Selamatkan Menara Pisa

Bertahan untuk 200 tahun lagi

This picture taken in 1993 shows the start of the stabilization works at Pisa's leaning tower. The scaffolding is about to come off at the end of 2010 at the Leaning Tower of Pisa following a painstaking two-year restoration that has restored the medieval masterpiece to its former glory. (AFP PHOTO / FABIO MUZZI)

TATKALA angin menderu menerusi Menara Condong Pisa, Marco Berettini menarik topi rapat ke telinganya dan bergelut di hujung menara condong itu untuk berlindung di sebalik tiang daripada zaman pertengahan itu.

Berettini rancak memasukkan bahan untuk memberikan sentuhan akhirnya kepada projek pemuliharaan selama lapan tahun itu.

Antara kerjanya ialah menyingkirkan garam lautan, najis burung merpati dan tulisan oleh pelancong daripada menara terbabit sebelum segala kerja dijadualkan siap awal tahun depan.

Pada jarak kira-kira 12 kilometer dari pantai Mediterranean, menara berkenaan sering dilanda ribut yang datangnya dari arah pantai. Pintu gerbang yang terbuka luas juga kurang menyediakan teduhan yang diperlukan pekerja itu untuk melindungi mereka daripada kehangatan musim panas Tuscan.

“Anda perlu miliki minat yang mendalam untuk menyelamatkan menara itu atau anda tidak mampu bangun pada waktu subuh dan menghabiskan sepanjang hari membongkokkan badan begini,” kata Berettini yang berusia 41 tahun.

Menurutnya, keadaan persekitaran tidak menentu dan kadangkala mereka perlu bekerja dalam cuaca melampau.

“Tetapi ia satu kerja yang anda lakukan kerana perasaan yang mendalam,” katanya dengan bangga sambil tersenyum.

Lengkap dengan laser, pahat dan picagari, pasukan seramai 10 orang itu mengambil masa lapan tahun dan tiga bulan untuk membersihkan 24,424 blok batu yang menghasilkan menara setinggi 56 meter itu. Mereka juga ada kalanya bekerja hingga malam.

“Batu-batuan itu dalam keadaan yang teruk, terutama disebabkan pencemaran udara meskipun pelancong dan burung merpati turut memainkan peranan,” jelas seorang pekerja pemuliharaan berkenaan, Anton Sutter, warga kelahiran Switzerland yang menghadiri sekolah pemuliharaan seni di Pisa 25 tahun lalu.

Batuan kekuningan yang agak ketara itu datangnya dari kuari di San Giuliano, yang kelihatan menyerlah dari atas menara, sekali gus mencacatkan pemandangan pergunungan hijau di belakang menara terbabit.

“Tiangnya dihias dengan ukiran bunga-bungaan, wajah dan haiwan. Tetapi garam lautan yang dibawa angin dan air hujan yang terkumpul di beberapa bahagian disebabkan kecondongan menara itu mengakibatkan banyak bahagian yang musnah,” kata Sutter.

Dia menerangkan, takungan air juga tidak dapat dialirkan atau kering dengan baik disebabkan bahagian bangunan yang senget itu.

“Kami sudah mengeluarkan konkrit yang digunakan dalam usaha pemuliharaan sebelum ini dan membersihkan kotoran daripada burung merpati, tulisan grafiti dan bekas tapak tangan ditinggalkan pelancong sambil mengimbangi badan kami ketika memanjat tangga berpusing untuk sampai ke bahagian atas,” katanya.

Mengikut legenda, menara itu dibina pada 1173 selepas seorang wanita bangsawan Pisa meninggalkan 60 syiling untuk kota itu dalam wasiatnya bagi membina menara yang menakjubkan.

Bagaimanapun, selepas pembinaan tiga tingkat bangunan itu, menara itu mulai condong, menenggelamkan bahagian asasnya pada satu bahagian. Meskipun arkitek dan jurutera ketika itu cuba menstabilkan bangunan terbabit sejak kejadian itu, menara berkenaan terus menyenget.

Pada 1987, ia diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Unesco, tetapi bimbang menara berkenaan runtuh, ia ditutup untuk umum pada 1990.

