Al-Fatihah: Tan Sri Abdul Samad Ismail

Harian Metro

KUALA LUMPUR: Tan Sri Abdul Samad Ismail, 84, yang meninggal dunia di Pusat Perubatan Pantai petang tadi, sempat mewasiatkan supaya bukunya dijaga dengan baik.

Anak bongsu Allahyarham, Nur Azrina, 38, berkata bapanya mewasiatkan mereka agar menjaga semua bukunya yang disimpan di rumah dengan baik.

“Bapa meminta supaya buku yang disimpan dalam rumah tidak dibawa keluar.

“Sebelum bapa meninggal, kami sempat membaca surah Yasin. Selesai baca Yasin, bapa ada membuka matanya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Seksyen 16, Petaling Jaya di sini, malam tadi.

Abdul Samad atau lebih dikenali sebagai Pak Samad meninggal dunia jam 5.58 minit petang tadi (bersamaan 4 Ramadan 1429) kerana jangkitan paru-paru.

Allahyarham dimasukkan ke Hospital Pantai pada 24 Ogos lalu kerana kesukaran bernafas.

Nur Azrina berkata, bapanya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara selepas solat Jumaat.

Katanya, dia sekeluarga mengucapkan terima masih kepada semua yang mendoakan kesihatan bapanya selama ini.

Sementara itu, kakak Nur Azrina, Nuraina, 52, berkata dia menerima pemergian bapanya sebagai ketentuan Ilahi.

“Apa yang paling dirindui saya ialah bercakap mengenai isu politik dengan bapa. Allahyarham sangat prihatin terhadap apa yang berlaku,” katanya.

Jenazah Pak Samad dibawa pulang ke kediamannya di Seksyen 16, Petaling Jaya kira-kira jam 8.45 malam tadi.

Sanak saudara dan kenalan tidak putus-putus menziarahi jenazah Allahyarham di kediamannya malam tadi.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Syed Faisal Albar dan Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd (BHSB), Datuk Manja Ismail.

Pak Samad, anak kelahiran Singapura meninggalkan seorang balu, Puan Sri Habibah Hamid dan 10 anak termasuk dua yang sudah meninggal dunia.

PEMERGIAN Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Abdul Samad Ismail yang menghembuskan nafas terakhirnya di Pusat Perubatan Pantai di Kuala Lumpur, semalam adalah kehilangan besar bagi negara dan tiada galang gantinya kerana pengorbanan beliau dalam bidang kewartawanan dan penulisan tidak terhitung.

Warga kerja kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) turut merasakan kehilangan beliau yang pernah memegang jawatan sebagai Pengarang Berita Harian, Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan NSTP, Penasihat Jabatan Pengarang NSTP dan kolumnis Berita Harian.

Abdul Samad atau dikenali Pak Samad memulakan kerjaya kewartawanan seawal usia 16 tahun di Utusan Melayu pada 1941 di bawah pimpinan satu lagi nama besar dalam bidang kewartawanan, Abdul Rahim Kajai.

Lulusan Senior Cambridge ini tergolong sebagai seorang insan yang dianugerahi pelbagai bakat dan kebolehan.

Beliau yang meninggal akibat jangkitan paru-paru menjadi penyunting Berita Malai iaitu gabungan Utusan Melayu dan Warta Melayu pada awal usia 20-an ketika pendudukan Jepun dalam tahun 1940-an berikutan kematian mengejut Abdul Rahim.

Malah, Abdul Samad turut menabur bakti di negara jiran dengan membabitkan diri dalam perjuangan menuntut kemerdekaan Indonesia selain pernah menjadi pembekal senjata kepada pejuang kemerdekaan Indonesia pada tahun 1940-an.

Selepas Jepun berundur pada 1946, beliau kembali kepada Utusan Melayu sebagai penolong penyunting dan tujuh tahun kemudian sebagai timbalan penyunting.

Beliau juga pernah menyertai Lee Kuan Yew bagi menubuhkan Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan membuat draf perlembagaan dan manifesto parti itu, tetapi meninggalkannya pada 1957.

Pada tahun sama, beliau dihantar ke Indonesia sebagai koresponden Utusan berikutan perselisihan kecil dengan Pengarah Urusan dan Ketua Pengarang Utusan, Yusoff Ishak, menyebabkan beliau terlepas sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia pada 31 Ogos walaupun beliau pejuang kemerdekaan nusa.

Di Indonesia, beliau diterima baik oleh rakan seperjuangan, termasuk Adam Malik dan berada di republik itu selama lapan bulan sebelum kembali semula ke Singapura dan menyertai NSTP.

Pada 1972, Abdul Samad yang ketika itu memegang jawatan Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan NSTP mengetuai usaha menukar pemilikan operasi kumpulan itu ke tangan rakyat Malaysia.

Sungguhpun lebih dikenali sebagai wartawan, beliau juga menjadi tokoh terbilang dalam bidang kesusasteraan, pejuang bahasa Melayu, aktivis politik dan kesatuan sekerja serta pejuang hak asasi manusia.

Beliau yang sememangnya terkenal sebagai ulat buku pernah terbabit secara langsung dalam bidang penulisan kreatif sejak era pemerintahan Jepun di Tanah Melayu lagi selain menganggotai Angkatan Sasterawan 50 (Asas’50), iaitu pergerakan sastera yang berjuang untuk hak dan kebebasan orang Melayu pada 1950-an.

Antara cerpen awalnya terkumpul dalam antologi Mekar dan Segar (1959) dan Karangan Bunga Dari Selatan (1963). Cerpen dekad 1960-an beliau dapat dibaca menerusi dua kumpulan persendiriannya yang berjudul Temasya Tinta (1967) dan Mastura (1967).

Sepanjang tempoh 1966 hingga 1975, Abdul Samad menghasilkan 11 naskhah novel dan empat buku bimbingan untuk penulis dan wartawan.

Antara novel yang dihasilkannya termasuk Patah Sayap Terbang Jua (1966), Tembok Tidak Tinggi (1967), Kail Panjang Sejengkal (1967), Detik-Detik Cemas (1969), Hussen Zet (1960) dan Sutinah (1975).

Abdul Samad memang terkenal dengan keberaniannya hingga pernah dipenjarakan British pada 1951 kerana terbabit dalam gerakan untuk menyedarkan umat Islam dalam peristiwa Natrah.

Beliau juga dapat dianggap sebagai pejuang kemerdekaan menerusi karya sasteranya, juga pembabitan beliau dalam Putera di bawah pimpinan Dr Burhanuddin Al-Helmi.

Malah, Allahyarham menjadi antara delegasi yang terbang ke London pada 1956 untuk berunding dengan kerajaan British ketika itu bagi memerdekakan Tanah Melayu. Pengorbanan Abdul Samad kepada negara dihargai apabila menerima pelbagai anugerah bagi menghargai jasanya.

Antara anugerah yang pernah diterima termasuk anugerah bintang Johan Mangku Negara (JMN) daripada Yang di-Pertuan Agong pada 1968, anugerah Pejuang Bahasa daripada Kerajaan Persekutuan (1976), anugerah kehormat Doktor Persuratan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (1987) dan anugerah Tokoh Wartawan Negara dari Institut Akhbar Malaysia (1988).

Sesungguhnya, dunia kewartawanan Malaysia tidak mungkin berkembang seperti sekarang jika tidak kerana jasanya.

Allahyarham menjadi lambang keberanian pejuang moden yang tidak gentar menghunus mata penanya untuk membuka minda masyarakat daripada kepompong kenaifan.

One thought on “Al-Fatihah: Tan Sri Abdul Samad Ismail

Comments are closed.