Jambatan goyang punca panik

Susulan tragedi mati terpijak di Kemboja


PHNOM PENH: Hasil siasatan awal terhadap kejadian yang menyebabkan 456 orang mati terpijak di satu pesta di bandar raya ini menunjukkan ia berpunca daripada jambatan yang penuh sesak dengan pengunjung, bergoyang, lalu menyebabkan panik.

Rangkaian televisyen rasmi kerajaan, TV Bayon melaporkan, jawatankuasa yang dibentuk untuk menyiasat tragedi itu mendapati ramai pengunjung di atas jambatan itu datang dari luar bandar dan tidak tahu adalah perkara biasa bagi jambatan gantung bergoyang.

Kerana bimbang jambatan itu runtuh selepas bergoyang, mereka panik dan berebut-rebut untuk menyelamatkan diri.

ANGGOTA tentera laut Kemboja mencari mayat di dalam sungai berhampiran jambatan.

Menurut laporan berkenaan, jawatankuasa itu membuat rumusan berdasarkan siasatan dan kenyataan saksi.

Tragedi kelmarin berlaku apabila puluhan ribu orang datang untuk menyaksikan konsert percuma di sebuah pulau di Sungai Bassac di Phnom Penh.

Kira-kira dua juta penduduk dipercayai mengunjungi Phnom Penh untuk menyambut cuti tiga hari yang menandakan berakhirnya musim monsun.

Saksi menyelar pihak berkuasa kerana menyebabkan kesesakan dengan menutup jambatan kedua yang merentasi sungai berkenaan dan lewat dalam memberi bantuan kecemasan.

Sejumlah besar pengunjung datang ke pulau itu untuk meraikan malam terakhir perayaan berkenaan.

Perdana Menteri, Hun Sen menyifatkan kejadian itu sebagai tragedi paling buruk sejak kekejaman pemerintahan komunis yang menyebabkan kira-kira 1.7 juta orang terbunuh pada akhir 1970-an.

Jawatankuasa itu yang turut dianggota anggota Kabinet dan pegawai bandar raya Pnom Penh berkata, keadaan panik itu ditambah pula dengan orang ramai menghadapi masalah untuk bernafas kerana mereka terlalu rapat antara satu sama lain.

MAYAT mangsa tragedi terpijak diletakkan di kawasan lapang sebelum dihantar ke hospital.

Dianggarkan kira-kira 7,000 hingga 8,000 orang berada di atas jambatan itu ketika kejadian.

Jawatankuasa itu melaporkan, sebelum kejadian, ada saksi mendengar jeritan kononnya jambatan itu akan runtuh, menyebabkan mereka yang berada di atasnya cemas dan ada yang terjun ke dalam sungai. – Reuters