amerika-t

‘Menghalal’ Amerika

Naib Presiden Eksekutif American Halal Co, Jack Acree (kiri) bersama beberapa produk makanan beku Saffron Road yang mensasarkan pengguna Islam.

DI dalam dewan utama sebuah hotel mewah yang terletak tidak jauh dari stesen kereta api New York, eksekutif makanan, pengiklanan dan penyelidik pasaran saling bergaul dan berbual sesama sendiri – lelaki mengenakan sut gelap, wanita pula ramai yang bertudung dan ada juga menggayakan gaun barat. Turut kelihatan coklat enak di atas meja yang dibuat menepati peraturan makanan Islam.

Acaranya Forum Pengguna Muslim Amerika Syarikat yang cuba mempromosikan Muslim sebagai segmen pasaran terkini bagi syarikat di Amerika.

Meskipun banyak badan korporat yang mula menyediakan pasaran makanan halal kepada komuniti Islam di Eropah, ia baru bermula di Amerika – dan mereka melakukannya tatkala isu hangat mengenai anti Islam yang membimbangkan syarikat terbabit.

Pada masa sama, umat Islam Amerika menegaskan syarikat terbabit akan meraih lebih keuntungan apabila produk itu sampai ke kawasan komuniti.

“Kami bukanlah mengatakan ‘sokong kami’, tapi mahu mereka faham dengan nilai kami,” kata Faisal Masood, seorang perunding pengurusan perniagaan yang juga graduan Universiti Illinois, Chicago.

Wujud beberapa petanda bahawa pasaran produk Muslim makin meningkat sejak akhir-akhir ini. Masood, eksekutif di Wall Street yang menganjurkan persidangan itu, sekadar berjaya menarik 200 peserta pada 2009. Bagi 2010, dia menerima lebih 400 penyertaan.

Pasaran antarabangsa untuk keluaran Islam, lebih dikenali produk halal, meningkat lebih setengah bilion dolar dalam setahun. Daging yang disembelih mengikut syariat menjadi teras utama dalam pasaran, tetapi industri halal kini makin berkembang termasuk pemprosesan makanan dan bahan perasa yang tidak mengandungi alkohol, lemak khinzir serta beberapa bahan larangan lain, selain turut diguna pakai untuk produk kosmetik, pakaian dan kewangan.

Sejak beberapa tahun lalu, syarikat korporat mula menyediakan pasaran produk halal bagi komuniti Islam di Eropah. Nestle misalnya, mempunyai 20 kilang di Eropah dengan sijil halal dan mengiklankannya kepada Muslim di Barat menerusi kempen pemasaran ‘Taste of Home’. Nestle merancang untuk meningkatkan lagi produk halal dan berteraskan etnik di Eropah untuk beberapa tahun akan datang.

Di Amerika, syarikat ikon seperti McDonald’s (yang sudah mempunyai menu halal di rangkaian restoran luar negara) dan Wal-Mart mula menyertai industri produk Muslim ini. Pada Ogos lalu, syarikat pengeluar barangan runcit, Whole Foods mula menjual produk halal di seluruh Amerika iaitu makanan beku India dikenali Saffron Road. Namun, pada masa sama, syarikat itu turut dikritik dan menjadi sasaran dalam pertelingkahan membabitkan perbezaan ideologi ke atas Islam dan keganasan.

Abdalhamid Evans, pengarah projek bagi Forum Halal Sedunia Eropah yang bekerjasama dengan industri halal global, berkata tindak balas negatif yang diterima seperti itu menyebabkan beberapa syarikat utama di Eropah mengurangkan kempen serta jualan produk halal mereka.

Di United Kingdom, selepas Kentucky Fried Chicken meletakkan pilihan menu halal di beberapa cawangannya, restoran itu kemudiannya menarik semula menu itu di beberapa lokasi selepas menerima protes masyarakat setempat yang menggelarkan menu mereka sebagai ‘ayam pengganas’.

Pada September lalu, akhbar Daily Mail London melaporkan bahawa banyak pasar raya di Britain, rangkaian restoran segera, hospital, sekolah, kelab malam dan pusat sukan seperti Stadium Wembley menyediakan hidangan daging halal tanpa mengumumkannya kepada masyarakat.

Kebanyakan daging yang dijual di Britain datangnya dari New Zealand, di mana rumah penyembelihan di sana mula meningkatkan pengeluaran produk halal dalam usaha untuk meningkatkan lagi pasaran eksport yang sebelum ini lebih tertumpu di negara Islam.

Susulan kekecohan itu, Barnabas Aid, kumpulan yang menentang penindasan ke atas penganut Kristian di seluruh dunia, memulakan petisyen di Britain yang menentang penggunaan produk halal di pasaran. “Ia mungkin akan ditafsirkan sebagai salah satu cara untuk Islam memperlihatkan kekuasaan mereka,” ujar kumpulan itu.

Sebilangan syarikat di Amerika turut berdepan tentangan sama walaupun pada kadar kecil.

Dua tahun lalu, Best Buy Inc dihujani berpuluh panggilan, e-mel dan surat yang mengadu bahawa syarikat itu antiAmerika selepas menyiarkan iklan sambutan perayaan hari raya Aidiladha buat pertama kalinya dalam kempen seluruh negara.

Ketika itu, hari raya Aidiladha jatuh sekitar minggu yang sama dengan sambutan Thanksgiving, jadi iklan terbabit yang tampil dalam bentuk buih kecil di bahagian bawah disertakan dalam helaian iklan bagi Thanksgiving. “Mereka menggunakan kata-kata kesat. Ia amat menyedihkan,” kata Nausheena Hussain, pengurus pemasaran Best Buy di Minnesota.

