Kedegilan Majlis Peguam punca tentangan rakyat

KUALA LUMPUR: Kedegilan Majlis Peguam meneruskan forum awam “Memeluk Islam” menjadi punca timbulnya reaksi daripada kumpulan tertentu yang sekaligus boleh menggugat keharmonian negara, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Perdana Menteri berkata reaksi seumpamanya memang dijangka setelah badan profesional guaman itu terus membelakangkan nasihat supaya membatalkan forum berkenaan.

“Saya sudah kata jangan dibuat (forum) secara terbuka kerana tentu berlaku reaksi daripada kumpulan lain, tetapi mereka (Majlis Peguam) berdegil, perkara seperti ini memang sensitif dan kita sudah menjangka ini akan berlaku,” katanya.

Najib berkata demikian sebagai mengulas kekecohan yang timbul apabila forum kontroversi itu tetap diadakan semalam walaupun ditentang pelbagai pihak. Forum itu, bagaimanapun ditamatkan tiga jam lebih awal atas nasihat polis bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

Kira-kira 1,000 orang mengadakan demonstrasi di depan ibu pejabat Majlis Peguam di Jalan Lebuh Pasar Besar semalam dengan membawa pelbagai sepanduk menentang penganjuran forum berkenaan, termasuk anggota Majlis Angkatan Antara Pertubuhan Bukan Kerajaan Islam (Mapan), PAS, Umno dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Ketika ditanya sama ada penganjur program itu akan dikenakan tindakan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri, Najib berkata ia terserah Kementerian Dalam Negeri dan polis.

Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri mengingatkan semua pihak agar tidak mempertikai atau cuba merungkai perkara asas yang telah dipersetujui bersama semua kaum di negara ini, terutama apa yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kalau hendak dirungkai balik akan mencetuskan perbalahan yang boleh menggugat kestabilan dan keamanan dalam negara kita,” tegasnya.

Najib berkata masyarakat berbilang kaum di negara ini sudahpun dapat hidup dengan rukun, aman dan damai selama ini kerana masing-masing mengamalkan sikap toleran, menghormati sensitiviti kaum serta berpandukan Perlembagaan negara yang telah dipersetujui bersama.

Maka adalah tidak wajar untuk mempertikaikan perkara yang dipersetujui itu kerana ia boleh menimbulkan timbal balas serta reaksi daripada kumpulan-kumpulan lain, katanya.