaysia Airlines.

“Hati ramai kakitangan kami terguris dan kecewa dengan apa yang dibaca dalam media. Rasa tidak puas hati di kalangan kakitangan semakin bertambah dan tekanan daripada kesatuan sekerja juga semakin meningkat,” katanya.

Idris berkata berdasarkan pandangan secara bersama dan permintaan daripada pelbagai pihak dalam syarikat maka pihak pengurusan telah memutuskan penarikan balik keistimewaan itu sebagai tindakan terbaik.

3 thoughts on “BIZZ: MAS tarik keistimewaan Tony Fernandes

Comments are closed.