Forum “Memeluk Islam” tamat lebih awal – (BM)

KUALA LUMPUR: Forum kontroversi “Memeluk Islam” anjuran Majlis Peguam, yang diteruskan juga hari ini walaupun menerima bantahan keras daripada pelbagai pihak dan pertubuhan, ditamatkan lebih awal daripada jadual.

Forum Memeluk Islam” itu dikatakan bertujuan merintis jalan bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi segolongan masyarakat yang tersepit antara undang-undang sivil serta syariah, dan banyak pihak sebelum ini menyuarakan bantahan terhadap penganjurannya, namun tidak dihiraukan oleh penganjur.

Kira-kira setengah forum yang bermula pukul 9 pagi itu berlangsung, Presiden Majlis Peguam Datuk S. Ambiga memberitahu forum itu bahawa polis telah menasihatkan agar ia ditamatkan pada 10 pagi. Forum itu sepatutnya berakhir 1.30 tengah hari.

Pada pukul 10 pagi, Ambiga mengumumkan secara rasmi bahawa forum itu ditutup.

“Kami menghormati pandangan semua pihak. Kami tidak bergaduh dengan sesiapa dan saya mengumumkan forum ini ditutup,” katanya.

Di luar perkarangan pejabat Majlis Peguam di Lebuh Pasar Besar di sini, di mana forum itu berlangsung, lebih 1,000 orang berkumpul termasuk anggota pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam sebagai bantahan terhadap penganjuran forum itu.

Daripada hanya kira-kira 100 orang yang berkumpul pada awal pagi, jumlah yang mengambil bahagian dalam bantahan itu meningkat kepada lebih 1,000 orang pada pukul 9.30 pagi dan jumlah itu terus meningkat dari semasa ke semasa.

Kira-kira 100 anggota polis ditempatkan bagi mengawal keadaan.

Sebelum itu, pada kira-kira 9.51 pagi, lima wakil NGO dan parti politik yang diiringi beberapa anggota polis yang diketuai Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zulkarnain Abdul Rahman memasuki auditorium yang terletak di tingkat pertama bangunan Majlis Peguam itu.

Ketika itu penceramah yang terdiri daripada peguam-peguam Ravi Nekko, K.

Shanmugam dan Mohamed Haniff Khatri Abdulla serta beberapa penceramah lain sedang membincangkan aspek perundangan pada forum itu.

Beberapa minit kemudian, berlaku pertikaman lidah apabila wakil NGO itu meminta forum itu dihentikan manakala bekas profesor undang-undang keluarga dan bekas pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) Mehrun Siraj meminta wakil NGO itu bertenang dan menghormati forum itu.

Pada saat itu, Ambiga naik ke pentas dan memberi jaminan yang beliau akan menghentikan forum itu jika semua orang bertenang dan beberapa minit kemudian beliau mengumumkan forum itu ditutup.

Zulkarnain berkata keadaan terkawal dan kembali pulih seperti sediakala selepas forum itu ditamatkan dan tiada sebarang tangkapan dibuat.

“Polis ada kuasa untuk menasihat atau menghentikan forum jika ancaman keselamatan semakin meningkat. Kita tak nak keadaan menjadi lebih teruk jadi kita menasihat ahli forum untuk berhenti serta-merta,” katanya.

Yang turut kelihatan dalam perhimpunan itu ialah pemimpin Pakatan Rakyat iaitu Ketua Dewan Pemuda PAS, Salahuddin Ayub dan dua ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Badrul Amin Baharum dan Latheefa Koya.

Ambiga, ketika ditemui pemberita menyifatkan kejadian itu sebagai amat malang.

“Majlis Peguam percaya dalam kebebasan bersuara dan mereka yang berhimpun di luar juga berhak berbuat perkara yang sama selagi ia dilakukan secara aman,” katanya dan menurutnya forum itu membincangkan isu berkaitan aspek perundangan antara Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah.

Ambiga turut mengucapkan terima kasih kepada polis yang mengendalikan keadaan itu secara profesional.

Sementara itu, Mehrun kesal dengan tindakan wakil NGO yang mengganggu forum itu sehingga terpaksa dihentikan lebih awal.

“Terdapat keperluan untuk menjelaskan kepada orang ramai mengenai ajaran Islam yang sebenarnya. Ini bukan caranya dan saya kesal kerana ia menjejaskan imej Islam,” katanya kepada pemberita.

Mehrun menggesa kerajaan meminda Seksyen 3 Akta Pembaharuan Undang-undang (Perkahwinan dan Penceraian) 1976 untuk memberi peluang kepada pasangan yang menukar agama untuk membatalkan perkahwinan sivil mereka di Mahkamah Sivil dalam kes membabitkan pasangan enggan menukar agama.

Ketika ini terdapat kes dikemukakan di Mahkamah Sivil antara pasangan yang telah memeluk agama Islam dan pasangan bukan Islam dan pertikaian yang timbul ialah mahkamah mana yang mempunyai bidang kuasa untuk mendengarnya – mahkamah syariah atau mahkamah sivil – berhubung pembatalan perkahwinan secara sivil dan hak penjagaan anak-anak.

“Islam menegah perbuatan mengabaikan keluarga,” kata Mehrun dan menurutnya tidak menjadi kesalahan untuk pasangan menukar agama tetapi tidak boleh melepaskan tanggungjawab menjaga kebajikan keluarga mereka daripada perkahwinan sivil.

“Pada saya masalah ini adalah satu masalah ketidakfahaman di kalangan orang bukan Islam dan kewajipan kita adalah untuk menerangkan kepada mereka dan bukannya dengan menjerit, buli, itu adalah tidak tepat dengan kehendak Islam,” katanya.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Majlis Peguam sepatutnya menumpukan kepada bidang perundangan dan bukannya campurtangan dalam bidang lain di luar tanggungjawab mereka.

Beliau berkata sebarang masalah berhubung isu syariah boleh diselesaikan dalam Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil yang telahpun ditubuhkan.

“Kenapa mesti Majlis Peguam ambil inisiatif begitu (mengadakan forum awam Memeluk Islam) yang boleh memburukkan keadaan…makin banyak bincang masalah antara agama, makin banyak masalah timbul,” katanya ketika diminta mengulas penganjuran forum itu selepas perasmian Konvensyen Saudara Muslim Peringkat Kebangsaan 2008 yang disempurnakan oleh isteri Perdana Menteri Datin Seri Jeanne Abdullah.

Penolong Setiausaha Agung Kehormat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan, Ann Wan Seng, yang juga penerima Anugerah Saudara Muslim Cemerlang 2008 turut mempertikaikan penganjuran forum itu yang jelas membelakangkan hak seseorang untuk bebas beragama.

Penerima anugerah Saudara Muslimah Cemerlang 2008 yang juga Pro-Canselor Universiti Malaya (UM) Toh Puan Aisyah Ong Abdullah pula bersetuju dengan pandangan bahawa perbicangan isu sensitif perlu dilaksanakan dalam forum tertutup untuk mengelak timbulnya perkara sensitif yang sukar dikawal.