Usah permain isytihar murtad

Oleh Mohamad Hussin
Harian Metro

KUALA LUMPUR: Umat Islam di negara ini tidak boleh sewenang-wenangnya mengisytiharkan diri mereka sebagai murtad (keluar Islam) selagi Mahkamah Syariah belum memutuskan sama ada mereka keluar daripada agama Islam atau sebaliknya.

Ketua Unit Interaksi Harmoni, Bahagian Penasihat Jabatan Peguam Negara, Mohamad Nasir Disa, berkata kekeliruan umat Islam berhubung perkara itu menyebabkan ada pihak yang tidak bertanggungjawab sanggup mengisytiharkan diri mereka bukan Islam kerana cuba mengelak daripada dibicarakan di Mahkamah Syariah.

“Mana-mana individu yang murtad (keluar Islam) dianggap dosa besar. Ada juga yang mendakwa dirinya sebagai Rasul pun sudah dianggap murtad. Bagaimanapun, dakwaan saja tidak boleh dianggap sah dan perlu diputuskan oleh mahkamah.

“Tidak boleh mempermainkan agama Islam, biarlah pihak mahkamah menentukan sama ada seseorang itu benar-benar murtad atau tidak,” katanya ketika menyampaikan ‘Forum Ancaman Riddah’ di Masjid Wilayah Persekutuan.

Forum anjuran Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim) turut menampilkan Pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Zulkiflee Al-Bakri manakala pengerusinya ialah Pegawai Jabatan Kehakiman Syariah, Mohamad Abdullah.

Beliau berkata, pihaknya mengesan cubaan pihak tertentu yang menggunakan Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan mengenai kebebasan agama dan memanipulasi undang-undang agama Islam negeri-negeri, dalam usaha membolehkan penganut Islam menukar agama.

“Tindakan mereka boleh dilihat sebagai suatu cubaan untuk meruntuhkan institusi undang-undang syariah di Malaysia dan Islam keseluruhannya.

“Proses undang-undang yang cuba digunakan pihak tertentu bagi mencabar artikel itu secara profesionalnya boleh dianggap sebagai cara meluputkan kuasa institusi syariah seperti Mahkamah Syariah dan Majlis Agama Islam negeri-negeri.

“Perkara ini, kalau kita lihat dari skop yang lebih luas, jelas melanggar undang-undang dan boleh mengancam keselamatan negara,” katanya.