Bush dibaling kasut

Bush sempat mengelak ketika dibaling kasut oleh wartawan Iraq

BAGHDAD: Iraq semalam berdepan dengan desakan yang semakin meningkat supaya membebaskan wartawan yang membaling  kasut kepada Presiden George W Bush.

Kejadian itu disifatkan oleh kerajaan Iraq sebagai memalukan tetapi sebahagian besar penduduk dunia Arab menganggapnya hadiah perpisahan paling baik untuk presiden Amerika yang tidak popular itu.

Rakan sekerja Muntazer al-Zaidi yang bekerja dengan  stesen televisyen bebas Iraq, Al-Baghdadia berkata, wartawan itu membenci Amerika dan merancang serangan itu sejak beberapa bulan lalu terhadap orang yang mengarahkan pencerobohan terhadap Iraq.

“Membaling kasut kepada Bush adalah ciuman perpisahan terbaik pernah dilakukan.  Ia menggambarkan betapa rakyat Iraq dan masyakarat Arab bencikan Bush,” kata Musa Barhoumeh, Pengarang akhbar Jordan, Al-Gahd Arabic.

Sementara itu, beratus-ratus rakyat Iraq menyertai tunjuk perasaan anti-Amerika Syarikat bagi membantah lawatan perpisahan Bush ke Iraq, yang terjerumus ke dalam keganasan dan hampir mencetuskan perang saudara selepas diceroboh pada 2003.

Kerajaan Iraq menyifatkan tindakan Muntazer sebagai memalukan dan menuntut majikannya yang berpejabat di Kaherah supaya meminta maaf.

Majikan Muntazer sebaliknya menggesa dia dibebaskan daripada tahanan.

Dalam kejadian berkenaan Muntazer melontar dua kasut ke arah Bush yang ketika itu mengadakan sidang akhbar bersama Perdana Menteri Iraq, Nuri al-Maliki selepas menjerit: “Ini ciuman selamat tinggal, anjing.”

Bush bagaimanapun sempat mengelak.

“Televisyen Al-Baghdadia menuntut kerajaan Iraq membebaskan wartawannya, Muntazer al-Zaidi serta merta, selari dengan demokrasi dan kebebasan bersuara  yang dijanjikan Amerika Syarikat kepada rakyat Iraq,” menurut kenyataan yang dikeluarkan stesen televisyen itu.

Pengarah rancangan televisyen berkenaan di Kaherah, Muzhir al Khafaji menyifatkan Muntazer sebagai lelaki berpendirian terbuka.

Katanya, wartawan itu bekerja dengan Al-Baghdadia sejak tiga tahun lalu.

Tapak kasut dianggap benda paling menghinakan dalam budaya Arab.

Ketua sebuah kumpulan hak asasi manusia Iraq  yang berpejabat di Jordan, Ali Qeisi  berkata, semua tentera Amerika yang menggunakan kasut mereka untuk memalukan rakyat Iraq perlu didakwa bersama-sama pegawai  mereka, termasuk Bush.

Sementara itu, penulis blog terkenal rakyat Amerika keturunan Britain, Asad Abu Khalil berkata: “Kasut terbang itu menggambarkan pendapat masyarakat Arab yang meluas berbanding boneka yang ditemui Bush sepanjang kunjungannya ke  Asia Barat,” kata penulis blog terkenal Amerika keturunan Lubnan yang juga profesor di Universiti  Stanislaus, California.

Seorang peguam Iraq berkata, Muntazer berdepan dengan hukuman minimum penjara dua tahun jika didakwa memalukan seorang ketua negara atau 15 tahun jika dituduh cuba membunuh. – AFP

3 thoughts on “Bush dibaling kasut

  1. Kalau kau rasa kau mampu melempar kasut ke arah Bush dengan lebih baik. Apa kata kalau kau cuba permainan ini. Permainan yang diberi nama “Sock and Awe” ni dibangunkan berdasarkan insiden tersebut.

    Cubalah kalau berani.

Comments are closed.