Persepsi baru tarian tiang

MAI SATO...pemenang wanita dari Jepun ini mempamerkan aksi tariannya pada kejohanan di Tokyo, baru-baru ini.

TARIAN tiang mungkin bermula di bilik belakang serba suram di bar yang dikunjungi orang dewasa saja.

Tetapi kini, penarinya menganggap ia sebagai suatu bentuk seni yang sensual dan aktiviti riadah amat baik.

Selepas demam tarian gelek moden melanda seluruh dunia, kini tarian tiang dianggap kegilaan terkini oleh wanita yang mengakui melakukannya untuk keseronokan diri sendiri, bukannya membuatkan lelaki tergiur di pusat tarian bogel seperti sebelum ini.

Untuk memastikannya, wanita yang melakukan tarian tiang itu tetap mengenakan pakaian walaupun tidak di seluruh tubuh. Gaya tariannya kini pula lebih kepada aksi akrobatik sarkas dan gimnastik.

“Sukan ini mempunyai dua aliran. Satu aliran dikaitkan dengan tarian bogel dan industri seks, tetapi saya fikir hari ini aliran yang lebih berpengaruh sebenarnya dikaitkan dengan kecergasan,” kata jurucakap Persatuan Kecergasan Tarian Tiang Antarabangsa, Tina Burrett yang ditemui ketika kejohanan antarabangsa ketiga sukan terbabit yang berlangsung di Tokyo, baru-baru ini.

Menurutnya, sukan berkenaan menjadi begitu popular kini dalam kalangan wanita. Ia tidak hanya membolehkan seseorang itu menzahirkan perasaan mereka malah ia sebenarnya satu aktiviti riadah yang cukup berkesan.

“Seseorang itu perlu menahan tubuhnya hanya disokong satu tangan dan kaki. Ia juga memerlukan stamina. Persembahan selama lima minit mungkin agak singkat, tetapi hakikatnya, ia memerlukan sejumlah tenaga yang sangat banyak.

“Penarinya mempunyai keadaan fizikal yang mengagumkan, mereka punya otot, tetapi pada masa sama, mempunyai potongan badan yang sangat kewanitaan,” katanya.

Burrett yang berusia 33 tahun ini adalah saintis politik. Bagi dirinya dan ramai lagi wanita moden kini, tarian tiang bukanlah satu kaedah mengeksploitasi diri.

Italy's Giulia Plolanti performs during the women's division grand final competition of the International Pole Championship in Tokyo on December 9, 2010. Pole-dancing may have started in the smoky backrooms of adult-only bars -- but now performers have lifted the velvet curtain on what they say is a sensual art form and a great workout. (AFP PHOTO / KAZUHIRO NOGI)

“Ramai wanita dalam kelas saya adalah doktor, peguam dan diplomat. Jadi saya fikir, imej tarian tiang kini sudah berubah.

“Saya fikir tarian tiang menjadi sejenis sukan yang dikaitkan dengan wanita yang mempunyai kekuatan dan keyakinan,” katanya.

Bagaimanapun, tidak hanya wanita yang terpengaruh dengan kegilaan tarian tiang ini malah versi tarian baru ini juga untuk lelaki.

Duncan West, warga Australia yang menang dalam kategori lelaki tahun ini di Tokyo, berkata dia belajar sendiri tarian berkenaan menerusi tiang China iaitu bentuk tarian yang katanya berasal daripada tradisi sarkas kuno negara terbabit.

“Saya penari semula jadi. Saya menari dengan rasa seronok dan menggunakan pelbagai helah, tetapi tidak melakukan perkara yang terlalu bodoh,” katanya mengakui, penyokongnya membantu dia menangani rasa malunya. Apapun, sambil tersenyum dia mengakui bukan mudah mendapat sokongan terutama daripada rakan di tempat kerjanya.

Di Jepun, tarian tiang juga mempunyai pengikutnya.

“Tarian tiang memang popular di Jepun kini,” kata pemenang wanita tahun ini, Mai Sato, yang membuat persembahan di Tokyo baru-baru ini.

Ditanya sama ada tarian tiang kini dianggap sukan sebenarnya, dia kemudian menunjukkan tangannya yang berotot dan berkata, “Ya, tentu sekali!.” Burrett sendiri menjangkakan penari tiang bakal bertanding dalam acara sukan terkemuka di dunia.

“Jika menembak boleh dianggap sukan dipertandingkan dalam kejohanan Olimpik, saya tidak lihat mengapa tarian tiang tidak mampu disenaraikan dalam kejohanan sedemikian,” katanya.  – AFP

 

DIIKTIRAF...tarian tiang moden kini dianggap sebagai acara sukan dengan gabungan aksi akrobatik dan sarkas.