Beza tuhan dengan Allah

Bersama Dr Abdul Salam Muhammad Shukri
Penolong Profesor Kulliyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, UIAM.

Soalan :

RUKUN Islam pertama menegaskan: “Aku naik saksi bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah dan aku naik saksi Nabi Muhammad itu pesuruh Allah.”

Kalimah syahadah itu menyebut “tiada tuhan melainkan Allah” tetapi mengapa dalam diri umat Islam khasnya rakyat Malaysia, Singapura, Indonesia dan Brunei ada Tuhan iaitu Allah? Lainlah kalau kalimah syahadah itu bermaksud “aku naik saksi bahawa ada Tuhan iaitu Allah.”

Adakah umat Islam khasnya orang Melayu tidak memahami maksud syahadah “tiada tuhan melainkan Allah.” Apakah maksud “tiada tuhan melainkan Allah” dibezakan dengan “ada Tuhan iaitu Allah.” Adakah Tuhan itu Allah dan adakah Allah itu Tuhan?

Pada fahaman saya tuhan maknanya “Robb” iaitu yang mencipta, mendidik, memelihara, mengatur dan “illa” maknanya ialah sembahan.

Sejak bilakah perkataan tuhan digunakan dalam agama Islam dan layakkah saya memberi kata ganti nama Allah kepada Tuhan? Dari manakah asal usul perkataan tuhan itu?

Saya juga meneliti tafsir dalam al-Quran, begitu banyak sekali Allah berfirman, maksudnya: “Tiada Tuhan melainkan Allah”, antaranya dalam surah al-Anbiyaa’ ayat 29 yang bermaksud: “Dan barang siapa di antara mereka menyatakan sesungguhnya Aku adalah Tuhan selain daripada Allah, maka orang itu Kami beri balasan dengan Jahanam, demikian kami memberikan pembalasan kepada orang-orang zalim.

Di dalam kamus Dewan Bahasa dan Pustaka ada terdapat beberapa makna tuhan, antaranya tuhan bermaksud dewa berkepala dua dan Tuhan yang Esa. Ini bermakna tuhan itu banyak, ia tidak Esa, tidak juga tunggal tetapi Allah itu Esa, tunggal, tidak beranak dan tidak diperanakkan sebagaimana terdapat di dalam surah al-Ikhlas ayat 1-4.

Persoalannya di sini, (1) dalam kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, mengapa tuhan (1) (iaitu dewa berkepala dua) mengatasi tuhan (2) (Tuhan yang Esa)? Mengapa kita perlu membezakan tuhan, kalau Tuhan itu Esa, sebagaimana Allah yang Esa, tidak perlu dibezakan.

Semuanya nama Allah di dalam Asmaaul Husna, boleh dibawa berzikir, tetapi perkataan tuhan itu sendiri tidak boleh dizikirkan. Cuba zikir tuhan banyak-banyak sebagaimana kita berzikir menyebut nama-nama Allah, apakah kesudahan bunyi perkataan Tuhan itu?

Di sini jelas sekali bahawa perkataan tuhan tidak boleh dizikirkan. Apa lagi jika kita membawanya dalam doa kita atau dalam hidup kita? Contoh nama-nama Allah yang boleh dizikirkan dan kita bawa dalam doa kita iaitu “Rahman, Rahim”, dan dalam doa pula contohnya “Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim”, sebagaimana terdapat dalam surah al-Israa’ Ayat 110 yang bermaksud, “Katakanlah: Serulah Allah atau serulah Ar-Rahman, dengan nama yang mana saja kamu seru, Dia mempunyai Al-asmaaul Husna (nama-nama yang terbaik) janganlah kamu mengeraskan suaramu dalam solatmu dan janganlah pula merendahkannya dan carilah jalan tengah di antara kamu”.

Persoalannya, kenapa dalam doa kita mesti menyebut “Ya Allah, Ya Tuhan kami/aku.” Saya juga dapati di dalam al-Quran banyak menyebut sifat Allah, antaranya ialah sifat “Rabb” yang terdapat sebanyak 967 kali. Sifat “Rabb” bermaksud yang mencipta, mendidik, memelihara, mengatur.

