mufti johor

Haram berpakaian serupai Santa Claus

JOHOR BAHRU: Umat Islam dinasihatkan supaya tidak terikut-ikut menyambut perayaan Krismas hingga sanggup memakai pakaian atau perhiasan menyerupai Santa Claus kerana ia bertentangan dengan ajaran agama.

Mufti Johor, Datuk Tahrir Shamsuddin berkata, umat Islam di negara ini tidak sedar dan kurang pengetahuan mengenai ilmu agama menyebabkan mereka turut serta meraikan perayaan Krismas disambut masyarakat yang menganut Kristian.

“Kerana ingin bersama-sama meraikan perayaan itu menjelang 25 Disember, ada orang Islam yang memakai pakaian seperti Santa Claus bagi saya, hukumnya adalah haram.

“Tanpa disedari, perbuatan itu secara tidak langsung boleh mempengaruhi dan memesongkan akidah seseorang umat Islam,” katanya, semalam.

Beliau sendiri ada menerima aduan daripada orang ramai yang prihatin mengenai perkara itu dan meluahkan perasaan sedih kerana ada segelintir masyarakat Islam sanggup berpakaian seperti Santa Claus semata-mata kerana diarahkan majikan berbuat demikian.

Tahrir berkata, pihak atasan sesebuah organisasi seharusnya sedar dan maklum mengenai sensitiviti masyarakat Islam di negara ini.

“Memang tidak dinafikan sesetengah individu yang bekerja di pusat membeli- belah terpaksa memakai pakaian atau perhiasan itu atas kehendak tugas.

“Majikan sebenarnya boleh mengarahkan pekerja bukan Islam berpakaian sedemikian sebaliknya memilih individu beragama Kristian untuk memakai pakaian itu,” katanya. – HM (24/12/2010)