PDRM tak terlibat

Susulan pendedahan WikiLeaks

PUTRAJAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak mempunyai sebarang kaitan dengan penghebahan laman web WikiLeaks berkaitan sumber perisikan Singapura yang mendedahkan kegiatan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan liwat kepada Australia.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, apa didedahkan WikiLeaks adalah perbincangan di antara Singapura dan Australia.

Beliau berkata, pendedahan yang menyentuh aktiviti liwat seperti tersiar dalam WikiLeaks itu langsung tiada kaitan dengan PDRM.

“Dalam konteks ini, saya ingin tegaskan bahawa semua maklumat dan kerahsiaan mengenai siasatan dilakukan PDRM sentiasa terpelihara dan sememangnya dijaga dan dipertahankan kerana ia membabitkan imej dan kredibiliti pihak berkuasa ini,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, beberapa akhbar tempatan melaporkan mengenai pendedahan perisikan Singapura dan Menteri Kanan, Lee Kuan Yew yang percaya bahawa Ketua Pembangkang itu melakukan liwat seperti pertuduhan yang beliau hadapi di mahkamah sekarang.

Perkara itu didedahkan WikiLeaks melalui kenyataan kabel Jabatan Negara Amerika Syarikat yang dikeluarkan pada November 2008.

Hishammuddin berkata, pendedahan WikiLeaks itu lebih terarah kepada maklumat yang berlegar dalam kitaran diplomatik.

Justeru, katanya, adalah sesuatu yang sangat tidak bertanggungjawab bagi mana-mana pihak cuba mengaitkan pihak PDRM atau Kementerian Dalam Negeri dengan sumber pendedahan itu.

“Pihak yang berkenaan perlu lebih rasional dan bertanggungjawab dalam membuat kenyataan bagi menjawab isu itu dan tidak sewenang-wenangnya membabitkan PDRM.

“Perkara yang lebih penting dijawab pihak berkenaan adalah mengenai isu liwat itu sendiri dan tidak sesekali cuba mengalih perhatian terhadap isu liwat yang ditimbulkan dengan membuat andaian dan dakwaan tidak benar serta tidak berasas,” katanya. – HM

Related:
Wikileaks: Anwar Ibrahim seorang peliwat

One thought on “PDRM tak terlibat

Comments are closed.