Catatan Nurul Izzah

Mon | Aug 25, 08 | 11:33:40 am MYT

RAMAI mungkin tidak menyangka bahawa saya hampir-hampir tidak sampai ke Permatang Pauh untuk penamaan calon papa di kawasan parlimen penuh lagenda itu.

Tetapi, itulah hakikat – hati saya tersepit untuk memilih sama ada ke Pulau Pinang atau memilih untuk hadir bersama pimpinan Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Malaya (PKAUM) dalam sebuah forum perbincangan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) Sabtu lalu.

Saya sentiasa setia bersama papa. Tidak pernah walau sesaat kasih saya terpisah darinya. Andai diturut kata hati, ingin saya peluk papa erat-erat, lindungi beliau daripada sengsara dan bahaya politik gila yang makin berleluasa.

Ingin saya paut lengan papa setiap masa, setiap hari, selagi saya masih bernadi.

Namun, saya punya tanggungjawab yang lain; sebagai ahli parlimen, sebagai wakil anak muda, dan walaupun beban terasa kadangkala, saya cuba untuk menjadi seperti Papa.

Papa satu dalam sejuta. Tidak sesiapa biarpun kami anak-anaknya, yang bisa jadi seperti dirinya. Papa tidak rapuh, Papa adalah jaguh!

Minggu ini untuk mahasiswa. Saya persiapkan hujah bangkangan AUKU yang kebanyakannya sudah diolah oleh PKAUM sendiri, dan yang selebihnya saya ambil dari Gerakan Mahasiswa Mansuhkan AUKU – gabungan yang dicuri ‘mayat’nya oleh pihak polis pagi tempohari di luar parlimen!

Tambahan pula, saya juga serba salah mahu melihat wajah papa. Siapa yang dapat menduga hiba di hatinya – dirampas pangkat dan hak selaku wakil di Permatang Pauh.

Ditangkap seperti penjenayah besar negara di kediaman sendiri, di hadapan ayah, arwah ibu, isteri, anak-anak, serta penyokong.

Sudah ditahan, dipukul pula oleh Ketua Polis Negara, sambil dibalut mata dan digari tangannya.

Gadis mana yang mahu memperkenalkan jejaka pilihan kepada papanya – di penjara.

Gadis mana yang tidak sebak menyaksikan papanya hanya kembali buat seketika; di hari bahagianya. Saya tahu, kekuatan Papa mengatasi kesedihannya.

Ketabahan Papa dan kesetiaan Mama menjadi sumbu perjuangan saya.

Selesai hukuman penjara oleh mahkamah yang dipengerusikan hakim-hakim zalim, Papa sibuk hari demi hari, berkempen menjelang Pilihan Raya Umum, menuntut kesabaran kami sekeluarga demi membina masa depan baru untuk Malaysia.

Mama sering bicara, Papa bukan milik kami semata-mata. Papa milik semua rakyat Malaysia. Cinta Papa kepada negara melebihi cintanya kepada keluarga. Kalam saya, Papa adalah wira.

Tiba di Permatang Pauh, bagai sireh pulang ke gagang, cuba mengutip sejarah pulangnya papa ke kampung halaman. Bagaimana saya sanggup menatap wajah papa pada hari tersebut – hari yang memperlihatkan kepada kita semua, manusia kerdil yang hanya mengharapkan kepada kuasa Allah SWT yang membolehkan segala-galanya berlaku: Pembebasan papa dan kembalinya papa ke persada politik tanah air, setelah diperlakukan kezaliman manusia.

Kala ini, saya menatap kembali sajak Rajawali karangan Rendra. Ya, seperti Rajawali, Papa akan membela langit dengan penuh setia!

Ayuh anak muda, lakukan perubahan, bermula di Permatang Pauh dengan mengundi Pakatan Rakyat, bukan kerana dia papa saya, tetapi dia adalah simbol reformasi dalam negara. Reformasi!