piala aff-t

Piala Suzuki AFF 2010: Peminat Indonesia tak hormat Negaraku

WAJAH SEDIH...peminat Indonesia sugul selepas barisan pemain kebangsaan mereka gagal mendapatkan banyak gol.

PENYOKONG Indonesia membaling botol minuman air mineral berkali-kali melayang di luar Stadium Utama Gelora Bung Karno ketika pertandingan final kedua Piala AFF Suzuki, malam tadi.

Botol minuman itu dilemparkan penyokong tuan rumah itu ketika menonton perlawanan menentang Malaysia di layar besar yang disediakan untuk 100,000 penonton yang gagal mendapatkan tiket.

Pantauan Kompas.com di sekitar pintu VII menyaksikan perbuatan tidak terpuji itu diperlihatkan penyokong Indonesia terhadap Malaysia. Mereka melempari layar berukuran 4×6 meter itu dengan botol air minuman ketika lagu kebangsaan Malaysia, Negaraku berkumandang. Begitu juga ketika kamera menunjukkan wajah ketua jurulatih Malaysia, K Rajagobal.

Botol kembali melayang ketika penonton di barisan depan berdiri ketika pemain Indonesia masuk ke kawasan pertahanan Malaysia.

“Woiii, duduk,” teriak penyokong di barisan belakang sambil melempar botol air minuman kepada mereka yang duduk di depan. Bagaimanapun, botol kembali melayang ketika pemain Indonesia mendekati gawang Malaysia.

Pihak stadium memasang empat layar besar di luar stadium untuk penyokong yang tidak memiliki tiket. Di layar di sekitar pintu VII, ribuan penonton duduk berkerumun menghadapi layar. Bahkan, penonton yang masuk ke dalam stadium turut menyaksikan perlawanan itu menerusi skrin besar berkenaan. Mereka duduk di luar tempat duduk penonton yang menghadap layar besar itu. – HM