cenderamata propaganda

Cenderamata propaganda

POSTER propaganda komunis era perang di Vietnam memaparkan wajah berjanggut Ho Chi Minh atau imej hero pejuang Viet Kong yang menjadi cenderahati popular di kalangan pelancong, tetapi bukan untuk warga Vietnam sendiri.

Poster itu barangan biasa yang dijadikan cenderamata selain barangan kemas, pakaian dan lebih rutin adalah ukiran gajah dan rantai kunci yang boleh didapati di jalanan sesak di daerah pelancongan Hanoi, Old Quarter.

“Ia satu cenderamata dengan unsur bergaya pada harga berpatutan. Lebih menarik daripada beg ‘fesyen’ murah yang boleh didapati di semua kedai ini,” kata pelancong Jerman yang hanya mahu dikenali sebagai Fritz.

Dia berhenti di sebuah kedai di Old Quarter apabila matanya terpaku pada poster yang memaparkan potret Ho Chi Minh, pemimpin negara berkenaan yang meninggal dunia pada 1969 saat kemuncak Perang Vietnam menentang Amerika Syarikat.

“Saya gemarkan rekaan sosialis secara umumnya dan seni propaganda. Sama ada anda bersetuju atau tidak dengan isi kandungannya, ia bukanlah perkara penting,” kata Fritz, 32, yang tinggal di China.

Jualan poster propaganda bermula pada 1990-an apabila ekonomi Vietnam tiada lagi kekangan dan bilangan pelancong mula meningkat.

“Pelancong asing mahu membeli barangan yang ada kaitan dengan perang,” kata Nora Taylor, seorang pakar dalam sejarah seni Vietnam di Sekolah Institut Seni Chicago (SAIC).

Menurutnya, meskipun ramai pembeli berasa mereka sudah menemui objek sejarah asli yang diwarisi, bahan unik daripada era perang memang jarang diperoleh.

Sebuah poster asli yang mempunyai tarikh ketika konflik penjajah Perancis kira-kira 60 tahun lalu atau perang kemudiannya terhadap Amerika dijual antara $300 (RM960) dan $2,000 (RM6,400), menurut pemilik galeri yang memaparkan bahan asli serta salinan murahan yang dijual pada harga serendah $5 (RM16).

Pham Ngoc Manh, 33, yang memiliki dua kedai di Hanoi, berkata dia mempunyai kira-kira 100 poster asli daripada pelukisnya atau daripada mereka yang rapat dengan pelukis poster berkenaan.

“Saya tidak banyak menjual hasil lukisan asli, kebanyakannya adalah lukisan yang dihasilkan semula,” kata Manh yang menganggarkan hanya ada antara 2,000 dan 3,000 poster asli yang masih wujud.

“Apabila pak cik Ho berkata ‘kemenangan’, kita memang akan menang,” begitu tulisan tertera di bawah potret Ho Chi Minh yang juga pengasas komunisme Vietnam dengan latar belakang warna merah.

“Nixon mesti membayar hutang darah.” Catatan itu tertera pada poster yang memaparkan bekas Vietnam Utara menjadi sasaran bom yang turut mengetengahkan gambar bekas Presiden Amerika ketika itu, Richard Nixon.

Beberapa poster lain yang baru dicetak mengetengahkan slogan yang diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris untuk memuaskan hati pengunjung.

“Untuk kebanyakan pelancong, ia satu cenderamata daripada zaman perang, bukannya satu objek seni,” kata Taylor.

Bagaimanapun, di kalangan warga Vietnam, mereka tidak begitu berminat.

“Tanpa pelancong, memang tiada sebarang perniagaan,” kata pemilik galeri, Nguyen Bach Tuyet, 48.

Manh, seorang lagi peruncit, juga mengakui hanya mempunyai sedikit pelanggan warga Vietnam.

“Mereka sudah banyak melihat benda seperti itu di jalanan,” katanya.

A street vendor walks past a shop selling war-time propaganda posters in Hanoi. Vietnamese wartime communist propaganda posters featuring the goateed face of Ho Chi Minh or heroic images of Viet Cong fighters have become popular souvenirs for tourists -- but not for Vietnamese. (AFP PHOTO/HOANG DINH Nam 30/11/2010)

Rigim komunis sebenarnya masih menggantungkan slogannya di seluruh negara.

Papan iklan yang memaparkan Ho Chi Minh atau pejuang zaman perang tidak menguasai persekitaran, tetapi ia boleh dilihat di beberapa tempat.

Acara politik dan sosial utama ditandai dengan kain rentang merah yang digantung di jalan utama.

“Warga Vietnam menderita perang berterusan selama beberapa generasi. Mungkin akhirnya apabila perang tamat, mereka tidak mahu diingatkan perkara yang sudah berlalu itu,” kata Richard San Marziano, kurator untuk poster asli Koleksi Dogma daripada era 1960-an dan 1970-an yang boleh dilihat di Internet.

Menurut San Marziano, pengunjung asing sangat berminat dengan seni propaganda Vietnam kerana ia dianggap ‘bertenaga, baru dan menarik’ berbanding negara lain dan hasil kerja seni itu sendiri adalah dokumen bersejarah.

Tetapi Taylor pula berpendapat ia akan mengambil masa yang lama untuk warga Vietnam mempunyai minat mendalam terhadap gambar seni itu sebagaimana minat yang ditunjukkan pelancong asing.

“Poster ini masih mempunyai mesej jadi ia tidak boleh menjadi satu objek hiasan. Ia akan hanya menjadi kenyataan apabila imej berkenaan tidak lagi punya makna iaitu apabila imej terbabit bertukar status daripada propaganda kepada hasil seni,” katanya. – AFP