Persoalan saya ialah mengapa di dalam tafsir al-Quran sifat “Rabb” itu diberi makna Tuhan? Adakah ulama, ustaz dan guru agama Islam mengkaji makna sebenarnya Tuhan dan Rabb? Mengapa umat Islam kini tidak memahami kalimah syahadah?

Adakah jika kita menganggap Tuhan itu Allah ia adalah syirik yang tersembunyi, selepas kita tahu dan diberitahu makna Tuhan.

KELIRU,
Selangor.

Jawapan :

PERTAMA, erti kalimah syahadah (la ilah illa Allah) “tiada Tuhan melainkan Allah” dikira betul mengikut terjemahan harfiyah bahasa Arab. Kita analisis setiap perkataan dalam kalimah terbabit.

Kata ‘la’ adalah kalimah nafiyah dalam bahasa Arab, iaitu penafian yang bermaksud ‘tiada’. Perkataan ‘ilah’ dalam bahasa Arab bermaksud ma’luh atau ma’bud iaitu ‘apa yang disembah’.

Terjemahan ‘ilah’ kepada Tuhan dikira tepat berdasarkan pengertian tuhan menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2005). Dalam Kamus Dewan terdapat kata dasar yang berupa homonim (kata-kata yang sama ejaannya dan sebutan tetapi berlainan maknanya) dengan diperturunkan berasingan diikuti dengan angka I, II dan seterusnya sebagai penanda yang memisahkan.

Ini membabitkan kata dasar tuhan yang disenaraikan kepada dua pengertian utama. Kata dasar pertama, ‘tuhan I’ bermaksud “sesuatu (seperti dewa dan sebagainya) yang dipuja oleh golongan manusia yang agama atau kepercayaan mereka tidak berasaskan kepada Tuhan yang Esa. Manakala kata dasar kedua, ‘Tuhan II’ bermaksud “Allah yang mencipta alam semesta.”

Perkataan tuhan boleh membawa erti ‘ilah’ dalam bahasa Arab dengan maksud apa yang dipuja, disembah dengan sebagainya. Perkataan tuhan juga sama dengan perkataan rabb dalam bahasa Arab dengan bermaksud “Allah iaitu Tuhan yang mencipta dan mentadbir alam semesta.’

Perkataan ‘illa’ kata ithbat dalam bahasa Arab iaitu mensabitkan sesuatu selepas penafian dengan kalimah nafiyah, ‘la’. Ia boleh diterjemahkan dalam bahasa Melayu sebagai “kecuali, melainkan, selain, lain daripada”.

Perkataan ‘Allah’ ialah nama yang paling sempurna mencakupi segala nama dan sifat bagi Tuhan meliputi kata Rabb dan Ilah. Sesetengah ulama mengatakan ia berasal dari kalimah al-ilah, iaitu dibuang hamzah dan diidgham ‘lam’ yang pertama dengan ‘lam’ yang kedua dan ia menjadi ‘lam’ yang mushaddadah (ditasydid) dan mudakhkhamah (dibaca tebal).

Bagaimanapun sesetengah ulama menyatakan ia bukan nama terbitan (mushtaq) tetapi nama khas. Dengan itu maksud kalimah syahadah ini ialah Allah adalah Tuhan yang sebenar, tiada Tuhan selain-Nya.

Tuhan di sini bermaksud ‘Rabb’ yang memiliki dan mencipta segala sesuatu. Seterusnya, Dialah juga Tuhan yang mesti diesakan dalam beribadat. Tuhan di sini bermaksud ‘Ilah’, iaitu yang disembah (ma’bud atau ma’luh).

Dengan itu kalimah syahadah iaitu kalimah tauhid iaitu mengesakan Allah dalam merangkumi:

(1) Tauhid rububiyyah iaitu pengakuan bahawa Allah sahaja yang mencipta, memilik, menghidup, memati, memberi manfaat, memberi mudarat, memperkenankan doa ketika kesusahan hamba, berkuasa penuh terhadap mereka, mengurniakan segala sesuatu dan menahan mereka, kepunyaan-Nyalah segala urusan makhluk dan titah perintah.

