Malaysia dituduh pengilang syabu terbesar

Susulan dari Sweeping Rakyat Malaysia.

KUALA LUMPUR: Imej negara ini sekali lagi ‘diserang’ apabila pihak polis Indonesia menuduh Malaysia antara pengilang dadah syabu terbesar di dunia susulan penahanan puluhan penyeludup dadah di republik berkenaan.

Perkara itu dinyatakan Direktorat Reserse Narkoba (Ditreskoba) Polda Kepri (Polis Daerah Kepulauan Riau), Kompol Heru Nugraha melalui akhbar Padang Today kelmarin, yang mendakwa Malaysia pengeluar syabu terbesar berdasarkan sembilan tangkapan tahun ini.

Difahamkan, daripada 10 tangkapan membabitkan penyeludupan syabu di Batam dan Kepulauan Riau sepanjang tahun ini, sembilan daripada suspek berasal dari Malaysia.

Lebih pedih Heru turut mengeluarkan kenyataan seolah-olah generasi muda republik itu akan rosak jika pengedaran syabu dari Malaysia tidak diatasi segera, Sementara itu, Datuk Othman Harun yang baru dilantik sebagai Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, semalam menyangkal dakwaan terbabit dengan mendakwa ia isu global.

“Negara kita (Malaysia) bukan pusat pengedaran syabu terbesar dunia. Ia masalah global. Ia bukan saja berlaku di negara kita tetapi di seluruh dunia.

“Sebagai contoh, baru-baru ini, JSJN menumpaskan sindiket cuba membawa masuk syabu satu tan dari negara luar,” katanya ketika sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah JSJN di Mes Pegawai Bukit Aman, di sini, semalam. – Harian Metro | 3 Sept 2010.

Related:
Sweeping Rakyat Malaysia
‘Balik tak ada kerja’
Duta Malaysia dituntut tinggalkan Indonesia