Mendengar sekeluarga JIN berbual…secebis kisah tahanan ISA

Bismillahhirrahmanirrahim..
قل اوحى الي انه استمع نفر من الجن فقالوا انا سمعنا قرانا عجبا

Maksudnya:
” Katakanlah (Wahai Muhammad): “Telah diwahyukan kepadaku, Bahawa sesungguhnya: satu rombongan jin telah mendengar (Al-Quran Yang Aku bacakan), lalu mereka (menyampaikan hal itu kepada kaumnya dengan) berkata: `Sesungguhnya Kami telah mendengar Al-Quran (sebuah Kitab Suci) Yang susunannya dan kandungannya sungguh menakjubkan! “. ( Al-Jin ayat 1)
—————————-

Setelah selesai urusan pendaftaran di Pejabat Kem Tahanan, kami (saya dan rakan tahanan yang lain) dibekalkan dengan 2 helai seluar berwarna biru, 2 helai kemeja berlengan pendek, tilam, bantal, selimut,kain basahan,cebok, baldi dan sebuah tong getah berwarna hitam beserta penutupnya.

Ketika pendaftaran yang memakan masa hampir 4 jam tadi, kami diberikan nombor diri masing-masing. Saya didaftarkan dengan nombor ATP 2456/00. Ini bermakna saya adalah tahanan ISA yang ke 2,456(1).

Sebelum kami dibawa masuk ke kawasan tahanan terlebih dahulu kami diminta berbaris dihadapan sebuah meja yang kerusinya diduduki oleh seorang pegawai yang masih muda. Dilihat dari segi raut wajah kakitangan-kakitangan yang ada di pejabat waktu itu mereka agak kurang senang dengan pegawai ini. Beliau memperkenalkan dirinya dan jawatannya. Namanya ialah Zawawi dan jawatannya ialah PYM (Pegawai Yang Menjaga).

Beliau adalah orang no wahid dikem kemunting. Orangnya agak sombong. Percakapannya banyak diselitkan dengan perkataan inggeris. Ketika akan menyebut satu-satu perkataan inggeris,sebelum itu beliau semacam tercari-cari perkataan yang sama ertinya dalam bahasa Malaysia tapi tak jumpa. Kiranya seolah-olah beliau lebih fasih B.I daripada B.M. Dalam pada masa beliau bergaya dengan bahasanya itu, acap kali juga terpancut bahasa Kelantan yang agak pekat akan “kebuduannya”. Masa tu saya rasa mual dalam perut, terasa macam nak muntah, tapi dek kerana belum makan apa-apa sejak subuh tadi, maka tak jadi lah saya muntah.

Lama jugak beliau berkhutbah tanpa rukun dihadapan kami yang rata-rata sudah keletihan dan kelaparan. Sepanjang percakapan beliau, saya dapat mengesan akan betapa “gagal”nya beliau jika terpaksa mengambil kertas ujian “Pengetahuan Islam” dan “Pengetahuan Am Politik di Malaysia.

Selesai taklimat tersebut, kami pun diiring (macam iring kambing masuk kandang) oleh seorang pegawai yang sudah agak berumur. Orangnya agak lembut dan tahu membezakan antara manusia dan haiwan. Tidak seperti Bossnya sebentar tadi.

Kami dibawa masuk ke satu kawasan yang bertembok setinggi, kira-kira 10 kaki,dan mempunyai keluasan lebih kurang 80′ x 40′. Di dalamnya hanya terdapat satu blok bangunan sahaja, dalam ukuran 24′ x 60′. Didalam bangunan inilah ditempatkan pejabat, 4 buah cell disebelah kiri berhadapan dengan 4 buah cell di kanan, cell di kiri dan kanan hanya dipisahkan oleh lorong selebar 4 kaki. Manakala di hujung blok ialah bilik mandi dan tandas.

Keluasan setiap cell lebih kurang 6′ x10′, bertembok tebal dibahagian belakang dan berjaring besi dibahagian hadapan menghadap ke lorong. Pintu cell hanya akan dibuka pada waktu siang jika kami mahu ketandas. Manakala waktu malam mulai jam 6.45 hingga jam 7 pagi pintu akan ditutup rapat. Untuk buang air, setiap cell dibekalkan dengan tong getah hitam dan sebaldi air. Al-hamdulillah sepanjang tempoh 3 bulan di kawasan T1 ini, perut saya tidak pernah meragam waktu malam. Jadi tong hitam saya adalah tong yang paling bersih. Walau pun bersih tong tahi tetap tong tahi.

