Tahniah Malaysia!

Oleh Cik Widuri.

TAHNIAH Malaysia apabila pengumuman penurunan petrol didengar ketika Berita Utama tadi. Ini merujuk penurunan minyak kali ke-3 katanya ‘bakal’ diturunkan pada masa yang terdekat ini. Secara realitinya, orang-orang miskin seperti saya ini bersyukur sebab minyak turun, dapatlah kereta bergerak lama sikit. Namun ada satu persoalan…kenapa mudah menaikkan harga petrol yang berlipat ganda tapi nak menurunnya punyalah liat! Orang kata ‘naik cepat tapi nak turun punya la lembap!’.

Negara kita yang masyhur dalam pelbagai segi terutama kaya dengan pelbagai eksport ke luar negara antaranya minyak. Negara kita sendiri antara pengeluar minyak di dunia tetapi kita tidak merasai kesenangan itu. Begitu senang pula negara kita jual pada orang luar tapi ke mana tumpahnya kesenangan itu untuk rakyat sendiri? Tepuk dada tanya selera.

Tahniah untuk persidangan parlimen yang makin hangat berdebat seperti baru-baru ini yang dipaparkan di Buletin Utama sikap segelintir ahli parlimen yang suka mencelah ketika ahli parlimen lain sedang bercakap. Celahan Karpal Singh ‘…jangan main-main. saya tak main-main. saya serius’ sungguh menguja seisi dewan parlimen dan sehingga dikatakan beliau digantung 2 hari daripada mengikuti sidang dewan itu. Tidak pasti sama ada hukuman itu dijalankan atau tidak namun ‘sikap’ begitu tidak harus diperlihatkan kerana sebagai ADUN tidak perlu menyatakan pendirian sendiri kerana peluang itu tetap ada. Sebelum berbicara gunakan akal yang waras, bijak dan bukannya bertindak melulu seperti nampak harimau di depan…lagi mahu terkam. Inalillah la jawabnya.

Tahniah kepada Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Ketua Menteri Melaka dan Tun Datuk Seri Utama Mohd Khalil Yaakob, Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Melaka di atas penganugerahan Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) kepada ‘Raja Bollywood’ bersempena dengan ulang tahun kelahiran yang ke 70.

Dalam sejarah Tanah Melayu hinggalah namanya Malaysia, belum pernah artis Bollywood atau Hollywood diiktiraf darjah dan pangkat tertinggi dalam negara sehinggalah Datuk Shah Rukh Khan diumumkan antara nama yang tersenarai menerimanya di bawah kerajaan Negeri Melaka. Sungguh memeranjatkan!

Pernahkah artis Malaysia diiktiraf darjah sedemikian rupa oleh negara India mahupun negara yang lain? Belum pernah lagi saya dengar atau saya yang terlepas pandang. Mungkin agak terlewat untuk menulis topik yang hangat diperkatakan ini namun pandangan secara peribadi sekadar menzahirkan pengamatan sendiri yang juga dikongsi bersama oleh rakan-rakan saya yang lain.

Jangan kita merasa hairan selepas ini dengan lambakan gelaran Datuk, Dato’, Tan Sri atau Tun yang bakal diterima artis Bollywood mahupun Hollywood. Nanti terkejut pula kita mendengar nama seperti Datuk Hrithik Roshan, Datuk Aishwarya Rai, Datuk Kareena Kapoor atau juga Datuk Steven Spielberg, Datuk Leonardo De Caprio, Datuk Angelina Jolie, Datuk Will Smith, Datuk Tom Cruise, Datuk Mariah Carey. Artis Taiwan, China, Hong Kong pula kita boleh senaraikan Datuk Jackie Chan dan Datuk Chow Yun Fat kecuali Datuk Michelle Yeoh yang sememangnya warganegara Malaysia.

Tak dinafikan Melaka kini lebih berkembang pesat walaupun negerinya kedua terkecil selepas Perlis dengan lambakan Duta Pelancongan bagi Bandaraya Bersejarah ini. Mungkin selepas ini tumpuan artis luar negara akan lebih ke Melaka untuk mencari lokasi lakonan ‘ala ala guling berguling’ dan gelaran Datuk sebagai hadiah timbalbalik jasa memperkenalkan Melaka di layar filem walaupun hanya mengambil masa 1 minit.

