Tazkirah (1): Lupa diri sendiri jika lupakan Allah

MANUSIA sering lupa. Ia menjadi kelemahan manusia yang menyebabkan hilang fokus terhadap amalan dan pekerjaan yang mereka lakukan.

Lupa juga berlaku kerana isteri ramai, asyik memikirkan cara untuk mengelak daripada dimarahi dan strategi sebagai penyelamat daripada diserang.

Namun, punca lupa yang paling menakutkan ialah apabila banyak lupa kepada Allah. Dalam al-Quran Allah berfirman yang bermaksud: “Janganlah kamu menjadi seperti orang yang melupai Allah, nanti Allah akan membuatkan kamu lupa diri kamu sendiri.”

Lupa diri sendiri menurut ulama antara maksudnya ialah lupa pada hari akhirat. Ada yang lupa amalan dosa yang dilakukan hingga tidak terasa untuk bertaubat.

Selain itu, mereka lupa tanggungjawab sebagai suami, isteri dan anak, sehinggakan lupa fungsi hidup, lupa sebagai seorang pekerja, lupa tugas, lupa tanggungjawab dan amanah, lupa pada janji dan sebagainya.

Disebabkan terlalu banyak lupa, kita mesti selalu mengingati Allah dengan memberi peringatan serta melakukan analisis (muhasabah) terhadap diri sendiri.

Nasihat Imam al-Ghazali yang sangat mendalam, semoga ia menjadi bahan muhasabah kita. Suatu hari, Imam al-Ghazali berkumpul dengan murid-muridnya.

Imam al-Ghazali bertanya (pertama): “Apa yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini?” Murid-muridnya ada yang memberikan jawapan orang tua, guru, teman dan kerabatnya.

Imam Ghazali menjelaskan semua jawapan itu benar, tetapi yang paling dekat dengan kita adalah ‘mati’. Sebab itu sudah janji Allah setiap yang bernyawa pasti akan mati. (Rujuk Surah Ali-Imran ayat 185).

Lalu Imam al-Ghazali meneruskan pertanyaan kedua: “Apa yang paling jauh dari diri kita di dunia ini?” Murid-muridnya ada yang menjawab China, bulan, matahari dan bintang.

Imam al-Ghazali menjelaskan semua jawapan yang mereka berikan adalah benar, tetapi yang paling benar adalah ‘masa lalu.’

Walau bagaimana hebat sekalipun kita, kita tidak boleh kembali kepada masa lalu. Oleh itu, kita perlu menjaga hari ini dan hari akan datang dengan perbuatan yang sesuai dengan ajaran agama.

Lalu Imam al-Ghazali meneruskan dengan pertanyaan ketiga: “Apa yang paling besar di dunia ini?” Ada muridnya yang menjawab gunung, bumi dan matahari. Semua jawapan itu benar, kata Imam al-Ghazali.

Tetapi, katanya, yang paling besar dari yang ada di dunia ini adalah ‘nafsu’ (Rujuk Surah al-A’raaf ayat 179). Oleh itu, kita perlu berhati-hati dengan nafsu, jangan sampai nafsu menjerumuskan diri ke lembah neraka.

Pertanyaan keempat: “Apa yang paling berat di dunia ini?” Ada yang menjawab baja, besi dan tidak kurang yang mengatakan gajah.

Imam al-Ghazali berkata semua jawapan itu namun yang paling berat adalah ‘memegang amanah.’ (Rujuk Surah al-Ahzab ayat 72).

Tumbuhan, haiwan, gunung malah malaikat juga semuanya tidak mampu ketika Allah t meminta mereka untuk menjadi khalifah (pemimpin) di dunia ini.

Bagaimanpun, manusia dengan sombongnya menyanggupi permintaan Allah sehingga ramai manusia masuk ke neraka kerana tidak dapat memegang amanahnya.

Pertanyaan yang kelima: “Apa yang paling ringan di dunia ini?” Ada yang menjawab kapas, angin, debu dan dedaun. Semua itu benar, kata Imam al-Ghazali, tetapi yang paling ringan di dunia ini ialah ‘meninggalkan solat.’

Gara-gara keletihan dengan tugasan seharian kita meninggalkan solat. Pertanyaan keenam ialah: “Apakah yang paling tajam di dunia ini?” Murid-muridnya menjawab dengan serentak iaitu pedang.

Benar kata Imam al-Ghazali, tetapi menurutnya yang paling tajam ialah ‘lidah manusia.’ Ini kerana melalui lidah manusia dengan mudah menyakiti hati dan melukai perasaan rakan sendiri.

Semoga kita sentiasa mengingati Allah (dengan melakukan suruhannya dan tinggalkan yang dilarang) dan Allah akan sentiasa menyayangi hamba-Nya. Insyaallah.  – Ustaz Mohd Zawawi Yusoh