“Menara berkenaan sudah hampir runtuh, tetapi kami berupaya untuk menyekat kecondongannya dan menyelamatkannya.

“Ia kini tidak berisiko untuk tempoh kira-kira 200 tahun akan datang,” kata Giuseppe Bentivoglio, daripada pertubuhan Opera Primaziale yang memulihara menara terbabit.

A technician works on a marble column during restoration works at the leaning tower on December 2, 2010 in Pisa. ( AFP PHOTO / FABIO MUZZI)

Menara berkenaan dibuka semula untuk orang ramai pada 2001 dan kini terus dibuka sepanjang kerja pemuliharaan berkenaan yang dianggarkan bernilai kira-kira 7 juta euro (RM29.8 juta)

Usaha itu dijalankan sebahagian besarnya untuk menggembirakan pelancong dan sebahagian lagi kerana hasil daripada penjualan tiket membantu untuk membayar kos penyelenggaraannya.

Kira-kira sejuta pelancong melawat menara terbabit setiap tahun. Pasangan muda bergambar dengan wajah lucu dan satu tangan mendepang, gambarannya seolah-olah menghentikan menara itu daripada terjatuh.

Mereka yang sudah mendaki 296 pula tertawa kasihan melihatkan mereka yang lain keluar dari pintu menara terbabit.

A combination of two pictures shows Pisa's leaning tower before the stabilization works in 1992 (L) and at the end of the works in 2010 (R) showing a slightly different level of tilt. (AFP PHOTO / FABIO MUZZI)

Struktur berpusing bangunan itu dan keadaan rupa buminya yang tidak begitu stabil bermakna kerja platform sementara (perancah) yang dibuat secara tradisional untuk kerja pemuliharaan itu bukanlah satu pilihan. Justeru, jurutera perlu mereka rangka kerja aluminium yang unik bagi menahan kecondongan menara terbabit.

“Kami mendapatkan khidmat sepasukan pendaki gunung untuk mengalihkan perancah dari satu tingkat ke satu tingkat,” kata Ketua Jurutera BCD Progetti, Giuseppe Carluccio, di Rome.

“Mereka memang mengagumkan. Mereka begitu berminat mendaki, tahu bagaimana menggunakan tali mereka dan paling penting, mereka tidak takutkan tempat tinggi,” katanya.

Pendaki gunung terbabit mengalihkan perancah secara berperingkat ke bahagian atas menara sehingga ke tingkat akhir dan akan kembali sekali lagi untuk menurunkannya.

Perdebatan berlangsung di Itali baru-baru ini berhubung kerja pemuliharaan tapak warisan penting itu, berikutan runtuhnya rumah kuno Roman  pada Oktober dan potongan besar belanjawan membabitkan warisan budaya Itali.

Namun, kerja pemuliharaan menara berkenaan boleh dilihat sebagai satu kejayaan.

People walk on top of Pisa's leaning tower on December 2, 2010. (AFP PHOTO / FABIO MUZZI)

Bentivoglio melahirkan rasa bangganya ke atas projek terbabit dan menyatakan bilangan pelancong – yang membiayai dana usaha berkenaan – terbantut akibat krisis ekonomi.

“Kami bernasib baik kerana orang ramai sering mengunjungi menara terbabit. Memang payah ditemui bangunan sedemikian di dunia ini.

“Menjelang Februari, ia sudah boleh dibuka kepada umum,” katanya.

Memerhatikan tiang menara terbabit, Chrisjo Kunnathettu, warga Jerman berusia 33 tahun yang bercuti bersama teman wanitanya, memuji kerja dilakukan pekerja di tapak berkenaan kerana tugas dilakukan mereka begitu baik.

“Bukan mudah untuk melakukannya, tetapi menara itu adalah sebahagian sejarah. Memang memalukan jika ia dibiarkan runtuh.

“Anda boleh lihat perbezaan yang ketara antara menara yang sudah dibersihkan dengan bahagian gelap Duomo bersebelahan dengannya,” katanya merujuk kepada gereja abad ke-11 berhampiran. –  AFP