Jenayah kolar putih beri kesan lebih buruk

KUALA LUMPUR: Jenayah kolar putih memberi kesan lebih menggerunkan berbanding jenayah konvensional kerana ia berpotensi menjejaskan prestasi kewangan organisasi komersial di negara ini, kata Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.

Berdasarkan hakikat itu, beliau berkata kerajaan amat memandang berat terhadap isu berkaitan jenayah kewangan, penipuan dan rasuah.

“Jenayah kolar putih atau jenayah ekonomi, berlaku dalam pelbagai bentuk, termasuk rasuah, jenayah siber, penyelewengan aset, penipuan cek dan kad kredit, kecurian kad pengenalan, penipuan insurans, pengubahan wang haram dan pengeluaran wang palsu.

“Kesalahan utama lain ialah pecah amanah, penipuan, penghasilan wang palsu dan ceti haram,” katanya.

Dalam tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, Jabatan Siasatan Jenayah Perdagangan (JSJP) menganggarkan jenayah ekonomi telah mengakibatkan kerugian berjumlah RM546,114,099.

Jumlah kerugian pada tahun lepas ialah RM1,988,959,883, manakala pada tahun sebelumnya, kerugian akibat perbuatan itu dilaporkan berjumlah RM833,453,263.

Kaji Selidik Jenayah Ekonomi Global Pricewaterhouse Coopers 2007 menunjukkan 48 peratus syarikat Malaysia terdedah kepada jenayah ekonomi sejak dua tahun lepas.

“Malah, jumlah ini meningkat sekali ganda berbanding hasil kaji selidik pada 2005 dan menurut kaji selidik yang sama, penipuan terus mejadi isu paling memeningkan kepala syarikat di seluruh dunia, tidak kira di mana sesebuah syarikat itu beroperasi, dalam industri apa ia terlibat dan sebesar mana saiznya,” katanya.

Menurutnya lagi, beberapa tahun lepas, pakar kapitalis, eksekutif korporat dan pakar jenayah berkata sesebuah negara perlu lebih memberi fokus terhadap jenayah konvensional, terutama jenayah ganas, berbanding jenayah kolar putih. Bagaimanapun, berikutan peredaran masa, rakyat Malaysia khususnya, kini semakin menyedari tentang keseriusan jenayah ekonomi.

“Mereka yang terlibat dengan transaksi kewangan juga menghadapi risiko menjadi mangsa penipuan perbankan, insurans dan kad kredit, di samping kecurian pengenalan diri, yang umumnya menjadi perintis jalan bagi kes penipuan yang disebutkan tadi.

“Hari ini, permintaan terhadap kepakaran dalam bidang perakaunan forensik semakin tinggi kerana kini terdapat tanda-tanda bahawa jenayah ekonomi turut menjejaskan sektor ekonomi lain seperti pembuatan, pelancongan dan hartanah,” katanya.

Beliau berkata gandingan antara kumpulan swasta dan awam serta pendekatan antarabangsa kini diperlukan dalam usaha memerangi jenayah kewangan dan ekonomi.