(2) Tauhid uluhiyyah, iaitu mengakui bahawa hanya Allah Tuhan yang sebenar, tiada tuhan selain-Nya dan Dialah Tuhan yang wajib diesakan dalam beribadat dan;

(3) Tauhid asma wa sifat, iaitu mengakui bahawa Allah bersifat dengan sifat-sifat kesempurnaan dan suci bersih dari segala sifat kekurangan dan penyerupaan dengan sifat-sifat makluk (Muhammad Na’im Yasin, al-Iman, trj. Abdul Rahman Abdullah, Iman: Rukun, Hakikat & Pembatalan).

Menterjemahkan dengan kalimah syahadah sebagai ‘ada Tuhan iaitu Allah’ adalah tidak tepat dan mengelirukan. Ia tidak tepat kerana tidak merangkumi makna sebenar kalimah syahadah seperti di atas dan mengelirukan kerana tidak sampai maksudnya yang sebenar.

Kedua, pandangan bahawa bahawa kata Tuhan tidak dibawa dalam zikir adalah benar. Begitu juga ilah dan rabb dalam bahasa Arab. Sebaik-baik zikir ialah “la ilah illah Allah.”

Ketiga, pengunaan kata ‘Ya Allah, Ya Tuhan kami/aku’ adalah tepat dan boleh digunakan berdasarkan keterangan di atas dengan maksud Tuhan di sini adalah Tuhan yang disembah dan Tuhan pencipta segala sesuatu, iaitu Allah.

Keempat, asal usul perkataan tuhan atau Tuhan mungkin daripada perkataan ‘tuan’ atau ‘Tuan’. Menurut kajian Alif Danya Munsyi dalam majalah Tiara (1984), pada mulanya kata tuhan hanyalah ‘pelesetan’ dari kata tuan.

Ia terjadi kerana kesalahan seorang Belanda bernama Leijdecker pada tahun 1678 yang sukar menyebut secara betul. Dalam tradisi agama Kristian di Eropah, Nabi Isa biasa disebut dengan panggilan ‘tuan.’

Dalam bahasa Yunani adalah ‘Kyrios’, dalam bahasa Portugis ‘senor’, dalam bahasa Belanda ‘heere’, dalam bahasa Prancis ‘seigneur’ dan dalam bahasa Inggeris ‘lord’ (lihat, A. Husein KNDM, ‘Asal-usul Perkataan Tuhan,’ http://wiriajaya.multiply.com/journal/item/85). Dengan itu ia bertepatan dengan kata Rabb dalam bahasa Arab yang bermaksud, tuan punya atau pemilik.

Kelima, perkataan tuhan bukan menjadi ‘hantu’ apabila perkataan tuhan disebut berkali-kali. Seperti yang dikatakan ia tidak pernah dizikirkan dalam masyarakat Melayu. Masyarakat Melayu sebenarnya sudah mendalami ajaran Islam sejak dahulu.

Bagaimanapun, penjajahan yang berlaku agak lama dalam masyarakat menyebabkan berlaku kejahilan dalam beragama. Islam terutamanya banyak disalah-tafsirkan.

Adalah menjadi tanggungjawab masyarakat dan kerajaan mendidik masyarakat mengenai ajaran Islam yang sebenar merangkumi pandangan hidup, budaya dan akhlak Islam. Dengan itu Islam dapat difahami dan diamalkan sebenar-benarnya.

One thought on “Beza tuhan dengan Allah

  1. Asalamualaikum..

    Saya ingin memberi pandangan terhadap saudari yang keliru dari selangor. Bahawasanya saudara lebih arif mengenaiNya dan adalah tidak wajar saudari bertanyakan kepada penolong prof mengenaiNya. Walaupun niat sedari igin menguji kefahaman beliau mengenaiNya atau dengan lebih tepat lagi ingin menyedarkan beliau mengenaiNya apapun alasannya adalah tidak wajar. Sebaiknya sedari menemui beliau dan adakan muzakkarah terhadap topik ini secara berdepan. Ini soal AQIDAH dan baik diulas secara muzakkarah mengenai apa yg telah sedari belajar dan faham terhadapnya dengan itu dapatlah kedua2nya memahami maksud tersiratdengan lebih jelas lagi.

    sekian. wasalam.

Comments are closed.