Dua bencana serentak di Indonesia


HELIKOPTER membawa pelbagai bantuan kecemasan akhirnya mendarat di kawasan kepulauan terpencil yang beberapa hari lalu diranapkan tsunami.

Bencana itu mengorbankan lebih 300 orang ketika di bahagian lain Indonesia, korban akibat gunung berapi Merapi meningkat kepada 30 orang.

Seorang daripada korban Gunung Merapi adalah ‘pemegang kunci’ gunung itu, Marijan.

MUSNAH... rumah penjaga gunung Merapi, Marijan yang turut terkorban.

Indonesia memang sentiasa terdedah kepada bencana alam seperti itu dan memasang sistem amaran tsunami selepas kemusnahan dialami pada 2004 mengajar negara itu supaya lebih berhati-hati.

Pada 2004, ratusan ribu orang terkorban di Aceh apabila tsunami melanda utara Sumatera. Ketika langkah berjaga-jaga diambil itulah tsunami terbaru melanda barat Sumatera.

Kata pegawai berkenaan, sistem amaran dipasang kerajaan selepas 2004 itu berhenti berfungsi sejak sebulan lalu kerana gagal diselenggara dengan baik.

TSUNAMI... Kampung Parorogat di Pulau Pagai hanya tinggal kesan runtuhan.

Berikutan tragedi pertengahan minggu lalu itu, Presiden Susilo Bambang Yudhoyono memendekkan lawatannya ke Vietnam untuk membolehkan beliau menguruskan bencana berturutan dalam tempoh 24 jam itu, sekali gus menjejaskan keberkesanan tindak balas pasukan penyelamat.

Pemantauan awal dari udara di kawasan dilanda tsunami tiga meter itu menampakkan kemusnahan ketara dialami.

Rumah dan pelbagai bangunan boleh dikatakan ranap sepenuhnya. Satu daripada rumah itu kelihatan senget dan bertahan pada bumbungnya yang merah, manakala kawasan sekitar dipenuhi cebisan tayar dan ketulan konkrit.

ANGKAT... anggota penyelamat dan tentera Indonesia mengangkat mayat mangsa gempa bumi wilayah Mentawai, Sumatera Barat.

Dua hari selepas gempa bumi di dasar laut itu menghantar ombak maut, jumlah korban masih meningkat ketika anggota penyelamat baru tiba di Kepulauan Mentawai yang terletak paling hampir dengan pusat gempa.

Cuaca buruk sebelumnya banyak melewatkan kedatangan pasukan mencari dan menyelamat tiba lebih awal.

Pesawat kargo pertama mendarat bersama 14 tan metrik khemah, ubat-ubatan, makanan dan pakaian pada tengah hari Rabu.

Pegawai bantuan bencana, Ade Edward berkata, empat helikopter turut mendarat di Sikakap di Pulau Pagai Utara yang kini menjadi pusat operasi bantuan.

“Akhirnya kami berjaya sampai ke sini dan berpeluang mencari lebih 400 mangsa yang masih hilang,” katanya.

Gempa bumi sekuat 7.7 magnitud itu berlaku malam Isnin lalu kira-kira 20 kilometer dari dasar laut yang turut bersambung dengan Sumatera.

Pegawai kanan Agensi Meteorologi dan Geofizik Indonesia berkata, sistem amaran tsunami yang mampu mengesan perubahan paras air mendadak serta menghantar isyarat kecemasan mula mengalami masalah pada 2009.

Hasilnya, kata pegawai itu, tiada satu pun amaran tsunami dihantar selepas gegaran berlaku.

Bagaimanapun, pemerhati berkata, tidak dapat dipastikan sama ada amaran itu — jika ada — mampu menyelamatkan mangsa daripada dilanda ombak kerana kedudukan Pulau Mentawai terlalu hampir dengan pusat gempa.

Tsunami, kata mereka, akan melanda kepulauan itu hanya dalam tempoh beberapa minit.

DEBU... gunung Merapi

Sementara itu, kira-kira 1,300 kilometer ke timur Jawa, pegawai penyelamat mengharungi lereng Gunung Merapi cuba mengesan mangsa terselamat daripada bencana kedua di negara itu.

Gunung Merapi mula meletus dengan mengeluarkan wap, debu dan lahar pada Selasa dan mengorbankan sekurang-kurangnya 30 orang, termasuk Marijan, 83, yang enggan mematuhi perintah berpindah dikeluarkan pihak berkuasa kerana yakin Gunung Merapi tidak akan meletup.

GUNUNG MERAPI... kesan kemusnahan di Kampung Pakem, Yogyakarta.

Seramai 17 lagi mangsa dimasukkan ke hospital dengan kebanyakannya mengalami kesan terbakar dan masalah pernafasan.

Marijan yang diberi penghormatan sebagai penjaga Gunung Merapi memang melakukan pelbagai upacara bagi ‘menggembirakan’ gunung itu.
Antara amalan lazim dilakukannya adalah mencampakkan beras dan bunga ke kawah Gunung Merapi.

Pertubuhan Palang Merah Indonesia berkata, lebih 36,000 orang dipindahkan dari kediaman masing-masing yang terletak di sekitar Gunung Merapi.

Bagaimanapun, di sebalik larangan pihak berkuasa, segelintir penduduk kampung kembali ke rumah masing-masing untuk melihat bagaimana tanaman serta barangan mereka yang ditinggalkan sebelum itu.

Di beberapa kawasan, semuanya — daripada ranting pokok hingga kerusi dan meja dalam rumah — diselaputi debu.

Letusan pada malam Selasa lalu itu berjaya mengurangkan tekanan yang terbina di sebalik lahar pada puncak Gunung Merapi.

Namun pakar berpendapat, kubah Gunung Merapi masih boleh runtuh dan membebaskan gas serta serpihan yang terperangkap di bawahnya.

Bencana tsunami dan gunung berapi itu berlaku di sepanjang Lingkaran Api Pasifik yang sentiasa terdedah kepada kejadian gempa bumi dan aktiviti berkaitannya. Jepun dan Asia Tenggara turut berada pada lingkaran itu.

Sementara itu, pegawai pemantau tsunami masih cuba menghubungi lebih daripada 20 perkampungan di Mentawai — kawasan popular sebagai lokasi peluncur ombak.

Kawasan itu hanya boleh dikunjungi menggunakan bot melalui perjalanan selama 12 jam.

BERLINDUNG... mangsa lutusan Gunung Merapi di tempatkan di khemah sementara di Umbulharjo, Yogyakarta.

Lebih 20,000 orang yang tinggal di lebih 20 perkampungan itu terpaksa berpindah dan berlindung di khemah sementara pihak berkaitan, atau menumpang di rumah saudara-mara.  — AP