Merapi tunggu masa meletup

GAMBAR yang dirakam pada 15 Jun 2006 menunjukkan pasukan penyelamat berusaha mengeluarkan mangsa yang terperangkap apabila Gunung Merapi memuntahkan asap panas yang meliputi kawasan sejauh tujuh kilometer di lereng bahagian tenggaranya. Dua orang terbunuh dalam kejadian itu.

JAKARTA:  Kerajaan Indonesia semalam memberi amaran Gunung  Merapi, gunung berapi paling aktif negara itu, mungkin meletup pada bila-bila masa sahaja.

Sehubungan itu, gerakan memindahkan sebahagian daripada beribu-ribu penduduk yang mendiami lereng gunung berkenaan sudah  dimulakan.

Kegiatan volkanik Gunung Merapi meningkat sejak minggu lalu dan pegawai meningkatkan paras berjaga-jaga untuk gunung setinggi 2,968 meter itu kepada yang tertinggi, kata pakar gunung berapi, Surono.

Kali terakhir ia  meletup ialah pada 2006, menyebabkan dua orang mati.

Letupan serupa pada 1994 meragut 60 nyawa sementara 1,300 penduduk terbunuh apabila gunung itu  meletup pada 1930.

“Pegawai meramalkan, jika gunung itu meletup kali ini, magma akan mengalir di bahagian selatan,” kata Sri Purnomo, Ketua Daerah Sleman, Pulau Jawa, tempat gunung berapi itu terletak.

Menurutnya, 11,400 penduduk di lereng selatan gunung itu sudah diarah bersiap sedia untuk berpindah.

Kira-kira 40,000 orang tinggal berhampiran gunung itu.

Khemah sementara untuk menempatkan mereka didirikan di bangunan kerajaan dan padang sukan,  kira-kira 10 kilometer dari gunung itu.  – AP