Di ambang kemusnahan

A general view of an old building near the Royal Palace in Phnom Penh. When Cambodia tore down a 100-year-old school in the capital recently, conservationists bemoaned the loss of yet another colonial-era dwelling in former French Indochina, where the rush is on to create modern metropolises. (PHOTO: TANG CHHIN SOTHY 10/09/2010)

APABILA Kemboja meruntuhkan bangunan sekolah yang berusia seabad lamanya di ibu kota negara berkenaan tahun ini, pihak yang menyokong usaha pemuliharaan meratapi kehilangan satu lagi tinggalan sejarah bekas jajahan Perancis di negara yang giat dengan usaha pemodenannya itu.

Seni bina kolonial Perancis dengan rekaan tingkapnya yang ditutup bidai serta anjung yang luas menonjolkan ciri-ciri kota di Kemboja, Laos dan Vietnam selama berdekad lamanya meskipun selepas Perancis mengundur diri dari Indochina pada 1954.

Tetapi kini ratusan bangunan bersejarah di seluruh rantau terbabit diruntuhkan apabila kerajaan mengambil kesempatan ke atas harga tanah yang kian meningkat dan usaha untuk mencipta bangunan pencakar langit yang menarik perhatian.

“Apa yang saya lihat di Phnom Penh hanya sedikit atau paling teruk, tiada langsung perlindungan terhadap bangunan warisan yang penting. Saya melihat kepupusan bangunan kolonial lama Perancis.

“Memang sangat menyedihkan kerana banyak bangunan ini sudah pupus dan suatu masa nanti, tindakan ini pasti dikesali,” kata pakar sejarah seni bina beribu pejabat di Kemboja, Darryl Collins yang berasal dari Australia.

Dibina pada 1908, Ecole Professionnelle iaitu sekolah latihan tertua di Kemboja yang dimusnahkan pada Februari lalu adalah runtuhan berprofil tinggi di negara miskin yang kini memburu kemodenan itu.

Ibu kota Kemboja, Phnom Penh atau dulunya dikenali sebagai Mutiara Asia pernah dianggap salah satu kota paling menarik di rantau ini dengan persekitaran bangunan yang memiliki gaya Perancis serta taman yang dijaga begitu rapi dan kediaman besar.

Bagaimanapun, menurut pakar pemuliharaan, keadaan itu mulai pupus pada kadar yang membimbangkan.

Mereka menjangkakan sebanyak 30 peratus daripada bangunan kolonial di Phnom Penh yang berdekad lamanya terbabit dalam perang sudah pun dimusnahkan sejak 15 tahun lalu.

Meskipun ramai warga Kemboja di kota terbabit yang lebih gemar tinggal dan bekerja di bangunan moden, bukan hanya pakar sejarah yang kecewa dengan perubahan berkenaan.

“Kita tidak seharusnya memusnahkan bangunan tinggalan Perancis itu. Kita sepatutnya mengubah suai bangunan itu supaya ia kelihatan lebih menarik seperti dulu,” kata Chheng Moeun, 76, yang menjual minuman ringan di luar runtuhan vila kolonial berhampiran Istana Diraja Phnom Penh.

Usaha pemusnahan itu dijalankan sebagai sebahagian daripada pertumbuhan ekonomi kerajaan terbabit dekad ini. Pihak pemaju pula tidak sabar untuk membina apartmen dan blok pejabat di lokasi utama yang banyak menempatkan bangunan kolonial.

BERNILAI...reka bentuk pada bahagian atas sebuah bangunan lama berhampiran Istana Diraja berhampiran Phnom Penh.

Pegawai kanan di Kementerian Kebudayaan Kemboja, Samraing Kamsan, berkata usaha menyelamatkan seni bina Perancis di Phnom Penh agak rumit disebabkan pembiayaan yang terhad dan kurangnya minat daripada pemilik bangunan.

“Kami mahu memulihara bangunan lama itu. Sesetengah pihak bersetuju, tetapi sesetengahnya tidak,” katanya.

Di hujung sempadan, bekas jajahan Perancis iaitu Laos dan Vietnam juga bergelut dengan masalah untuk mengekalkan tinggalan kolonial di negara mereka, kata Collins yang menyalahkan harga hartanah yang melonjak naik.

“Ia adalah bentuk pemikiran jangka pendek,” katanya yang merujuk kepada keuntungan daripada urus niaga hartanah itu.

Pakar pemuliharaan warisan budaya dan sejarah Hanoi, Hoang Dao Kinh, berkata daripada lebih 1,000 bangunan vila Perancis di ibu kota Vietnam itu, hanya
beberapa ratus masih kekal dalam reka bentuk kolonial asli.

Meskipun negara berkenaan melakukan usaha untuk menyelamatkan bangunan lama, Kinh berkata, aplikasi undang-undang pada 2001 membabitkan pemuliharaan tinggalan sedemikian ‘mengalami pelbagai kesukaran’.

Bagaimanapun, usaha untuk menyelamatkan beberapa tinggalan seni bina Perancis tidaklah sia-sia, katanya yang merujuk kepada bandar Dalat di Vietnam sebagai salah satu contoh.

Di Laos pula, bandar Luang Prabang di utara dengan rumah kolonial yang dijaga rapi membuktikan ia mampu menjadi satu tarikan utama pelancong dan kerajaan pula berminat untuk menjayakan usaha berkenaan di ibu kota negara terbabit.

Bangunan di Vientiane sudah pun diubah suai dan kini berada dalam keadaan yang sangat baik, kata jurucakap kerajaan, Khenthong Nuanthasing.
“Ia bagus untuk pelancong. Apabila pelancong berkunjung ke Vientiane, mereka mencari tinggalan sebegini,” katanya.

Collins percaya kerajaan di tiga negara berkenaan seharusnya melihat usaha pemuliharaan struktur era Perancis itu bukanlah satu gangguan sebaliknya sebagai cara untuk mendapatkan hasil daripada pengunjung luar negara.

“Keputusan perlu dibuat mengenai kepentingan bangunan ini kepada kota terbabit,” katanya – AFP

TERBIAR...orang ramai minum teh di hadapan bangunan kolonial yang tidak didiami lagi di Hanoi.
PULIHARA...salah satu vila kolonial Perancis yang diubah suai menjadi restoran di Hanoi.

One thought on “Di ambang kemusnahan

  1. it was a great experienced when i visited Vietnam. the article is telling the truth as my eyes sees the same scenery. France colonial is really beautiful and surely live with it history. They have to preserved and keep the building for their own good.

Comments are closed.