‘Balik tak ada kerja’

Susulan dari Sweeping Rakyat Malaysia.

Mustar cuba memercik api kebencian antara Malaysia dan Indonesia

PUTRAJAYA: “Kalau mereka pulang ke sana (Indonesia) pun, mungkin mereka tidak dapat jaminan dari Bendera (Benteng Demokrasi Rakyat Indonesia) yang mereka akan beroleh pendapatan atau pekerjaan,” kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Koordinator Bendera, Mustar Bona Ventura Manurung (gambar) supaya kira-kira dua juta rakyat Indonesia yang bekerja di Malaysia supaya pulang demi mempertahankan kehormatan serta kedaulatan negara berkenaan.

Mustar dilaporkan berkata Jakarta perlu memutuskan hubungan diplomatik dengan Kuala Lumpur selepas semua warga Indonesia pulang.

Muhyiddin berkata, warga Indonesia yang mencari nafkah di negara ini amat menghargai pertolongan yang diberikan kerajaan Malaysia, dan mereka tidak akan sekali-kali terpengaruh dengan seruan Benteng yang meminta mereka meninggalkan negara ini.

“Saya tidak fikir begitu, secara ikhlas saya rasa mereka (warga Indonesia) amat menghargai apa yang kita sudah lakukan untuk mereka, dan kita juga amat menghargai apa yang mereka lakukan untuk kita.

“Atas dasar itu, saya percaya sebahagian besar mereka di sini adalah orang yang menghargai apa yang kita sudah bantu mereka, dan kita di sini amat menghargai pentingnya sumbangan perkhidmatan mereka kepada warga Malaysia.

“Jadi kita saling memerlukan, itu yang patutnya menjadi asas pertimbangan bukan kerana ada seruan pihak di sana,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Negara Bagi Kerajaan Tempatan ke-63 (MNKT ke-63) di sini, semalam.

Muhyiddin berkata, kerajaan Malaysia juga tidak mempunyai asas untuk memohon maaf kerana beberapa bentuk bantahan terhadap beberapa kes yang berlaku sudah dibuat menerusi saluran diplomasi.

“Saya fikir kita tak perlu respon kepada segala apa tuntutan mereka, yang penting sekarang kita mahu apa saja isu yang berbangkit antara Malaysia dan Indonesia diselesaikan secara diplomasi.

“Menteri luar kedua-dua negara akan mengadakan mesyuarat di Kota Kinabalu, Sabah dalam masa terdekat untuk mencari kata sepakat bagi menyelesaikan masalah ini,” katanya. – Harian Metro | 3 Sept 2010.

Related:
Sweeping Rakyat Malaysia
Malaysia dituduh pengilang syabu terbesar
Duta Malaysia dituntut tinggalkan Indonesia