Anwar tetap pendirian tidak mahu bersumpah

BUKIT MERTAJAM: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga calon pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh, sehingga hari ini masih tetap dengan pendirian tidak mahu bersumpah berhubung tuduhan liwat yang dihadapinya walaupun dicabar pelbagai pihak supaya berbuat demikian.

Beliau yang ditemui pemberita ketika mengadakan lawatan di bilik gerakan wanita PKR di Sungai Semambu dekat sini masih menggunakan alasan yang sama iaitu beliau telah dinasihati oleh ulama untuk tidak mengangkat sumpah dan merujuk kes liwatnya itu ke mahkamah syariah.

“Saya masih lagi nak ikut hukum dan mahkamah syariah. Kalau sumpah (untuk) tuduhan jenayah kena jawab dengan siasatanlah.

“Kalau la ni (sekarang ini) letup orang, mati orang, saya sumpah saya tak buat. Mana boleh. Jadi kena siasatlah dan buat proses pendakwaan. Sumpah tetap sumpah tapi kena juga ada pendakwaan,” katanya yang memberikan reaksi terhadap sumpah yang dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak malam tadi yang tidak mengenali dan mempunyai kaitan dengan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu yang mati dibunuh di Puncak Alam, Selangor pada tahun 2006.