Setiap bilik akan ditempat 3 orang, kecuali saya dan Sahak (sahabat dari kelang). Dua tahun kenudian kami dimaklumkan bahwa pengasingan saya dan Sahak itu adalah atas arahan Zawawi. Alasannya bimbang saya atau Sahak mempengaruhi orang lain jika berada dalam satu cell. Bersendirian dalam satu cell telah memberi peluang kepada saya menyambung hafalan Al-Quraan, tanpa diganggu oleh sesiapa, sebelum saya menamatkannya pada pertengahan tahun 2003. Benarlah rahmat Allah itu terselit dimana-mana dalam keluasan takdirNya.

Oleh kerana kami di asingkan dalam cell, maka kami tidak dapat melaksanakan solah dalam satu jamaah. Cell yang dihuni 3 orang boleh melaksanakan solah berjamaah. Sedangkan saya dan Sahak hanya solah bersendirian selama ditempatkan di blok tersebut.

Sungguh pun begitu kami susun program Yassin dan zikir munajat setiap malam selepas Isyak. Ketika majlis akan dimulakan, masing-masing akan bersila berhampiran jeriji besi menghadap lorong. Seterusnya kami akan tenggelam dalam zikir sebelum diakhiri dengan doa dan rayuan kepada Allah. Doa qunut nazilah tidak pernah kami lupa untuk menterjemahkannya dalam bahasa yang boleh difahami oleh warden yang menjaga kami. Sekurang-kurangnya doa-doa itu menerjah jauh kesudut insaninya kalaupun tidak ke lubuk keimanannya.

Alhamdulillah, amalan Yassin, zikir munajat dan doa-doa tersebut akhirnya mengubah persepsi sebahagian besar warden terhadap kami. Mereka sendiri merasa hairan, bagaimana manusia yang diwar-warkan oleh TV sebagai penganas boleh berzikir munajat setiap malam.

Adakalanya pihak kem akan menyuruh dua orang sahabat masuk ke cell saya untuk beberapa hari, kerana seorang lagi teman mereka terpaksa ke Mahkamah untuk menjadi saksi pembicaraan anggota Maunah yang ditahan di Sungai Buloh. Selalunya yang akan dimasukkan ke cell saya ialah Syed Helmi dan Firdaus (pemuda kadazan yang memeluk Islam). Sesekali dapat bersama dalam satu cell, kami akan menunaikan solah berjamaah, berzikir munajat dan berdoa bersama atau bertadarus al-Quraan. Amalan itu akan berlanjutan sehinggalah masing-masing sudah sangat mengantuk. Alhamdulillah, kebersamaan nasib telah mengikat persahabatan kami menjadi sangat erat.

Pada satu malam, sedang saya, Syed Helmi dan Firdaus baru sahaja selesai berzikir dan berdoa, tiba-tiba kami dikejutkan dengan suara yang sangat jelas disebalik dinding cell kami. Mulanya saya sangka hanya saya seorang sahaja yang mendengarnya. Lalu saya tanyakan kepada Syed dan Firdaus. Rupa-rupanya mereka berdua pun turut mendengarnya.

Suara itu sangat dekat, bagaikan disebalik dinding cell kami itu terdapat sebuah rumah yang didiami oleh sebuah keluarga yang agak besar. Jelas kedengaran si Ibu membebel kepada anak-anaknya kerana malas belajar al-Quran.

Si anak akan jawab, tadi kan kami dah ikut bacaan Yassin mereka-mereka itu. Si Ibu akan marah lagi dengan berkata, dengar sini kalau sekadar hendak ikut baca Yassin boleh tapi ingat, jangan ganggu mereka! Si anak menjawab, ye lah! yelah! sambil kedengaran daun pintu dihempas agak kuat.

Begitulah yang dapat kami dengar hampir lima malam. Biasanya suara itu akan kami dapat dengar dengan jelas selepas kami berzikir. Adakalanya saya akan terkejut waktu tidur kerana terdengar suara riuh budak-budak mengaji quran.Saya akan kejutkan Syed dan kami sama-sama mendengarnya. Malahan ada antara kami yang pernah terlihat kelibat kanak-kanak turut sama membaca Yassin dan zikir bersama kami.

Bila kami tanyakan kepada Kopral Halim (warden yang paling memahami kami, dan persahabatan kami berlanjutan hingga sekarang) mengenai apa yang kami selalu dengar itu. Lalu beliau menceritakan bahawa tidak ramai warden yang berani bertugas di T1. Mereka selalu diganggu lebih-lebih lagi warden muda yang cuai melakukan solat.

Wallahu ‘Alam bis Sowab.

cikwiduri: Saya tidak dapat mengenal pasti siapa tahanan ISA ini kerana menerima kiriman ini menerusi emel. Apa yang diharapkan, semoga pengalaman tahanan ISA ini menjadi pengajaran kepada kita.

One thought on “Mendengar sekeluarga JIN berbual…secebis kisah tahanan ISA

Comments are closed.