Maxis, DiGi tawar iPhone 4

Peranti berkapasiti 16 dan 32GB dijual RM2,090 hingga RM2,690

DUA gergasi telekomunikasi Malaysia, Maxis Berhad (Maxis) dan DiGi Telecommunications Sdn Bhd (DiGi) mula menembusi pasaran telefon pintar popular dikeluarkan Apple iaitu iPhone 4 yang ditawarkan mulai hari ini.

Dalam kenyataan semalam, Ketua Pegawai Operasi Maxis, Jean-Pascal van Overbeke berkata, sejak setahun yang lalu, Maxis sudah menambah dua kali ganda kapasiti data rangkaian mudah alihnya bagi memastikan kelajuan tinggi dan liputan lebih meluas.

“Melalui kepantasan rangkaian, kami berusaha membawa teknologi terkini kepada pelanggan kami melalui iPhone 4 terbaru,” katanya.

Sementara itu, DiGi pula menjangkakan peningkatan kukuh untuk aliran yang mana rakyat negara ini semakin menggemari Internet mudah alih.

Ketua Pemasarannya, Albern Murty berkata, melalui iPhone 4, syarikatnya menjangka pengguna akan mendapat manfaat lebih baik untuk menikmati ciri inovatif ditawarkan.

“Kami teruja untuk membawakan iPhone 4 kepada pelanggan kami,” katanya.

Telefon berkenaan didatangkan dalam dua kapasiti storan iaitu 16 gigabait (GB) dan 32GB yang masing-masing ditawarkan pada harga RM2,290 dan RM2,690 seunit bagi pelanggan Maxis dengan empat pakej iValue bermula RM100 hingga RM375.

Manakala DiGi menawarkan harga berdiskaun iaitu RM2,090 dan RM2,490 bagi 16GB dan 32GB yang diperoleh menerusi tiga pelan langganan iaitu iDiGi 88, iDiGi 138 dan iDiGi 238.

iPhone 4 memiliki ciri FaceTime iaitu paparan Retina baru Apple, kamera lima megapiksel dengan lampu flash LED, perakam video HD, pemproses A4 Apple dan masa berbual sehingga 40 peratus lebih lama. – Harian Metro

One thought on “Maxis, DiGi tawar iPhone 4

  1. di malaysia, iphone 3 pun x habis pakai lagi dah kuar yg baru.. geram sungguh!. kalo ku tau, baik tunggu ip4 je trus!

Comments are closed.