Pegawai eksekutif Best Buy bagaimanapun kekal dengan tindakan mereka. Bagi syarikat itu, ucapan perayaan berperanan sebagai sasaran utama untuk mencapai lebih ramai pengguna daripada pelbagai budaya. Tidak lama selepas itu, penduduk Muslim mula menghubungi Best Buy dan mewujudkan kelab dalam Facebook bagi menghargai tindakan syarikat itu yang berterusan meraikan perayaan umat Islam dalam kempen iklan mereka.

“Ia segmen berdaya maju untuk pengguna. Anda cuma perlu mengatasi rasa ketakutan pada mereka dan lihat mereka sama seperti pengguna lain,” kata Zainab Ali, pengurus kanan pemasaran di syarikat pemindahan wang MoneyGram, yang tampil dengan promosi istimewa Ramadan tahun lalu untuk masyarakat Muslim di Amerika, Eropah dan beberapa negara lain.

Faktor keuntungan jelas sekali menjadi fokus utama, lalu potensi menjadikan industri halal ini sebagai sumber keuntungan nyata mampu menarik lebih banyak syarikat menyertainya.

Tahun lalu, Ogilvy & Mather, firma pengiklanan global, memulakan perkhidmatan perunding jenama Islam antarabangsa digelar Ogilvy Noor yang turut memberi penekanan kepada masyarakat Muslim di Amerika.

Ramai umat Islam datang ke Amerika bagi memperoleh ijazah kedoktoran, kejuruteraan dan perubatan selepas kerajaan persekutuan melonggarkan kuota pendatang pada 1960-an.

Kajian turut menunjukkan peningkatan peratus mengagumkan yang mana lebih ramai umat Islam berpelajaran dan mempunyai harta berbanding masyarakat lain di Amerika. Joohi Tahir, Naib Presiden Pemasaran dan Jualan Crescent Foods (Crescent) iaitu pengeluar produk ayam halal berpangkalan di Chicago, berkata beberapa eksekutif Wal-Mart menemui wakil Crescent dua tahun lalu bagi mencari pembekal produk ayam halal. Mereka kemudian menjemput pegawai eksekutif Crescent ke ibu pejabat Wal-Mart di Arkansas untuk membantu membekalkan barangan kepada pengguna Islam.

Nestle antara jenama popular yang terawal memperkenalkan produk halal di peringkat antarabangsa.

Tahun yang sama juga menyaksikan Wal-Mart membuka pasar raya besar di Dearborn, Michigan iaitu kawasan yang mempunyai populasi Muslim dan Arab tertinggi di negara itu. Nyata, pembukaan pasar raya itu berjaya menarik ramai pengguna dari Timur Tengah dengan menampilkan pelbagai pilihan produk halal terutama makanan.

“Arus perdana mula memilih produk halal,” kata Tahir.

Jurucakap Wal-Mart, Bill Wertz, berkata penjualan produk di setiap pasar raya mereka berbeza kerana bergantung kepada keperluan satu-satu komuniti terbabit, jadi sukar untuk menentukan jumlah sebenar pasar raya di Amerika yang menjual produk halal. Bagaimanapun beberapa pasar raya di Michigan dan sekurang-kurangnya satu di Kanada sudah mengiklankan penjualan produk itu di tempat mereka.

Pengusaha yang terbabit dalam industri ini turut berharap dapat menarik pengguna di kalangan bukan Islam.

Jack Acree, Naib Presiden Eksekutif American Halal Co, yang mengeluarkan produk Saffron Road menegaskan produk yang disediakan bukan saja halal, tetapi menggunakan bahan segar dan bebas daripada antibiotik serta suntikan hormon.

“Masyarakat Muslim kini ramai yang berpendidikan tinggi dan tinggal di kawasan metro. Mereka sudah mula membeli-belah barangan kami. Jika kami mempunyai pengguna yang kebanyakannya datang daripada populasi Muslim, jadi kami perlu memberi perkhidmatan sepatutnya kepada populasi itu,” kata Errol Schweizer, koordinator kanan peruncitan global di Whole Foods.

Schweizer bagaimanapun tidak menjawab secara terus apabila ditanya sama ada pernah menerima aduan daripada pengguna lain mengenai tindakan itu. Katanya, produk makanan halal akan dinilai sama seperti produk lain – menerusi hasil jualannya.

Bagi masyarakat Muslim, isunya bukan semata-mata disebabkan kemudahan memperolehnya. Dikenali di kalangan syarikat besar jelas menandakan penerimaan yang baik di saat mereka berusaha menempatkan diri dalam pasaran Amerika. Mereka kini mengikut jejak masyarakat Yahudi Amerika, yang bergelut selama beberapa dekad untuk membolehkan produk makanan kosher mereka diterima arus perdana.

Sungguhpun kadangkala menerima tentangan dan saingan kurang sihat untuk produk halal, Evans berkata, akan muncul lebih banyak peluang perniagaan dan produk halal untuk pengguna Muslim memandangkan populasi umat Islam yang makin bertambah – lebih satu bilion di seluruh dunia – dan penghijrahan mereka ke negara Barat.

“Ia bukanlah persoalan sama ada mereka akan melakukannya. Ia lebih kepada soalan di mana, bila dan bagaimana,” kata Evans. – AP