Al-Fatihah: Shamrin Fotograf

KUALA LUMPUR: Penyanyi kumpulan Fotograf, Mohd Shamrin Abdul Samad, 45, meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital selepas rebah ketika bermain bola sepak di padang Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, pada jam 6.30 tadi.

Shamrin yang popular menerusi lagu Di Alam Fana Cinta dan Ke Pintu Kasihmu dikatakan tidak langsung menunjukkan sebarang tanda atau sakit sebelum rebah secara tiba-tiba di tengah padang ketika perlawanan persahabatan berlangsung di antara teman-teman artis.

Menurut rakannya, Shaful Azry Mohd Ariffin, 38, atau lebih dikenali sebagai Riot daripada kumpulan Kool yang berada di tempat kejadian, semuanya berlaku terlalu pantas hingga sukar untuk diingatkan semula.

“Sekitar jam 5.45 petang Shamrin ada mengangkat tangannya seolah-olah menunjukkan tanda dia kepenatan dan meminta pemain lain menggantikannya. Kemudian, dia tunduk seperti hendak membetulkan kasut dan ingin duduk. Namun, tiba-tiba rebah dan terbujur di tengah padang. Saya dan teman-teman yang sedang bermain terus meluru ke arahnya.

“Kami lihat dia menggigil dan kemudian tidak sedarkan diri, namun jantungnya masih berdegup. Kami buat pelbagai cara yang termampu untuk menyelamatkannya kerana bimbang mungkin serangan jantung. Namun, semuanya tidak berhasil dan terus mengangkat Shamrin untuk dibawa ke hospital di Kampung Baru.

“Ketika dalam perjalanan ke hospital, wajah dan tubuhnya sudah kebiru-biruan dan ketika itu denyutan jantungnya sudah berhenti,” katanya.

Jenazah Penyanyi Shamrin Abdul Samad yang meninggal dunia ketika bermain bola di Kelab Sukan Sultan Sulaiman Kampung Baru dibawa ke Pusat Perubatan Kampung Baru.

Jenazah Shamrin kemudian dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

Selain menyifatkan kejadian yang menimpa sahabatnya itu bagai sukar dipercayai, Riot langsung tidak menyangka pertemuan petang itu yang terakhir antara mereka.

“Siapa sangka, dalam sekelip mata saja saya kehilangan seorang sahabat. Bukan saja kami berdua sering membuat persembahan bersama, malah kami berkongsi minat sama iaitu bermain bola sepak seperti kami lakukan hari ini,” katanya.

Shamrin meninggalkan balu, Jasrizatul Akhmar Abu Saman, 29, yang sarat mengandung anak ketiga serta dua anak iaitu, Akmal Danish, 5, dan Akmal Shamim, 1. Dia juga mempunyai anak perempuan Siti Najwa, 17, hasil perkahwinan pertama dengan Noreda Mohd Razali.

Jenazah Shamrin dikebumikan di tanah perkuburan USJ 22, Selangor, sebelum solat Jumaat hari ini.

Foto shoot terakhir pada 08 November 2010 lalu.

Sebelum itu, Shamrin sempat membuat persembahan di Balai Seni Lukis Negara sempena Pelancaran Syiling P Ramlee dengan menyampaikan sebuah lagu seniman agung itu berjudul Bila Larut Malam.

Beliau melibatkan diri dalam lapangan muzik secara serius bersama kumpulan Fotograf yang menampilkan album pertama berjudul Iramanya Bergetar pada tahun 1989.

Setelah kejayaan album itu mereka terus mengorak langkah dengan menghasilkan lima buah album penuh iaitu 7:30 Psikosis (1990), Fotograf 92 (1992), Fantasi (1994), Fokus (1995) dan Juara Mimpi (1997).

Fotograf pernah memenangi Lagu Terbaik kategori Rock di Juara Lagu 1992 dan Anugerah Khas Muzik-Muzik.

Lagu-lagu Fotograf yang mendapat sambutan antaranya Nafas Kekasih, Asmara Gerhana, Panah Tak Bermata, Aku Yang Kecewa, Salam Buat Juwita, Mengejar Bayangan, Di Alam Fana Cintamu dan Luka Seribu Rindu. – HM

cikwiduri: Penglibatan arwah tidak dapat dinafikan dalam industri muzik ketika aliran rock menjadi kegilaan remaja seawal 90-an. Semoga roh arwah disemadikan bersama orang-orang yang beriman. Amin…

3 thoughts on “Al-Fatihah: Shamrin Fotograf

Comments are closed.