‘Keputusan hak mutlak Tuanku’ – Najib

IPOH: “Ada peraturan dan kaedah tertentu dalam undang-undang tubuh kerajaan negeri Perak yang perlu kita ikuti.”

“Sama ada Tuanku akan membubarkan Dun atau meminta Menteri Besar yang ada meletakkan jawatan.”

“Itu adalah hak mutlak Tuanku.”

Itulah antara petikan kenyataan Dato Seri Najib Tun Razak sebentar tadi setelah membuat pertemuan dengan Sultan Perak hari ini sebanyak dua kali pagi tadi.

Ditanya tentang calon MB yang dikemukakan kepada Sultan, Najib menjawab bahawa itu tidak perlu diberitahu dahulu kepada umum.

“Kita buat satu-satu dulu. Kita tunggu dulu keputusan Tuanku,” katanya dalam sidang media tengah hari tadi.

Wajah yang tidak ceria dan kelihatan sedikit cemas, menenggelamkan reaksi ceria beliau semalam ketika mengumumkan kemasukan empat Adun dan mendakwa BN kuasai Perak, di Putrajaya semalam.

Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Razak berada di Istana Kinta, Ipoh dua kali hari ini – antara 9.50 dan 10.55 pagi untuk mengadap Sultan Perak Sultan Azlan Shah dipercayai bagi memaklumkan secara rasmi Barisan Nasional (BN) mempunyai sokongan menubuhkan kerajaan baru.

Najib, Pengerusi BN Perak tiba di Istana Kinta pukul 9.50 pagi tadi dan keluar 30 minit kemudian.

Beliau meninggalkan istana pada 10.35 pagi dan kembali semula ke Istana Kinta dengan empat wakil rakyat yang keluar Pakatan Rakyat semalam – ADUN kawasan Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi; Mohd Osman Jailu (Changkat Jering), Hee Yit Foong (Jelapang) dan Datuk Nasaruddin Hashim (Bota) untuk mengadap Sultan Perak Sultan Azlan Shah pukul 10.55 pagi ini. – Harakah

One thought on “‘Keputusan hak mutlak Tuanku’ – Najib

Comments are closed.