Al-Fatihah: Nasir Ramlee

TERAKHIR...Zakaria mencium dahi ayahnya sambil diperhatikan Suria.
TERAKHIR...Zakaria mencium dahi ayahnya sambil diperhatikan Suria.

   KUALA LUMPUR: “Dia sempat tenung muka dan melambai tangan kepada saya sebelum menghembuskan nafas terakhir di katil hospital,” kata Suria Bakar, 55, isteri anak Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Nasir Ramlee, 55, yang meninggal dunia akibat komplikasi jantung dan kencing manis di Hospital Kuala Lumpur (HKL) jam 5.10 petang semalam.

   Menurut Suria, arwah  bertugas sebagai penyelaras muzik kombo di Istana Budaya berkelakuan pelik sejak dua minggu lalu apabila ingin tidur bersama dua anak lelakinya dalam  bilik di kediamannya di Setapak Garden.

  “Suami memang menghidapi pelbagai penyakit tetapi sentiasa tabah serta kuat melawan sakit dan enggan ke hospital pada awalnya tetapi selepas dipujuk apabila sakitnya semakin teruk dia terpaksa beralah,” katanya.

  Suria berkata, keadaan suaminya cukup kritikal ketika di hospital tetapi anaknya sempat bertemu sebelum dia disahkan meninggal dunia.

   Ketika ditemui di kediamannya malam tadi, Suria mengakui penyakit suami mula dikesan 10 tahun lalu.

  Sepanjang perkongsian hidup selama 20 tahun, pasangan itu dikurniakan dua anak lelaki iaitu Zaidi, 17, dan Zakaria, 16.

   “Dia seorang penyayang sentiasa mengutamakan anak-anak. Sehinggakan kadang-kala saya agak terasa apabila suami melebihkan anak-anak daripada saya menyebabkan saya merajuk, bagaikan dalam cerita P Ramlee,” katanya sebak.

   Nasir mempunyai tiga lagi anak bersama bekas isteri pertama, Mariati Abd Rahman iaitu Gunina, 37, Gunawan, 35, dan Gurnarisasca, 31, manakala  Natasya, 23, dan Najwa, 22 anak kepada Rashidah Jaafar (isteri kedua).

   Sementara itu, Natasya berkata, dia bertemu bapanya beberapa minggu lalu untuk memaklumkan mengenai persembahan tribute  P Ramlee tahun depan.

    Jenazah Nasir dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Baru, Jalan Ampang, jam 11 pagi.