Sebenarnya adalah lebih baik mengiktiraf pejuang seni tempatan. Apakah masih kurangnya karyawan, krew, pengarah filem yang tidak mengambil Melaka sebagai lokasi dalam babak filem sehingga mereka belum layak diberi anugerah yang sepatutnya. Siapa tidak kenal Ahmad Idham pengarah ‘Congkak’ yang menerima pencalonan ketika di FFM21, Hatta Azad Khan, Shuhaimi Baba, Mamat Khalid penerima anugerah Pengarah Terbaik di FFM21 manakala artis veteran seperti Wahid Satay, M Rajoli, Ruminah Sidek (Mak Mah) sejauh mana pula pengiktirafan yang diterima?

Hari ini pula berita penganugerahan Datuk diterima Ratu Jazz negara, Sheila Majid daripada Sultan Pahang sedikit sebanyak menenggelamkan isu Datuk Shah Rukh Khan. Namun saya pasti perkara ini tetap diingati oleh karyawan dan artis negara kita kerana Melaka sudah memahatkan sejarah anugerah pertamanya itu. Dalam senarai panjang yang ‘bukan calang-calang orang’ itu, adakah mereka berbangga segelaran dengan Shah Rukh Khan atau berbanggakah Shah Rukh Khan segelaran dengan mereka?

Tahniah juga untuk kerajaan kita yang ‘baik hati’ menerima kemasukan warga asing untuk mencari rezeki di negara ini. Warga asing pastinya bersyukur kepada kerajaan Malaysia kerana pintu rezeki mereka terbuka luas sehingga rakyat tempatan sendiri tidak mempunyai pekerjaan dan peratusan pengangguran di tahap membimbangkan apatah lagi laporan berita 50,000 pekerja kontrak bakal ditamatkan. Mengerikan!

Warga asing yang masuk secara halal atau pun haram tetap bersenang lenang di atas kemudahan yang disediakan oleh kerajaan sedangkan rakyat tempatan pula tertindas. Masalah sosial tak perlu dipertikaikan kerana ada saja kes bunuh, rompak, samun, rogol, dadah yang melibatkan warga asing. Kita tidak mampu menyekat pengganas, mafia atau gangstar dari terus masuk selagi negara tidak menghapuskan terus kedatangan rakyat asing ini yang semakin bermaharajalela.

Tinggal di Malaysia lebih daripada 2 tahun kemudian mendapat taraf PR, berkahwin dengan rakyat tempatan yang buta cinta atau melahirkan anak di Malaysia antara jalan mudah bagi warga asing untuk menetap terus di Malaysia. Lihat saja di sekitar Jalan Pudu dipelopori warga Indonesia, Pasar Selayang pula dihantui warga Myanmar yang tanpa segan silu menjual sayuran terbuang yang dikutp daripada tong sampah, warga Pakistan yang dulunya menjual karpet menaiki motor sehingga berjaya membuka rangkaian karpetnya di pusat membeli-belah, warga Afrika, warga Nepal, warga Bangladesh, warga India, warga China yang beroperasi sebagai pelacur mahupun di mana saja kita pasti dapat melihat rakyat asing ini terutamanya di stesen pam minyak. Duduk pula di kondominium, apartment sehingga membina kroni mereka sendiri.

Berjuta-juta wang RM dihantar ke kampung halaman mereka oleh warga asing ini hingga mencacatkan nilai mata wang kita. Kalau hari perayaan pula, Central Market sudah menjadi Jakarta, Dataran Merdeka menjadi Bandung di mana pula rakyat tempatan untuk meraikannya? Kes ‘black money’ pula semakin merebak dengan penipuan warga Afrika malah berani menggoda wanita tempatan yang memang mudah terpedaya dengan wang. Kedai dan restoran mamak di Kuala Lumpur ini saja, adakah mereka itu benar-benar Islam atau rakyat India yang di import, beragama Hindu dan langsung tidak tahu bercakap Melayu?

Malaysia memang pemurah! Itu yang mampu disimpulkan. Dari kes penganugerahan pangkat Datuk sehinggalah pemberian kerakyatan yang bakal dilihat mampu memusnahkan hak rakyat tempatan juga segala jenis jenayah yang semakin berleluasa sehingga mereka tidak takut dengan undang-undang negara ini. Apakah kita yang berpijak di bumi sendiri bakal menjadi peminta sedekah? Baik hatinya negara ini dan tak mungkin suatu hari nanti kita diibaratkan seperti kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan!