doa-t2

Doa (4): Himpunan doa dalam Islam

>> DOA ketika memakai pakaian
“Segala puji bagi Allah yang memberi pakaian ini kepadaku, sebagai rezeki daripada-Nya, tanpa daya dan kekuatan daripadaku.”

>> DOA mendapat anak yang sempurna (tidak cacat)
“Ya Tuhanku, kurniakan kepadaku dari sisi-Mu, zuriat (anak) yang baik (sempurna tidak cacat) sesungguhnya Engkau sentiasa mendengar permohonan hamba-Mu.”

>> DOA mendapat anak yang berakhlak mulia dan menghormati Ibu bapa
“Wahai Tuhanku, berilah aku kesanggupan supaya dapat mensyukuri anugerah Engkau, yang telah Engkau kurniakan kepadaku dan kedua ibu bapaku dan supaya aku dapat mengerjakan perbuatan baik yang Engkau sukai, dan perbaikilah keturunanku, sesungguhnya aku bertaubat kepada-Mu dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri.” (Surah al-Ahqaf ayat 15).

>> DOA memperoleh isteri dan anak-anak yang bertakwa
“Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penambat hati (kami) dan jadikanlah kami imam (ikutan) bagi orang-orang yang bertakwa.” (Surah al-Furqan ayat 74).

>> DOA mengekalkan kasih sayang suami/ isteri/ anak yang terpisah agar tertambat hati antara satu dengan lain
“Wahai orang yang beriman, sabarlah dan cukupkanlah kesabaran dan perteguhkanlah kekuatanmu dan patuhlah kepada Allah, supaya kamu beroleh kemenangan.” (Surau Ali Imran ayat 200).

>> DOA kasih sayang/ pelembut hati suami/ isteri/ anak-anak
“Taha (Hai manusia). Tiada Kami turunkan al-Quran supaya engkau mendapat celaka. Melainkan peringatan bagi orang yang takut kepada Tuhannya. Wahyu yang diutuskan daripada Tuhan yang mencipta bumi ini dan langit yang tinggi. Tuhan Yang Maha Pemurah, berkuasa di atas singgahsana.” (Surah Taha ayat 1-5).

>> DOA memohon keampunan Allah
“Ya Allah, kami telah menzalimi diri kami sendiri dan sekiranya Engkau tidak mengampuni kami, nescaya masuklah kami ke dalam golongan mereka yang rugi.” (Surah al-A’raf ayat 23).

>> DOA memohon rahmat dan pimpinan Allah
“Ya Allah, kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisi-Mu dan berilah kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami.” (Surah al-Kahfi ayat 10).

>> DOA menghindari diri daripada perangai dan nafsu jahat
“Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada perangai buruk dan kerakusan hawa nafsu.”

>> DOA mendapat hidayah berkekalan daripada Allah
“Ya Allah, janganlah Engkau pesongkan hati kami sesudah Engkau memberi kami petunjuk, berilah kami rahmat dari sisi-Mu, sesungguhnya Engkau Maha Pengurnia (banyak memberi rezeki).” (Surah Ali Imran ayat 8).